Bahasa dan Ketamadunan Bangsa I

_DSC0899

1. Saya tertarik membaca ruangan Rencana pada 9 November 2016 dalam Berita Harian Digital ketika sedang menghadiri UNESCO General Conference Ke-38 di Paris. Di UNESCO, mereka menggunakan enam bahasa utama dunia sebagai alat komunikasi untuk meraikan kepalbagaian bangsa dan budaya.

2. Idris Jala, Ketua Pegawai Eksekutif, PEMANDU berhujah mengenai kepentingan kuasai Bahasa Inggeris untuk rakyat negara tercinta Malaysia. Sementara Anwar Ridhwan, Sasteraan Negara pula berhujah mengenai kita masih belum terlambat mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa jati diri negara.

3. Kedua-duanya mempunyai pandangan yang bernas dalam memberikan hujahnya, dan banyak daripada kenyataan mereka amat jitu dan meyakinkan. Tiada siapa dapat menafikan bahasa Inggeris amat penting untuk memperkasa jaringan dan perniagaan di peringkat global.

4. Di Malaysia, kelompok yang menguasai ekonomi negara juga adalah bangsa bukan Melayu, bagi mereka, bahasa Inggeris penting dalam dunia perniagaan tempatan. Ini adalah fakta yang tidak dapat dinafikan.

5. Pendedahan mengenai lebih 7,000 bahasa pertuturan daripada kalangan pelbagai suku kaum dunia sedang mengalami kepupusan merupakan satu isu besar ketamadunan sejagat. Beliau menjelaskan kadar kepupusan bahasa ini mungkin mengatasi kepupusan fauna dan flora memberikan makna yang mendalam dan impaknya kepada kepentingan kepelbagaian.

6. Bahasa Melayu adalah bahasa besar, bahasa ilmu dan penuturnya adalah ke-4 terbesar di dunia. Apakah di Malaysia bahasa ini akan mengalami kepupusan akibat tindakan bangsa penuturnya sendiri?

7. Idris Jala berhujah menyatakan majoriti rakyat Malaysia menyokong dua program yang sedang dianjurkan oleh kerajaan iaitu Highly Inversive Program (HIP) dan Dual Language Program (DLP).

8. Bagaimanapun, soal selidik dilakukan dengan menggunakan soalan dalam talian, apakah majoriti rakyat luar bandar berupaya menjawabnya? Soalan menjurus kepada kepentingan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi bukan kaedah untuk melaksanakannya.

9. Saya sendiri menjawab dan dengan jelas menyatakan, sememangnya baik ramai rakyat Malaysia dapat menguasai Bahasa Inggeris dan beberapa bahasa dunia lain, tetapi lebih penting lagi, rakyat Malaysia perlu menguasai dan menyintai Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi negara. Saya yakin jawapan saya dilihat sebagai menyokong usaha HIP dan DLP!

10. Sepanjang kerjaya sebagai ilmuwan dan pakar dalam bidang Geologi Kejuruteraan, Pemuliharaan Warisan dan Sains Kelestarian, saya banyak menghabiskan masa ke luar negara bersama ilmuan dunia, terutamanya dari China, Jepun, Korea, Indonesia dan beberapa negara di Europah.

11. Tidak pernah terserlah mereka mengabaikan bahasa ibundanya sendiri. Sudah pasti mereka perlu menguasai Bahasa Inggeris atau bahasa ilmu lain, khususnya apabila mempunyai keperluan untuk menimba atau mempelajari ilmu untuk kepentingan sejagat. Ramai juga yang menguasai bahasa lain untuk kepentingan ilmu.

12. Tiada siapa menafikan, pada era ini, bahasa Inggeris sedang menguasai dunia. Oleh itu, kerajaan perlu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan generasi muda, tanpa meninggalkan kesan negatif kepada bahasa rasmi negara.

13. Bagi bangsa Malaysia, bahasa Inggeris adalah alat komunikasi global, tetapi bahasa Kebangsaan seharusnya menjadi bahasa minda, bahasa perpaduan dan warisan budaya bangsa.

14. Sebagai bahasa komunikasi, bahasa Inggeris atau bahasa lain boleh didedahkan kepada masyarakat dengan pelbagai cara. Tetapi jangan sampai menganggu gugat dasar pendidikan negara yang masih mencari tapak di tanah air sendiri.

15. Ramai pemimpin dan ahli teknokrat negara tidak menyedari bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah mencapai tahap tertinggi, setanding dengan bahasa Inggeris atau beberapa bahasa ilmu lain dunia.

16. Negara melalui DBP dan Universiti Awam (UA) tempatan telah berjaya mengangkat martabat bahasa Melayu pada kedudukan sebenar. Malangnya, ketidakyakinan sekelompok kecil pemimpin utama negara dan rakyat berpengaruh yang tidak rela menerima bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu adalah halangan yang paling getis.

17. Tidak semua perkara perlu diputuskan berdasarkan kepada suara majoriti masyarakat berpengaruh. Suara majoriti rakyat kurang berpengaruh atau kurang berpendidikan lazimnya terabai.

18. Ada isu utama negara yang perlu dipelopori oleh pemimpin berwibawa berdasarkan pandangan luas dan jauh, dan di pandu oleh naluri menyintai masyarakat watannya. Jangan sampai bahasa Melayu, satu-satunya bahasa besar dunia, tergolong dalam 7,000 bahasa yang bakal pupus!

19. Saya sangat sedih dengan pernyataan seorang ilmuan bahasa bukan berbangsa Melayu ketika menutup ceramahnya satu ketika dahulu, ‘amat menghairankan, satu-satunya bangsa yang cuba membunuh bahasanya sendiri adalah bangsa Melayu’.

20. Jangan sampai menjadi tikus memperbaiki labu, dan yang di kejar tidak dapat, yang di kandung berciciran.

iBK: 8 Disember 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s