Jati Diri dan Peradaban Sejagat – I

P1080810a

Bahagian I

1. Sejak akhir-akhir ini timbul lagi suara sumbang mempersoalkan apakah dana yang banyak disalurkan bagi meningkatkan keupayaan penyelidikan negara berbaloi? Golongan birokrat dan teknokrat mempersoalkan mana hasil yang boleh digunakan untuk menjana kekayaan negara.

2. Pihak swasta mengharapkan semua hasil penyelidikan kerajaan mampu disalurkan terus kepada mereka untuk membangun teknologi. Segolongan masyarakat awam pula, menggunakan kesempatan meraih pengaruh politik sempit mempersoalkan kelemahan dasar kerajaan menyalurkan dana awam untuk penyelidikan dan pembangunan.

3. Rata-rata, universiti awam dipersalahkan kerana belum berjaya menterjemahkan hasil penyelidikan kepada teknologi boleh dikomersialkan.

4. Penyelidikan adalah budaya negara maju meneroka alam dan peluang yang ada untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakatnya. Dapatan penyelidikan berjaya digunakan untuk menyerlah keunggulan melalui ilmu baharu, membangun masyarakat melalui pendidikan, membangun ketamadunan melalui pembangunan negara dan memodenkan bangsa serta meraih keuntungan melalui teknologi canggih.

5. Penyelidikan adalah budaya penerokaan berterusan melalui lingkaran ke atas mencari kebenaran dan membina ketamadunan bangsa.

6. Sepanjang beberapa lingkaran ke atas, ilmu baharu diperolehi, penyelesaian persoalan masyarakat tercapai, dan teknologi canggih dibangunkan. Penyelidikan adalah budaya bersifat jangka panjang dan faedahnya di kecepai oleh masyarakat, puluhan atau ratusan tahun selepas suatu penemuan baharu.

7. Kini, negara maju bijak berstrategi membahagi-bahagikan penyelidikan kepada yang bersifat fundamental, gunaan dan pembangunan teknologi, dan masing-masing dipimpin oleh kelompok yang berbeza. Dengan pendekatan begini, kualiti penyelidikan terserlah dan keberkesanan output meningkat.

8. Malaysia baharu sahaja membina budaya penyelidikan, khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Pertama kali negara menyediakan dana R&D ialah pada pertengahan tahun 1990an melalui mekanisme Intensification of Research in Priority Areas (IRPA).

9. Ketika itu, sebahagian besar penyelidik atau mereka yang berijazah PhD berada di sekitaran universiti. Oleh itu, sebahagian besar dana R&D telah disalurkan ke universiti awam. Terdapat juga beberapa institusi penyelidikan agensi kerajaan, tetapi mereka kekurangan penyelidik berijazah PhD dan tumpuan ketika itu adalah penyelidikan perkhidmatan.

10. Universiti bukan tempat yang kondusif untuk R&D Komersial. Secara tradisi, ahli akademik di universiti menjalankan penyelidikan bersifat fundamental dalam bidang kepakaran masing-masing, mencari ceruk ilmu yang masih belum diterokai oleh pengkaji terdahulu.

11. Usaha begiini adalah untuk meningkatkan kewibawaan akademik, berkongsi ilmu sesama rakan kesepakaran dan menyalurkan ilmu terkini kepada pelajarnya. Inilah peranan utama yang perlu dimainkan oleh institusi universiti untuk mengejar kecemerlangan.

12. Kehadiran IRPA sebagai gagasan R&D Komersial ke universiti ketika itu sebetulnya telah menggugat tradisi keilmuan, dan kepimpinan universiti terpaksa beradaptasi dengan fenomena baharu ini. Sebahagian daripada ahli akademik perlu beradaptasi dengan tuntutan baharu muncul ini dengan serba kekurangan dan kelemahan.

13. Ada yang perlu berubah bidang kepakaran, sementara yang lain pula menukar haluan daripada penyelidik fundamental kepada penyelidik gunaan. Hari ini kita dapat perhatikan ratusan institut atau pusat penyelidikan di sekitaran universiti bertindak untuk menyahut cabaran getis ini.

14. Keputusan strategik pada pertengahan tahun 1990an adalah tepat dan berwawasan. Ketika itu hanya sekitaran universiti sahaja satu-satunya tempat gagasan penyelidikan dan pembangunan sesuai disuburkan.

15. Tetapi kita sedia maklum, universiti perlu memainkan peranan asas iaitu pendidikan tinggi, peranan kedua iaitu penyelidikan fundamental (meneroka ilmu baharu) dan peranan ketiga iaitu pemindahan ilmu kepada masyarakat. Peranan yang meluas begini tidak mungkin dapat memberikan keberkesanan tinggi untuk usaha R&D Komersial!

16. Masanya telah tiba untuk kepimpinan Kerajaan meneroka strategi baharu khusus untuk R&D Komersial. Kita perlu belajar daripada negara yang berjaya seperti Korea, Jepun, China dan beberapa negara kecil di Europah.

17. Antara tindakan berstrategi yang boleh dilakukan ialah mewujudkan sekitaran R&D Komersial yang pelbagai, umpamanya di bawah institusi Swasta dan Kerajaan yang mempunyai kepentingan tinggi terhadap produk yang boleh dikomersialkan.

18. Universiti awam boleh turut serta tetapi di sekitaran pembangunan produk komersial juga. Kerajaan dan pihak swasta perlu melabur dalam pembangunan modal insan dan prasarana secara jangka panjang.

19. Malaysia menghasilkan ramai pelajar berijazah PhD, tetapi selain di sekitaran universiti, mereka tiada institusi untuk ditempatkan. Masanya telah tiba untuk Kerajaan mewujudkan beberapa institusi penyelidikan yang berstrategi dan bersifat jangka panjang.

20. Di institusi ini, kita membangun dan mengekalkan bakat penyelidik untuk pembangunan negara. Ia bukan sahaja daripada perspektif pembangunan ekonomi melalui pembangunan teknologi yang boleh dikomersialkan sahaja, sebaliknya juga berkaitan dengan kesejahteraan masyarakat dan kesihatan alam sekitar.

21. Anggaplah, institusi R&D sebahagian daripada jentera pengurusan negara seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kelestarian masa hadapan.

22. Bagi menggalakkan strategi lautan biru, kita perlu keluar daripada sekitaran persaingan sengit dan berada pada sekitaran peneroka baharu. Pemikiran dan pengurusan negara perlu berbeza. Keupayaan R&D dalam sekitaran lingkaran ke atas adalah satu-satunya pilihan untuk sentiasa berada di lautan biru dan menjamin kelestarian bangsa merdeka.

IBK: 7 November 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s