Memperkasa Sains Kelestarian 2016

FullSizeRender
Bersama rakan EGN ketika membuat lawatan ke Geopark Sepanyol

1. Tahun 2015 hampir berlalu dan telah memberikan cabaran dan peluang besar pada kehidupan saya. Ini merupakan satu pengalaman hidup berimpak tinggi yang sukar dilupakan.

2. Selepas menamatkan amanah dan tanggungjawab sebagai Naib Canselor, Universiti Malaysia Terangganu pada April lepas, saya harapkan dapat berihat sejenak, mungkin menulis beberapa urusan ilmiah yang tertangguh. Ternyata permintaan dan tanggungjawab sosial mencuri masa saya untuk terus menyumbang dan memperkasa gagasan kelestarian.

3. Antara April hingga September, saya mengharungi masa yang sangat sebuk, menyumbang kepakaran dalam pembangunan geopark di peringkat global. Selaku Naib Presiden, Jaringan Geopark Global (GGN) dan Kumpulan Pakar Geopark UNESCO, saya telah diminta untuk membuat penilaian permohonan ahli baharu iaitu Zhijindong Geopark, China dan penilaian semula Geopark Global Hong Kong.

4. Pada masa yang sama turut membantu persediaan Langkawi Global Geopark berhadapan dengan penilaian semula kedua pada Ogos 2015. Selama hampir tiga bulan, kami perlu membuat persediaan yang rapi untuk berhadapan dengan penilaian penting ini.

5. Selaku Penyelaras Jaringan Geopark Asia Pasifik (APGN) pula, saya turut diundang untuk memberikan khidmat nasihat, menyampaikan kertas dasar dan lawatan lapangan sebagai persediaan geopark mereka berhadapan dengan penilaian semula.

6. Ada di antaranya merupakan geopark baharu yang sedang membuat persediaan terakhir untuk menjadi ahli GGN. Geopark yang dilawati ialah Yandangshan, China; Tedorigawa dan Kirishima di Jepun, dan Batur serta Raja Ampat di Indonesia.

7. Kemuncak kepada aktiviti geopark pada tahun 2015 ialah penganjuran 4th Asia Pasifik Simposium di San’in Kaigan Geopark di Jepun. Selaku Penyelaras APGN, saya menjadi Penasihat Simposium, menyampaikan Kertas Dasar, mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penisahat dan Penyelarasan, APGN, serta menghadiri Mesyuarat Tahunan Biro GGN.

8. Dalam mesyuarat ini, kami meluluskan sembilan geopark global baharu menjadikan jumlah terkini 120 global geopark di 33 negara. Pada masa yang sama Langkawi telah diberikan ‘kad hijau’ menandakan kita berjaya mengurus Global Geopark sendiri dengan cemerlang.

9. Sepanjang tahun ini, saya sempat menjalankan peranan pendidikan dan pembangunan keupayaan mengenai geopark, pemuliharaan tabii dan aktiviti kesedaran kelestarian. Antaranya membantu menjayakan Bengkel Pengurusan Geopark Asia Pasifik di Langkawi, Klinik Pembangunan Geopark Indonesia di Yogyakarta dan Bali, dan Seminar Kesedaran Geopark di Bangkok.

10. Kemuncak penglibatan ialah mewakili negara menghadiri mesyuarat Majlis Sains UNESCO di Paris bagi mengangkat martabat geopark global menjadi Program UNESCO, dan mesyuarat Panel Warisan Dunia IUCN di Gland, Switzerland bagi mengsyorkan tapak warisan dunia 2016.

11. Sejak Julai 2015, saya dijemput untuk berbakti semula dengan UKM, sebagai Felo Utama di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) dan Pengerusi, Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI).

12. Di LESTARI saya boleh meneruskan perjuangan akademik dan minat saya dalam isu kelestarian, sementara di SEADPRI tumpuan akan diberikan kepada pengurangan risiko bencana alam.

13. Peranan para sarjana menjangkaui tugasan mendidik dan membangun universitinya sendiri. Sarjana menjadi pemimpin ilmu yang diterokai kepada kesepakaran, menjadi pemimpin pemikiran terbaharu kepada negara dan warganya, dan bertindak sebagai intelek awam pempromosi halatuju masa hadapan kepada masyarakat.

14. Sumbangan ahli akademik tidak terbatas kepada institut atau fakultinya, tetapi merangkumi ke keperluan negara, masyarakat serantau dan warga global.

15. Selaku Sarjana, saya bertanggung jawab mengembangkan ilmu yang sangat dekat dihati iaitu geologi dan kelestarian.

16. Melalui bidang Geologi Kejuruteraan saya mengharapkan setiap pembangunan infrastruktur berpegang kepada prinsip kesesuaian tapak, kestabilan pembinaan dan kos optimum. Ini pastinya menyahut gagasan kesejahteraan masyarakat daripada perspektif menyediakan kemudahan asas yang selesa dan tanpa bahaya.

17. Melalui bidang Geosains Sekitaran pula saya memberikan tumpuan kepada idea ‘menggunakan sumber bumi secara tanpa musnah’, mengembangkan konsep geowarisan, geotapak dan geopemuliharaan. Sumber bumi – batuan dan landskap masih kurang mendapat perhatian dalam gagasan pemuliharaan warisan tabii.

18. Peranan utama adalah mengingatkan kita, geologi adalah asas dalam pemuliharan spesis dan habitat, serta ketamadunan manusia.

19. Akhirnya kami memperkenalkan konsep geopark – suatu alat pengurusan untuk pembangunan lestari wilayah. Ia memberikan penekanan kepada kepentingan pemuliharaan warisan secara terintegrasi, meningkatkan kesedaran dan keupayaan komuniti setempat untuk menyintai warisan, dan membangun ekonomi tempatan secara lestari.

20. Selesai kini tahun 2015, dan tahun 2016 menanti dengan penuh peluang dan cabaran.
IBK: 30 Disember 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s