Geopark National Raja Ampat

_DSC0064

1. Indonesia akan memperkenalkan geopark national terbaharu di wilayah paling timur arkipelago kepulauan Papua Barat. Mereka mengundang saya untuk membuat penilaian kesesuaian Raja Ampat sebagai sebuah geopark.

2. Perjalanan udara dari Jakarta ke Makasar dan Sorong mengambil masa lebih 4 jam. Dari Sorong pula kami mengambil masa lebih dua jam menaiki kapal penumpang ke Waisai, sebuah pekan kecil pusat pentadbiran daerah ini.

3. Kabupaten (daerah) Raja Ampat memiliki beberapa keistimewaan luar biasa. Ia merupakan sebuah daerah kepulauan atau kelautan yang meluas berada di antara Lautan Pasifik di utara dan Lautan India di selatannya.

4. Mengandungi empat pulau besar iaitu Waigeo, Batanta, Salawati dan Misool, serta lebih 1,800 kepulauan bersaiz sederhana dan kecil. Ia tertabur di wilayah kelautan seluas lebih 4,000,000 km persegi.

5. Sebahagian daripada pulau terbentuk daripada pelantar terumbu karang yang mengalami hakisan ombak laut. Terumbu yang sedang berkembang di hakis bahagian atasnya menghasilkan pasir karang.

6. Timbunan pasir ini secara beransur membentuk pulau, sama seperti pembentukan Pulau Sipadan di Sabah satu ketika dahulu. Pulau lain terbentuk daripada batuan berusia 150 hingga 15 juta tahun lampau, terangkat oleh proses tektonik membentuk gugusan kepulauan Raja Ampat.

7. Daripada perspektif kerajaan Indonesia, keseluruhan Raja Ampat adalah zon pemuliharaan yang tidak boleh dibangunkan. Mengikut sejarah Raja Ampat terletak di bawah pemerentahan Kesultanan Tidore, dan masyarakat aslinya terdiri daripada lebih 30 suku kaum seperti suku Maya, Wauyai, Matbat, Syam, Kawe dan Batanta.

8. Begitupun, Raja Ampat seperti tidak berpenghuni kecuali fauna dan flora, khususnya hidupan laut. Hanya sekitar 60,000 orang penduduk menetap di kepulauan ini, kebanyakannya berada di pekan baharu Waisai.

9. Penduduk asli bertaburan di lebih 50 perkampungan asli yang kecil, terdiri daripada antara 10 hingga 50 keluarga, tertabur di tepi pantai atau pulau berpasir yang kecil. Kebanyakan penduduk di sini mencari sumber kehidupan sebagai nelayan, dan kini mulai berubah menjadi pemain industri pelancongan.

10. Kami sempat melawat Pulau Airborei, sebuah kampung di pulau berpasir seluas hanya lapan hektar yang di huni oleh 180 penduduk asli mewakili 37 keluarga. Perkampungan ini bersih dan teratur, memiliki sebuah sekolah rendah dan gereja.

11. Raja Ampat adalah ‘rimba batu karang’ dengan kepelbagaian hidupan laut yang sangat tinggi. Daerah ini memiliki sekitar 550 jenis karang, 700 haiwan moluska (kerang), 500 haiwan gastropod (siput), 150 haiwan sefalopod (sotong) dan lebih 1000 jenis ikan karang tropika, layak dikenal sebagai surga bagi peminat rekreasi selam scuba.

12. Ada perpatah tempatan yang menyatakan ‘jangan mati dahulu sebelum ke Raja Ampat’, begitulah bayangan bagi mereka yang menjelajah ke seluruh pelusuk dunia untuk menikmati keindahan dunia dasar laut.

13. Saya ke daerah ini bersama Pak Hanang, Ketua Pembangunan Geopark Indonesia; Pak Firmanshah, mantan Ketua Pengarah Pelancongan Indonesia; dan Pak Yusdi, wakil Bupati Raja Ampat.

14. Tujuan kami untuk melihat kesesuaian tempat ini sebagai sebuah geopark national. Selepas dua hari menjelajahi beberapa tapak istimewa, saya nyatakan kepada mereka, ‘jika saya di bawa ke Raja Ampat, empat tahun yang lalu, pastinya kini telah menjadi geopark national’.

15. Raja Ampat merupakan sebuah landskap kepulauan pasifik direntasi oleh garisan Khatulistiwa yang sangat mengkagumkan. Keindahannya terletak pada gabungan landskap Kars pulau tropika dan pembentukan terumbu karang yang meluas.

16. Tiga kawasan kars yang kami lawati iaitu Penemu, Wayag dan persisiran Teluk Kabui merupakan dunia Kars Kepulauan yang terindah pernah kami lawati. Pembentukan pulau Kars yang beraneka saiz dan bentuk menggambarkan seperti ribuan Mahkota Raja Ampat.

17. Landskap kars di kepulauan Raja Ampat amat luar biasa keindahan dan nilai estatiknya. Ia mewakili kepelbagaian rupabumi yang unik dan evolusi landskap hasil proses perlarutan dalam pelbagai peringkat.

18. Tiga bentuk kars tropika yang menghasilkan keindahan landskap ialah kars bentuk kun, bentuk tempurung dan kars bertebing curam. Sebahagian daripada pulau kars ini mengalami hakisan pasang-surut sehingga membentuk rupabumi seakan cendawan.

19. Keindahannya lebih terserlah apabila ia diserikan oleh keunikan ekosistem atau flora batu kapur yang meliputi kepulauan kars ini.

20. Kami tertarik dengan budaya dan pegangan penduduk tempatan mengenai alam dan kelestarian kehidupan. Kepercayaan dan amalan menangkap ikan umpamanya, sangat mengkagumkan.

21. Mereka tidak menangkap ikan di sekitar perkampungan, tetapi sebaliknya pergi ke tengah lautan bagi memastikan sumber makanan sentiasa terpelihara. Di Raja Ampat lautannya dipenuhi oleh kepelbagaian hidupan dan kelimpahan ikan yang sangat tinggi.

22. Tidak hairanlah, ramai tetamu luar negara sanggup berbelanja tinggi, berkunjung ke daerah ini hanya untuk menghayati alam sekitar dalam keadaan aslinya.

23. Langkawi sebagai Geopark Global UNESCO juga merupakan landskap kepulauan berpandangan indah. Kepulauan Raja Ampat mempunyai keluasan lima kali lebih besar, tetapi penduduknya hanya separuh berbanding Langkawi.

24. Walaupun mempunyai cabaran sangat tinggi untuk membangun wilayah ini sebagai geopark, jika berjaya ia bakal menjadi geopark kepulauan berkualiti dan dikagumi.

IBK: 3 Disember 2015

Advertisements