Sumber Air Bawah Tanah

_DSC0199
Air Bawah Tanah – mengalir keluar dari Gua Batu Kapur, Zhijindong Geopark, China

1. Bekalan sumber air bersih telah menjadi isu national apabila negeri Selangor melaksanakan catuan air kepada lebih tujuh juta penduduknya. Ia berpunca daripada paras air di beberapa empangan turun pada tahap yang kritikal disebabkan kemarau panjang.

2. Kini, masyarakat tidak boleh merasa selesa dan beranggapan Malaysia sebagai negara tropika lembab tidak akan berhadapan dengan krisis air.

3. Isu keselamatan air negara boleh dilihat daripada dua perspektif: sumber air bersih dan pengurusan bekalan air.

4. Sejak sebelum merdeka, kebanyakan sumber bekalan air datangnya dari perigi (air bawah tanah), tetapi selepas negara mencapai kemerdekaan, perigi telah diganti dengan paip air dan bekalannya pula diperolehi daripada air permukaan.

5. Beberapa buah sungai di empang dan air yang telah dibersihkan disalurkan untuk kegunaan awam dan industri. Apabila penduduk dan aktiviti industri terus meningkat, negara sering berhadapan dengan krisis kekurangan bekalan air.

6. Isu catuan air yang tidak menentu meresahkan masyarakat. Kini kita perlu mempersoalkan, apakah dasar kebergantungan dengan air permukaan masih boleh dikekalkan?

7. Banyak negara maju yang berhadapan dengan kekurangan bekalan air permukaan mulai menggunakan air bawah tanah sebagai sumber air bersih. Bagi negara yang menerima curahan hujan yang rendah pula, mereka perlu bergantung kepada sumber air bawah tanah.

8. Jika kita melihat kepada kitaran air bersih, hanya sebahagian kecil sahaja curahan hujan mengalir di permukaan melalui sungai dan tasik untuk terus ke laut. Lebih daripada 95% curahan hujan meresap ke dalam tanah dan tersimpan di dalam takungan air bawah tanah (akuifer).

9. Hanya sebahagian kecil daripada air bawah tanah ini akan keluar ke permukaan sebagai mata air (spring) dan mengalir semula ke sungai untuk ke laut.

10. Dunia air bawah tanah lazimnya boleh dibahagikan kepada dua: air yang tersimpan berhampiran dengan permukaan (akuifer terbuka). Sebagai contoh, air bawah tanah yang tersimpan di dalam kolam atau perigi merupakan air bawah tanah jenis ini.

11. Di kebanyakan kawasan rendah, air bawah tanah berada hanya beberapa meter sahaja daripada permukaan. Air ini berinteraksi dengan air permukaan secara terus, dan menjadi pembekal kepada air sungai ketika musim kemarau.

12. Hakikatnya, air sungai yang terus mengalir walaupun lama tidak menerima hujan adalah kerana bekalannya datang dari akuifer terbuka.

13. Kedua, air bawah tanah yang tersimpan jauh di bawah permukaan bumi, di rongga batuan yang berporositi tinggi atau dikenali sebagai akuifer tertutup. Sebahagian besar daripada air ini tersimpan ratusan atau ribuan tahun sebelum ia dialirkan semula ke permukaan bumi dan ke laut.

14. Bayangkan, air bawah tanah ini seperti minyak bumi (petroleum) merupakan cecair yang terperangkap dan tersimpan di dalam akuifer tertutup sebelum ia dikeluarkan untuk keperluan tenaga. Kuantiti air bawah tanah di dalam akuifer tertutup jauh lebih banyak berbanding dengan sumber petroleum.

15. Oleh kerana sumber air bersih tidak mengenal kepada sempadan negeri, saya berpendapat dasar, strategi dan pendekatan eksploitasi bekalan air bersih perlu berasaskan kepentingan national iaitu ditentukan oleh kerajaan Persekutuan.

16. Dasar bekalan air negara perlu merentasi kepentingan politik kenegerian dan ditentukan berasaskan kepada jenis sumber bekalan air (meliputi air bawah tanah), dan kesampaian kepada seluruh penduduk negara.

17. Konsep bekalan air minuman dan air untuk industri atau pertanian perlu diperkenalkan supaya bekalan untuk semua keperluan utama dapat dipenuhi.

18. Dalam konteks pengurusan bekalan air, khususnya air minuman yang telah dirawat, ia memerlukan beberapa pendekatan pembaharuan.

19. Antaranya aspeks mengekalkan kualiti air, keberkesanan penyaluran air ke kawasan kediaman (peratus kehilangan air rendah), kempen penjimatan air (kelakuan pengguna) dan pengurusan kuantiti penggunaan berasaskan harga perlu diperkemas atau diperkenalkan.

20. Pengguna perlu diberikan tanggungjawab untuk menghargai air dalam konteks pemuliharaan. Pada masa yang sama, pendekatan penggunaan ‘tuaian air hujan’ atau penggunaan air bawah tanah (akuifer terbuka atau perigi) untuk keperluan air bukan minuman perlu digalakkan.

21. Tanggungjawab membekal air bersih masih boleh dilaksanakan oleh kerajaan negeri atau pihak swasta berasaskan dasar bekalan air negara.

22. Sungguhpun pembangunan air bawah tanah memerlukan kos yang agak tinggi, secara jangka panjang ia mempunyai banyak kebaikan. Air bawah tanah dari akuifer tertutup lazimnya mempunyai kualiti yang sangat tinggi.

23. Kuantiti sumber air bawah tanah pula bergantung kepada saiz akuifer dan tidak banyak dipengaruhi oleh kadar curahan hujan. Oleh itu, walaupun pada musim kemarau yang panjang, bekalan air bawah tanah ini masih tersimpan dengan baik dan boleh terus digunakan.

24. Beberapa tahun yang lepas, negara telah memulakan inisiatif Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) untuk menangani perbagai isu pengurusan air untuk pelbagai gunaan. Walaupun ini merupakan satu langkah ke hadapan, pendekatannya masih lagi tertumpu kepada pengurusan sumber air permukaan.

25. Menariknya, perbincangan dan persetujuan telah dicapai di peringkat profesional dan teknikal, tetapi usaha untuk melaksanakan pengurusan sumber air secara terintegrasi masih belum begitu berjaya.

26. Masanya telah tiba untuk kerajaan mengalihkan perhatian kepada penggunaan sumber air bawah tanah. Dalam jangka pendek dan sederhana, tumpuan boleh diberikan kepada penerokaan dan utilisasi sumber air bawah tanah yang tersimpan di akuifer terbuka yang terdapat di kebanyakan kawasan dataran rendah.

27. Bagaimanapun, dalam jangka panjang, pembangunan air bawah tanah yang tersimpan di dalam akuifer tertutup berada ratusan meter di bawah permukaan perlu diusahakan demi untuk kelestarian dan keselamatan bekalan air negara.
(catatan ini telah diterbitkan dalam Rencana BH pada Mei 2014)
IBK: 6 September 2015

Advertisements