Warisan Hutan Gelam

_DSC1008
Hutan Gelam telah dibersihkan untuk perumahan dan pertanian

1. Kami baharu sahaja dikunjungi oleh Tun Abdullah Badawi, Perdana Menteri Ke-5 Malaysia. Kehadiran beliau di UMT adalah untuk merasmikan Persidangan Kebangsaan Ulung mengenai Ekosistem Hutan Gelam.

2. Terdapat dua jenis utama ekosistem hutan tanah bencah di Malaysia: hutan Bakau dan hutan Gelam. Banyak yang telah dipelajari tentang keistimewaan dan kepentingan hutan Bakau, tetapi masyarakat masih belum mengenali keunikan hutan Gelam.

3. Pembentukan hutan tanah bencah di persisiran lautan banyak bergantung kepada proses geomorfologi pantai. Jika di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, pantai terlindung daripada ombak besar dari Lautan India oleh Pulau Sumatera, di Pantai Timur persisirannya terdedah kepada ombak besar Laut Cina Selatan.

4. Hasilnya, Pantai Barat mengalami pengendapan lodak dan lumpur menjadikannya sesuai untuk pertumbuhan hutan Bakau. Sebaliknya ombak yang besar di Pantai Timur menghasilkan endapan sedimen berpasir, sesuai pula untuk ekosistem hutan Gelam.

5. Terengganu merupakan negeri di Pantai Timur yang mempunyai ekosistem hutan Gelam terluas di Malaysia. Ini disebabkan pembentukan pesisir pasir yang disulami dengan lekukan tanah bencah puluhan kilometer lebarnya sepanjang pantai menjadikan kawasan ini kondusif untuk hutan Gelam.

6. Oleh kerana taburannya yang meluas itu, masyarakat tempatan tidak dapat menghargai keistimewaan nilai warisan hutan gelam ini. Berbanding dengan hutan Bakau, ekosistem hutan Gelam sangat terbatas taburannya di dunia, dan Terengganu beruntung kerana memiliki ekosistem hutan Gelam yang meluas dan boleh dijadikan daya tarikan pelancong antarabangsa.

7. Memandangkan hutan Gelam berada di kawasan tanah rendah berpasir, ia mudah dimusnahkan untuk membangun kawasan perkampungan, pertanian dan perbandaran. Akibatnya, sebahagian besar daripada hutan ini telah termusnah atas nama pembangunan.

8. Sememangnya pembangunan itu penting, tetapi pastinya ia boleh dirancang sehingga sebahagian daripada hutan warisan dunia ini kekal terpelihara. Hari ini, hutan Gelam di Terengganu telah hampir pupus. Hanya di hutan simpan Jambu Bongkok dan beberapa kawasan kecil yang terpisah di antara kawasan pembangunan memiliki hutan ini.

9. Kepentingan ekosistem hutan Gelam masih belum banyak diketahui. Oleh itu, Seminar Kebangsaan Ekosistem Hutan Gelam yang pertama kali dianjurkan oleh UMT berhasrat menggalakkan para saintis muda meneroka keunikan dan kepentingan ekosistem tanah bencah ini.

10. Walaupun, kita mempunyai pengetahuan asas mengenai hutan Gelam, masih banyak ilmu mengenai kepelbagaian fauna dan flora, keunikan habitat, serta nilai sumber alamnya yang masih belum diketahui. Ketandusan pengetahuan mengenai nilai dan kepentingan ekosistem ini menjadi punca utama mengapa hutan Gelam terus dimusnahkan.

11. Kerajaan Negeri Terengganu perlu bertindak segera untuk memulihara sebahagian daripada hutan Gelam yang masih wujud sebelum semuanya termusnah. Usaha untuk memeta taburan, menilai kepelbagaian biologi, sumber alam dan fungsi ekosistem boleh dilakukan secara usahasama antara Jabatan Perhutanan Negeri dan institusi pengajian tinggi.

12. Pada masa yang sama, untuk melestarikan hutan ini, kami mencadangkan beberapa pendekatan pemuliharaan bagi memastikan sebahagian daripada warisan tabii ini kekal.

13. Pertama, pewujudan Taman Negara atau Negeri. Kita boleh memilih beberapa kawasan hutan yang masih belum diterokai dan mempunyai nilai atau keunikan unggul untuk dipulihara sebagai warisan kebangsaan.

14. Kawasan begini bukan sahaja penting sebagai tapak pendidikan dan penyelidikan, ia bakal menjadi warisan kebanggaan negeri Terengganu yang boleh meningkatkan imej negara di mata dunia.

15. Lebih penting lagi ia bakal menjadi sumber penjana kekayaan komuniti tempatan melalui industri pelancongan.

16. Kedua, pemuliharaan berasaskan zon penebat (buffer) di antara kawasan pembangunan atau sepanjang persisiran sungai dan pantai. Sebahagian besar daripada kawasan ini masih merupakan tanah milik kerajaan Negeri yang terbiar atau sedang mengalami pencerobohan.

17. Pemuliharaan begini membolehkan rangkaian hutan Gelam dikekalkan dan ekosistemnya berupaya menampung integriti kepelbagaian fauna dan flora. Jika rangkaian hutan ini dipulihara dengan baik, ia tidak sahaja penting untuk mengekalkan kesihatan alam sekitar, tetapi dapat digunakan sebagai kawasan rekreasi penduduk kota yang dahagakan kawasan hijau.

18. Ketiga, pemuliharaan sebagai hutan Komuniti iaitu komunitiĀ  yang tinggal dipinggir hutan Gelam. Mereka boleh diberikan tanggungjawab bagi memulihara dan pada masa yang sama memanfaatkan hasil hutan secara lestari.

19. Saya teringat semasa membuat lawatan ke daerah Jambi, Sumatera. Di sana, komuniti sebuah kampung sepakat mendermakan sebahagian daripada tanah pusaka untuk dijadikan Hutan Adat. Kini mereka dengan bangga menjelaskan kepada masyarakat dunia, ‘kami memiliki sebuah hutan Adat untuk menunjukkan ketamadunan bangsa’.

20. Pada masa yang sama hutan Adat ini telah menjadi daya tarikan pelancong, pencetus kesatuan komuniti, dan pada masa yang sama memanfaatkan hasilan hutan berasaskan sistem beradat.

21. Di Pantai Timur, hutan Gelam sangat istimewa, mempunyai nilai saintifik tinggi dan penting untuk menjaga keseimbangan alam sekitar. Jika tiada langkah proaktif dilakukan oleh pelbagai pihak, khususnya pihak berkuasa tempatan, sedikit masa lagi hutan ini akan pupus dan generasi akan datang tidak dapat mengenali apa itu Hutan Gelam Terengganu.

(catatan ini telah diterbitkan dalam BH pada Jun 2014)

IBK: 12 September 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s