Dasar Pembangunan Alam Sekitar Negara

_DSC0305
Kinabalu – Landskap Geologi dibangunkan untuk pelancongan

1. Negara perlu melihat kerelevanan Dasar Alam Sekitar semasa dan bergerak ke arah Dasar Pembangunan Alam Sekitar Negara.

2. Dasar Alam Sekitar bersifat reaktif dan bermatlamat untuk melindungi serta memulihara alam sekitar serta sumber asli. Sementara konsep Pembangunan Alam Sekitar bersifat proaktif, strategi lautan biru dan menyahut cabaran pembangunan lestari.

3. Tahniah kepada negeri Johor yang sedang memulakan proses untuk menyediakan Dasar Pembangunan Alam Sekitar tersendiri. Negeri lain perlu mengikuti jejak langkah Johor untuk melaksanakan wawasan Pembangunan Lestari iaitu agenda global untuk abad ke-21.

4. Pembangunan Lestari memerlukan pemikiran holistik dalam perancangan pembangunan. Jika kita melihat aspek ekonomi dan sosial perlu dibangunkan, alam sekitar juga perlu melalui gagasan pembangunan.

5. Dalam konteks ini, pembangunan ketiga-tiga komponen kelestarian – ekonomi, sosial dan alam sekitar – perlu bersama dan terimbang.

6. Dasar Pembangunan Alam Sekitar perlu memberikan perhatian kepada tiga fungsi utama Alam sekitar iaitu: a) perkhidmatan ekosistem; b) perlindungan dan pemuliharaan warisan tabii (kepelbagaian biologi dan landskap asli); dan c) penggunaan sumber asli secara lestari.

7. Sebaliknya Dasar Alam Sekitar yang diamalkan negara selama ini hanya memberikan tumpuan kepada kawalan pencemaran dan perlindingan sumber kepelbagaian biologi.

8. Konsep Perkhidmatan Ekosistem perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan kelangsungan kehidupan. Alam Sekitar tidak memerlukan manusia, tetapi kita bergantung kepada alam sekitar yang sihat untuk hidup.

9. Manusia memerlukan air dan udara bersih untuk hidup dan ini hanya dapat disumbangkan oleh ekosistem berintegriti. Kawasan tadahan hujan dan akuafer air bawah tanah adalah komponen alam sekitar yang mampu membekalkan air bersih.

10. Apa akan jadi jika kedua-dua ekosistem penting ini kita terganggu atau musnah atas tuntutan pembangunan ekonomi?

11. Bayangkan penomena jerebu telah melanda negara hampir setiap tahun. Beberapa bandar dikatakan mempunyai kualiti udara dalam skala tidak kesihatan. Jerebu adalah fenomena langka sebelum tahun 1980an, sebelum pembersihan hutan secara besar-besaran untuk tanaman kelapa sawit.

12. Hari ini ia menjadi fenomena tahunan dan keamatannya semakin serius untuk kesihatan. Pencemaran udara telah berada pada tahap genting dan memerlukan tindakan proaktif.

13. Ekosistem yang mampu mengawal kualiti udara adalah hutan hijau tropika. Negara perlu menyimpan atau memulihara sebahagian daripada hutan ini untuk menjalankan fungsi perkhidmatan alam sekitar.

14. Di peringkat global, kita telah bersepakat untuk memulihara tapak Warisan Dunia iaitu khazanah yang menjadi rekod ketamudunan bangsa, penting untuk diwarisi generasi akan datang.

15. Tapak Warisan Dunia boleh dibezakan antara Warisan Tabii (alam sekitar) dan Warisan Budaya (prasarana tinggalan sejarah). Sebelum menjadi warisan Dunia, kita perlu memilih tapak istimewa menjadi warisan Negeri dan seterusnya warisan Kebangsaan.

16. Negara maju dan bangsa bertamadun sentiasa menghormati dan menjaga warisan ketamadunannya.

17. Dasar Pembangunan Alam Sekitar perlu mempunyai komponen perlindungan dan pemuliharan warisan tabii. Ini meliputi sumber kepelbagaian biologi, kepelbagaian geologi dan landskap berpandangan indah.

18. Perlindungan dan pemuliharaan sebetulnya adalah sebahagian daripada pembangunan. Kita perlu mengenal pasti warisan yang dimiliki, tahap kepentingannya dan menyediakan strategi perlindungan atau pemuliharaan yang tepat dan berkesan.

19. Konsep pengunaan sumber asli secara lestari meliputi komponen guna tanah untuk pertanian, perlombongan, pengkuarian dan pelancongan. Dalam konteks pertanian, kita perlu bezakan pertanian keselamatan makanan dan pertanian komoditi.

20. Melihat daripada perspektif dasar Alam Sekitar, tumpuan kepada tanah pertanian bagi membekalkan makanan asas seperti sawah padi dan ladang sayur-sayuran adalah penting. Kesesuaian tanah dan tahap kesuburan adalah komponen kawalan alam sekitar paling penting untuk kelangsungan kehidupan.

21. Kerja perlombongan dan pengkuarian sumber bumi (sumber tidak boleh diperbaharui) juga penting dalam perspektif dasar alam sekitar. Kita juga perlu membezakan komponen sumber sebagai bahan binaan asas, dan sumber sebagai komoditi untuk di eksport.

22. Kepentingan pengunaan sumber asli untuk bahan pembinaan asas perlu dirancang dalam konteks penggunaan jangka panjang. Sementara komponen praktis perlombongan terbaik perlu diamalkan untuk memastikan usaha perlindungan dan pencemaran alam sekitar terkawal.

23. Saya tertarik dengan konsep penggunaan sumber asli secara tanpa musnah. Sumber asli dan warisan tabii (ekosistem dan landskap) boleh dibangunkan untuk menjana ekonomi negara tanpa memusnahkan sumbernya.

24. Inilah konsep pelancongan tabii (ekopelancongan dan geopelancongan) yang sedang diamalkan sekarang. Pengunjung boleh melawat, mempelajari dan menikmati keindahan alam sekitar yang tidak perlu diganggu dan sentiasa dipelihara integriti serta kebersihannya.

25. Pembangunan Alam Sekitar adalah komponen kelestarian berinovasi yang perlu diarusperdanakan dalam gagasan pembangunan negara. Alam Sekitar bukan sekadar dilindungi, tetapi dibangunkan untuk kelestarian kehidupan.

(catatan ini telah diterbitkan dalam ruangan Rencana BH pada September 2015)

IBK: 28 September 2015

Advertisements