Jati Diri dan Peradaban Sejagat – II

P1080811
Bahagian II

1. Semua negara berlumba-lumba untuk menjalankan R&D bagi membangun teknologi canggih yang mampu meraih kekayaan negara. Pencapaian dalam R&D Komersial adalah kunci bagi menempatkan sesebuah negara pada kedudukan kelebihan bersaing.

2. Kita juga sedia maklum, dalam pembangunan Teknologi Termaju beberapa negara maju berada puluhan tahun di hadapan negara sedang membangun.

3. Bukan sahaja mereka mempunyai bakat, dana dan prasarana yang terkehadapan, strategi pengukuhan penguasaan juga cukup mantap. Jika kita mengikut aliran pemikiran mereka, kita akan sentiasa puluhan tahun ketinggalan di belakang.

4. Negara perlu melihat senario masa depan dengan pandangan luas, pemikiran terbuka dan menilai kekuatan, keunikan dan peluang baharu yang terbuka luas.

5. Daripada perspektif R&D langkah pertama kehadapan perlu dipandu oleh ‘rasa kesepunyaan’, budaya dan tradisi setempat dan kelainan yang kita miliki. Mari kita mereroka kesepunyaan dan keistimewaan yang berada di sekitar tempatan dan menjadi peneraju di peringkat global.

6. Pertamanya, isu berkaitan iklim tropika lembab yang kita miliki. Negara lain yang memiliki iklim seperti kita ialah Brazil dan beberapa negara di bahagian tengah benua Afrika.

7. Iklim begini menghasilkan sekitaran di mana kita berada, kekangan dan peluang yang kita hadapi dan tamadun bangsa yang terbina. Iklim panas dan lembab sepanjang tahun mempengaruhi kehidupan, budaya dan sekitaran kita.

8. Cuaca panas sepanjang tahun dan kelembapan yang tinggi menyebabkan proses luluhawa amat pesat, batuan terluluhawa membentuk lapisan tanah yang tebal. Hujan yang lebat pula menyebabkan proses hakisan tanah dan runtuhan cerun menjadi sangat aktif dan pengangkutan sedimen oleh sungai sangat tinggi.

9. Luluhawa dan hakisan adalah proses yang mengukir bentuk rupabumi dan menghasilkan landskap tropika lembab yang terhampar di hadapan kita. Proses luaran ini ratusan, malah ribuan kali lebih pesat berbanding dengan situasi di kawasan beriklim sejuk dan tropika kering (padang pasir).

10. Keadaan ini telah menimbulkan banyak isu degradasi tanah, kejuruteraan pembinaan, pencemaran air dan bencana alam yang perlu diselesaikan.

11. Cuaca panas dan lembab juga menyebabkan proses biologi berlaku dengan hebat. Tidak hairanlah kawasan tropika lembab mempunyai kepelbagaian biologi yang sangat tinggi (mega-kepelbagaian).

12. Ini adalah khazanah penting yang perlu diterokai, keunikannya dipulihara, dan limpahan sumber biologi dimanfaatkan. Pada masa yang sama, keadaan panas dan lembab juga menggalakkan pelbagai penyakit berpunca daripada organisme halus khusus di kawasan tropika lembab.

13. Penyelesaian penyakit tropika adalah asas penyelidikan perubatan yang masih perlu di terokai.

14. Kedua, Semenanjung Malaysia, Borneo dan kepulauan Indonesia terletak di atas pentas Sunda – kepingan tektonik benua yang unik dan mempunyai cirian tersendiri. Dua per tiga daripadanya adalah lautan cetek, berkedalaman antara 50 hingga 100 meter.

15. Ia meliputi Laut Jawa, barat Laut China Selatan, Teluk Thailand dan Selat Melaka. Bayangkan jika paras laut turun sehingga 100 meter, seluruh pentas atau pelantar Sunda menjadi sebuah daratan yang luas. Malah, pada zaman ais terakhir, 25,000 tahun lampau – pentas Sunda adalah daratan yang meluas menghubungi seluruh Asia Tenggara.

16. Sumber minyak dan gas asli di pentas Sunda kebanyakannya dihasilkan di kawasan lepas pantai di perairan Indonesia, Malaysia dan Thailand. Sumber ini berada di beberapa kilometer di bawah dasar laut dan diterokai oleh syarikan Petroleum Kebangsaan dengan kerjasama syarikat antarabangsa.

17. Bersamanya banyak maklumat dasar laut dan formasi batuan terkumpul tetapi tidak dikongsi bersama masyarakat dan golongan akademik. Lautan di pentas Sunda adalah sekitaran di mana ekosistem biologi marin berkembang dan sumber perikanan dihasilkan. Begitupun, kajian mengenai mega-kebalbagaian biologi marin ini masih sangat terbatas.

18. Ketiga, kajian mengenai asal mula dan ketamadunan komuniti Nusantara – penduduk watan pentas Sunda. Sejarah perkembangan pelbagai kaum yang kini terpisah sebagai warga Indonesia, Malaysia, Filipina, Brunei, Singapura dan Thailand satu ketika dahulu merupakan rumpun bangsa Nusantara yang berbahasa Melayu.

19. Kita perlu melihat kembali rumpun bangsa ini, menyelidik daripada perspektif antropologi, sosiologi, psikologi, sosio-ekonomi dan kenegaraan untuk mengenali suatu bangsa yang tinggi martabatnya satu ketika dahulu.

20. Kita perlu mengenali siapa kita, kekuatan dan kelemahan yang menentukan sejarah peradaban sehingga ke saat ini. Kita perlu meneliti nilai bersama sebagai suatu bangsa yang besar dan mengembalikan roh komuniti Nusantara atau dalam konteks moden komuniti Asean dan membina semula kesatuan negara serantau yang disegani dan dihormati.

21. Tanpa mengenali siapa kita dan bersepakat membangunkan semula suatu rumpun bangsa besar yang berpegang kepada nilai dan budaya bersama untuk kesepaduan, komuniti Asean akan terus terpinggir dan lambat laun pupus di telan zaman.

22. Penyelidikan dan penerokaan perlu bermula dari kekuatan dan kepentingan setempat, meneliti keistimewaan dan lompang ilmu yang masih terbentang luas untuk membangun keupayaan komuniti serumpun.

23. Membina pengetahuan dan teknologi berasas kearifan tempatan bagi menerajui kepimpinan sejagat. Inilah falsafah penyelidikan bagi memantap ketamadunan bangsa terhormat.

IBK: 8 November 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s