Penghormatan Keilmuan Mohamed Khaled Nordin

IMG_3100

 

1. Dalam Konvokesyen Ke-55, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada YAB Dato Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor and mantan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.

2. Ini merupakan satu penghormatan ilmiah kepada seorang tokoh politik yang telah memimpin pendidikan tinggi negara ketika institusi ini sedang mengharungi pelbagai cabaran getis.

3. Sebagai seorang ahli akademik kanan sebuah Universiti Awam (UA), saya terpanggil untuk memberikan pandangan mengenai gagasan penghormatan akademik kepada tokoh politik dan korporat yang telah menjadi tradisi keilmuan universiti ketika majlis konvokesyen tahunannya.

4. Pada prinsipnya dunia akademik menghargai tokoh awam atas sumbangan ‘idea bersifat keilmuan dan pencapaian’ yang menjadi sumbangan besar kepada transformasi masyarakat dan negara.

5. Tugas sebagai menteri dan sumbangannya kepada pengurusan UA adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Khalid berbeza dengan kebanyakan menteri yang saya kenali, beliau berusaha mempelajari dan memahami ekosistem universiti dan berjaya melaksanakan tugasnya melampaui fungsi yang diamanahkan.

6. Saya berpeluang menjadi Penasihat Khas kepada Menteri Pendidikan Tinggi ketika beliau menjalankan tugas sebagai menteri. Banyak yang saya pelajari daripada sikap, komitmen dan wawasan beliau.

7. Khaled mempunyai pendekatan yang tepat apabila membuat keputusan sebagai seorang Menteri Pendidikan Tinggi. Setiap gerakannya bermula dengan mendapatkan pandangan secara lisan atau bertulis daripada ramai golongan akademik yang pakar dalam isu yang cuba diselesaikan.

8. Beliau mempunyai keupayaan luar biasa untuk mendengar dan menghormati pandangan ahli akademik. Bagaimanapun, sebelum membuat keputusan beliau akan meneliti setiap pandangan daripada perspektif kesediaan untuk dilaksana dan impaknya kepada masyarakat serta kerajaan.

9. Setiap awal tahun, semua ahli akademik, sama ada muda dan matang tertunggu-tunggu dengan amanat tahunan beliau. Sebaik sahaja selesai amanat, kami dapat perhatikan semua golongan pentadbir, pengurus dan pelaksana akademik menunjukkan kepuasan yang tinggi mengenai kandungan penyampaiannya.

10. Ramai juga yang terpegun dengan nilai keakademikan amanatnya, tetapi pada masa yang sama mempunyai strategi dan wawasan pengurusan yang jitu.

11. Saya masih teringat beberapa transformasi penting yang telah digerakkan oleh Khaled. Antaranya, beliau percaya ‘penyelidikan bersifat nic dengan nilai kewatanan yang tinggi perlu dijadikan hala tuju utama setiap UA.

12. Beliau memperkenalkan konsep Universiti Komprehensif Berfokus untuk melaksanakan wawasan ini. Selain Universiti Penyelidikan, setiap UA perlu mencari nic atau ceruk ilmu yang ingin dikembangkan sehingga menjadi universiti terhormat dalam bidang tujahannya.

13. Ketika itu, saya telah diberikan mandat untuk menerajui Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai sebuah universiti yang diamanahkan menerajui ilmu perikanan dan sains kelautan negara.

14. Khaled juga percaya kepada penyelidikan tiada bermakna jika tidak dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan negara. Walaupun kebanyakan ahli akademik merasakan penyelidikan fundamental atau penerokaan ufuk ilmu penting untuk melonjak kesarjanaan, beliau mampu berhujah bahawa kedua-dua keperluan ini bukan tuntutan yang terpisah.

15. Apa yang mengikat keperluan penyelidikan asas dan gunaan ialah kualiti penyelidik, strategi penyelidikan dan pemikiran bermatlamat akhir (end in mind). Beliau sentiasa menekankan penyelidikan yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan menjana kekayaan negara dan kini telah menjadi budaya penyelidikan di UA.

16. Khaled sentiasa menekankan peri pentingnya membangun modal insan yang berilmu dan berkemahiran tinggi. Dalam amanat terakhirnya, beliau mengingatkan kepada pemimpin akademik mengenai masyarakat mengharapkan apabila pelajar tamat pengajian, mereka seharusnya telah bersedia dengan akhlak yang mulia, serta ilmu dan kemahiran yang tinggi sehingga dapat terus diserap masuk ke dunia pekerjaan yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.

17. UA perlu menerapkan pendekatan pengajaran yang berasaskan konsep ‘ilmu dan kemahiran untuk masa depan, dan bukan untuk menyelesaikan masalah semalam’. Program akademik perlu sentiasa diteliti, sentiasa mendapat maklumbalas daripada bakal majikannya, dan melalui penambahbaikan berterusan. Beliau percaya UA mesti sentiasa ‘relevant, referred, respected’.

18. Universiti Awam tidak seperti agensi kerajaan biasa. Ia memiliki dua keistimewaan asas memerlukan kepimpinan politik yang bijaksana. Pertama, di sinilah tempatnya bakal pemimpin negara dihasilkan.

19. Apa akan jadi kepada negara agaknya jika pemimpin masa hadapan tidak berpandangan jauh, kurang jatidiri, berwibawa dan berintegriti?

20. Kedua, di universiti tempat berkumpulannya pelbagai pakar bidang ilmu dan para sarjana. Mereka adalah pemegang obor keilmuan dan pemikir negara yang memerlukan pengurusan yang perihatin. Ahli akademik adalah ‘bakat bertaraf global’ yang menjadi lambang kewibawaan negara.

21. Selama lima tahun memimpin Kementerian Pengajian Tinggi, Khaled tidak sahaja berjaya menambat hati pelajar dan masyarakat, beliau turut dihormati oleh semua golongan ilmuan dan pemimpin akademik. Beliau bukan sahaja pemimpin politik, tetapi pemimpin pengajian tinggi yang cemerlang.

22. Tidak ramai ahli politik sesuai diberikan anugerah keilmuan, tetapi beliau lebih daripada layak menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan. Tahniah dan syabas YAB Dato Seri MB Johor.

IBK: 31 Oktober 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s