Bahasa dan Ketamadunan Bangsa II

_DSC0797
Pelajar perlu didedahkan dengan alam sekitar

1. Ketika menghadiri mesyuarat Panel Warisan Tabii Dunia di Gland, Switzerland, saya berkampung bersama rakan dari England, Jerman, Prancis, Amerika Syarikat, Australia, Kanada, China, Jepun dan Jordan. Dalam mesyuarat formal, kami semua berbahasa Inggeris.

2. Ramai daripada mereka boleh berbahasa Prancis, mereka bertutur dalam bahasa Perancis ketika makan tengahari dan malam. Rakan dari China berbahasa Mandarin ketika berjumpa dengan rakan senegeranya. Dalam konteks ini, bahasa hanya alat komunikasi.

3. Di Malaysia kini, ramai masyarakat kita keliru dengan peranan yang dimainkan oleh bahasa kebangsaan. Saya lazim melihat, bangsa Melayu dengan Melayu bertutur dalam bahasa Melayu, komuniti China bersama mereka bertutur dalam bahasa China, dan apabila Melayu berjumpa China mereka bertutur dalam bahada Inggeris.

4. Hari ini, lebih kerap kita perhatikan apabila bangsa Melayu berjumpa Melayu, mereka bertutur dalam bahasa Inggeris. Lebih anih lagi, banyak mesyuarat rasmi kerajaan, apabila ahlinya berbangsa Melayu, tetapi bertutur dalam bahasa Inggeris!

5. Kebanyakan negara maju melihat bahasa daripada tiga perspektif. Pertama, sebagai bahasa komunikasi – membaca, menulis dan bertutur. Mereka gunakan secara pragmatik berasaskan kepentingan perniagaan dan jaringan antarabangsa. Individu, komuniti dan organisasi akan meningkatkan kemahiran berbahasa masing-masing mengikut keperluan ini.

6. Di Eropah, kebanyakan masyarakatnya boleh berkomunikasi dalam tiga atau lebih bahasa kerana hubungan yang strategik di Eropah memerlukan penguasaan dalam bahasa Inggeris, Prancis, Jerman, Spanyol, Itali dan Portugis.

7. Peranan kedua adalah sebagai bahasa pendidikan atau penyampaian ilmu. Hampir semua negara maju menyampaikan pendidikan formal dalam bahasa ibundanya sendiri. Mereka percaya bahasa adalah asas budaya bangsa, alat untuk membina jati diri, kewargaan dan alat perpaduan bangsa.

8. Akhirnya, bahasa menjadi pegangan asas untuk membina ketamadunan bangsanya. Di England, Prancis, Jerman, Spanyol, Itali, China, Jepun, Korea dan banyak negara bangsa lain, bahasa pendidikan di sekolah dan universiti adalah bahasa ibundanya.

9. Peranan ketiga ialah sebagai bahasa ilmu tinggi atau bahasa penjana ilmu. Di Malaysia pemimpin terdahulu sememangnya berwawasan jauh, walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan, mereka berjaya membina dasar dan strategi yang kukuh untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.

10. Sejak awal tahun 1970an, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diberikan mandat untuk menyediakan ratusan ribu istilah baharu bagi membolehkan komunikasi ilmu berkualiti dilaksanakan dalam pelbagai bidang ilmu.

11. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM) telah memainkan peranan besar melaksanakan wawasan ini. Sejak tahun 1970 di UKM umpamanya semua kursus prasiswazah di sampaikan dalam bahasa Melayu, tesis Sarjanamuda, Sarjana dan Doktor Falsafah juga ditulis dalam bahasa Melayu.

12. Kemuncaknya, kebanyakan laporan penyelidikan dan penulisan buku ilmiah dan kertas dalam jurnal berkualiti berjaya diterbitkan dalam bahasa Melayu. Berasaskan keupayaan sebagai bahasa ilmu tinggi, hakikatnya, bahasa Melayu hari ini setanding dengan bahasa ilmu lain seperti Jerman, Prancis, Spanyol, Jepun dan Korea.

13. Seluruh negara dunia berhadapan dengan impak arus Globalisasi yang membuka ruang ‘dunia tanpa sempadan’. Perkembangan teknologi maklumat, internet dan jaringan global meningkatkan keupayaan bahasa Inggeris menguasai dunia.

14. Bagi negara yang sedang membangun, kekurangan maklumat dalam bahasa ibunda, menyebabkan impaknya lebih ketara. Kedudukan bahasa Melayu yang masih terperangkap dalam tuntutan kepentingan ekonomi dan warga bukan Melayu menyebabkan ia seakan tidak mampu membawa Malaysia mencapai kemajuan.

15. Lebih membimbangkan lagi, kini pemimpin dan kelompok bangsa Melayu berpengaruh sendiri mulai meragui keupayaan bahasa ibundanya, dan sanggup menggantikan dengan bahasa Inggeris hanya untuk kepentingan pembangunan ekonomi atau percaya kita sedang bergerak ke arah dunia satu bahasa!

16. Negara maju yang kukuh budaya dan ketamadunannya, bertindak jauh lebih bijak, mereka masih mengekalkan sistem pendidikan dalam bahasa ibundanya, tetapi menggalakkan warganya menguasai bahasa global yang lain untuk kepentingan strategik.

17. Pemimpin negara, khususnya peneraju parti keramat UMNO, perlu bertindak dengan bijaksana dalam menangani kepentingan memertabatkan bangsa Melayu.

18. Pendekatan semasa, memberikan penekanan pembelajaraan bahasa Inggeris dalam sistem sekolah kebangsaan sambil mengekalkan sistem pendidikan berbahasa Melayu ada langkah paling bijak.

19. Apa yang perlu dibaiki hanya dalam konteks keberkesanan penyampaian. Sebarang perubahan dasar hanya akan mengundang bencana, ibarat tikus memperbaiki labu.

20. Bahasa Melayu bukan sekadar alat berkomunikasi, ia adalah hati budi, budaya, warisan, alat perpaduan dan ketamadunan bangsa Melayu dan masyarakat Malaysia yang menjadi warga negara tercintai ini.

21. Hanya bangsa bertamadun akan mempertahankan bahasanya hingga ke titisan darah terakhir.

IBK: 9 Disember 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s