Hakusan Tedorigawa Geopark Jepun

 

_DSC0392

1. Semasa majlis penutup Asia Pacifik Geoparks Network Symposium 2015 di San’in Kaigan, Jepun, Dr Patrick McKeever wakil UNESCO mengumumkan sembilan global geopark baharu menjadikan jumlah keseluruhan 120 buah di 33 negara.

2. Langkawi mengekalkan status global geopark selama empat tahun lagi selepas mendapat ‘kad hijau’ pada majlis yang sama. Beliau menambah, pada Persidangan Umum UNESCO di Paris dalam bulan November ini, keseluruhan 120 geopark sedia ada bakal dinobatkan sebagai UNESCO Global Geoparks iaitu satu pengikhtirafan tertinggi dunia.

3. Esoknya, saya diundang oleh Dato Bandar Hakusan untuk melawat geopark kebangsaan Hakusan Tedorigawa yang bakal memohon status global geopark pada tahun 2017.

4. Perjalanan dari Tottori, tempat Simposium berlangsung ke Hakusan mengambil masa lebih lima jam. Kami menaiki keretapi melalui Osaka, Kyoto dan Fukui, dan dari Fukui mendaki kawasan pergunungan dengan van menuju ke pekan kecil Shiramine.

5. Hakusan Tedorigawa geopark mewakili sebuah lembangan yang dapat menceritakan jalinan hubungan antara warisan geologi, kebelbagaian biologi dan budaya sepanjang aliran sungai dari pundak gunung ke lautan.

6. Dari Puncak Gunung Hakusan (2,700 m), salji mencair mengalir sepanjang Sungai Tedorigawa membawa bekalan air untuk ‘kehidupan dan kemusnahan’ hingga ke muaranya di Laut Jepun. Ini adalah dua fenomena penting penentu kelestarian dan kedayatahanan masyarakat.

7. Pergunungan Hakusan dan hulu Sungai Tedorigawa menerima salji paling tebal di Jepun iaitu purata 2.5 m per tahun.

8. Fenomena pencairan salji ketika di musim Bunga dan musim Panas membolehkan penduduk di seluruh lembangan menikmati rahmat kelimpahan air dan tanah yang subur untuk pertanian. Di sini sawah padi dan ladang bijiran untuk soba terbentang luas menjadi sumber bekalan makanan dan punca pendapatan komuniti Hakusan.

9. Salji yang tebal juga menyebabkan hakisan, tanah runtuh dan aliran debris lebih mudah dan kerap berlaku. Bongkah batuan, kerikil, pasir dan lumpur berupaya di angkut secara ganas sepanjang lembah dan dataran limpahan sungai.

10. Bencana pada tahun 1934 telah menyebabkan dataran baharu setebal 40 m terbentuk menimbus beberapa perkampangan dan mengorbankan banyak nyawa. Sejak itu, komuniti sepanjang Sungai Tedorigawa belajar membina rumah di dataran tinggi jauh dari lembah sungai bagi memastikan keselamatan perkampungannya.

11. Ketika berbincang dengan Pengarah Hakusan Tedorigawa Geopark, Takashi Yamaguchi dan anak buahnya, Shinsuki Nakamura (ahli geografi), Tsuyoshi Hibino (ahli paleontologi) dan Dr Tatsuto Aoki (pakar geologi), mereka sepakat untuk membawa konsep sains fenomena alam bagi pendidikan komuniti setempat dan pelancong.

12. Mereka memilih ‘pengembaraan air pembawa rahmat, dan mengembaraan batuan mengundang bencana’ sebagai tema cerita geologi bagi memperkenalkan keunikan geoparknya.

13. Geopark adalah pengurusan pembangunan yang memberikan perhatian kepada mencari keseimbangan antara pemuliharaan alam dan pembangunan (pembangunan lestari). Penduduk di sini percaya landskap dan proses geologi di lembangan Sungai Tedorigawa sangat istimewa untuk diperkenalkan kepada masyarakat dalam dan luar negara.

14. Daerah ini menjadi kawasan longgokan sajli paling tebal, proses gelinciran tanah paling aktif dan hakisan sungai paling ganas di Jepun. Hasilnya, proses alam ini membentuk landskap yang indah dan menyediakan tanah pertanian yang subur.

15. Setiap kali ke Jepun saya kagum dengan budaya, pegangan dan iltizam masyarakat mereka mengenai kehidupan. Mereka adalah masyarakat yang sangat berhati-hati untuk membuat keputusan, menghormati keputusan bersepakat, dan bangga dengan keupayaan sendiri.

16. Komuniti di Hakusan telah bersepakat untuk menjadikan daerahnya sebuah geopark sejak lima tahun lepas. Mereka menjemput saya untuk mendapatkan pandangan luar mengenai cara terbaik untuk mewujudnya, dan berhasrat untuk memohon menjadi geopark global pada tahun 2017.

17. Gerakan membangunkan geopark sebagai pendekatan pembangunan lestari wilayah luar bandar telah menjadi dasar pembangunan kebangsaan di China pada tahun 2004, kini mereka memiliki 34 geopark global dan lebih 200 geopark kebangsaan.

18. Di Jepun sejak tahun 2009, ramai pentadbir daerah yakin geopark adalah pendekatan pembangunan wilayah terbaik untuk memenuhi aspirasi pembangunan lestari. Masing-masing Dato Bandar berkerja keras untuk membangunkan geopark di daerahnya. Kini Jepun memiliki 8 geopark global dan lebih 30 geopark kebangsaan.

19. Malaysia adalah pelopor idea geopark sejak tahun 1997 dan kita berjaya menjadikan Langkawi sebagai geopark global pada tahun 2007.

20. Begitupun, gerakan pembangunan lestari wilayah ini masih belum mampu dijadikan dasar, sama ada oleh kerajaan Persekutuan mahupun kepimpinan Negeri. Mengapa?
IBK: 25 Oktober 2015

Advertisements