Tuba Dalam Arus Perdana Geopark

 

_DSC0521
Sil Granit Tuba – Geowarisan bernilai kebangsaan

1. Saya ucapkan syabas kepada Rakan Langkawi Geopark (FLAG), Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL-UKM) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang berjaya menganjurkan Seminar Program Geopark Pulau Tuba awal tahun ini.

2. Para Jemputan termasuk pelbagai agensi berkepentingan termasuk pejabat Daerah, Jabatan Perhutanan, Jabatan Polis, Jabatan Haiwan, Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung dan SWCorp. Sekitar 150 penduduk mewakili pelbagai kelompok masyarakat hadir dan terlibat dengan aktif.

3. Seminar ini merupakan usaha awal membawa seluruh penduduk Pulau Tuba dan Selat Bagan Nyior duduk semeja dan berbincang mengenai kepentingan mereka.

4. Usaha membangun Pulau Tuba bersama geopark telah bermula sejak tahun 2007 ketika Langkawi diisytihar sebagai Geopark Global. Banyak prasarana pelancongan telah dibangunkan ketika itu. Antaranya, trail (lanai) ke Gua Wang Buluh, jambatan menghubungi Tuba dan Bagan Nyior, jeti dan jalan tambahan untuk pelancongan.

5. Sebahagian daripada prasarana ini telah uzur, dan setengahnya pula sudah tidak boleh digunakan lagi. Ada yang menyatakan penyelenggaraan tidak dilaksanakan dengan sempurna, tetapi pada hakikatnya, tidak ramai pelancong datang berkunjung ke pulau ini.

6. Pulau Tuba merupakan pulau ketiga terbesar di Lengkawi dan dihuni oleh lebih 2,000 orang penduduk tempatan. Kebanyakannya penduduk di sini berkerja sebagai nelayan dan petani.

7. Terdapat juga sebahagian kecil yang berkerja dalam industri pelancongan. Kenyataannya, ramai anak muda telah keluar ke pulau besar Langkawi untuk berkerja bagi memperoleh pendapatan yang baik.

8. Pulau ini unik dalam pelbagai hal, khususnya mempamerkan landskap berpandangan indah. Di beberapa lokasi, kita dapat melihat warisan geologi bernilai kebangsaan iaitu rekod saintifik penting mengenai sejarah pembentukan Bumi Malaysia.

9. Formasi Batu Kapur Kars Tropika dan rajahan batuan Granit yang membentuk Pulau Tuba ini mencorakkan keindahan landskap tabii dan berpotensi menarik pelancong untuk menikmatinya.

10. Dalam perbincangan yang dilakukan dengan penduduk kampung, jelas mereka dahagakan pembangunan dan bersedia untuk bersama dalam arus pembangunan geopark Langkawi.

11. Mereka telah melakukan pelbagai usaha mengikut kemampuan yang ada. Begitupun, masih banyak cabaran dan ranjau yang perlu diharungi. Kami mendengar keluhan mereka dangan penuh keinsafan dan hati yang terbuka.

12. Berdasarkan pembentangan oleh pelbagai agensi berkepentingan dan pandangan penduduk kampung, saya yakin pelancongan Pulau Tuba boleh diarusperdanakan sekiranya semua pihak bersedia berkerjasama dan sanggup memberikan komitmen tinggi.

13. Tiga perkara asas yang perlu diberikan perhatian untuk mencapai kejayaan ialah membangun produk pelancongan berinovasi, strategi mempromosi pelancongan Tuba secara berterusan, dan memperkukuh keupayaan komuniti setempat sebagai peneraju pelancongan.

14. Produk pelancongan di Pulau Tuba perlu dibangunkan berasaskan warisan alam, khususnya landskap berpandangan indah. Landskap Kars Tropika, Tor Granit, pantai berpasir dan berbatu, tapak geowarisan dan kepelbagaian biologi Batu Kapur perlu dijadikan asas pembangunan pelancongan.

15. Pendekatan pelancongan-ilmu dan rekreasi berasaskan konsep geopelancongan boleh dijadikan panduan untuk membangun produk. Ia boleh bersifat produk tersendiri atau rangkaian berasaskan sebuah geotrail. Produk sampingan seperti homestay, restoran dan kraftangan bolehlah dibangunkan bersama mengikut unjuran pelancong.

16. Ramai penduduk kampung berpendapat usaha promosi tidak mencukupi untuk membawa pelancong berkunjung ke Pulau Tuba. Bagaimanapun, saya berpendapat Tuba tidak memiliki satu produk pelancongan lestari.

17. Sekiranya sebuah geotrail yang baik dapat disediakan, sebahagian daripada pelancong yang mengunjungi Tasik Dayang Bunting boleh dipandu untuk melawat Tuba. Dengan cara ini, Tuba bakal mendapat pelancong harian secara berterusan dan susulannya perusahan homestay, restoran dan kraftangan mampu berkembang secara lestari.

18. Faktor kejayaan utama membangun pelancongan di Tuba terletak di bahu komuniti setempat. Mereka perlu bersatu hati, berusaha dalam satu komuniti bersepadu dan bersedia membangun keupayaan serta kemahiran berkaitan industri pelancongan, alam sekitar dan pemuliharaan warisan.

19. Oleh itu, pihak berkepentingan seperti LADA, PPL-UKM dan FLAG boleh memainkan peranan sebagai pengerak dan pemudahcara program seminar, bengkel dan kursus pembangun keupayaan pelbagai kelompok penduduk Pulau Tuba. Apabila penduduk tempatan telah diperkasa, aktiviti pelancongan lebih mudah dilestarikan.

20. Pembangunan Langkawi UNESCO Global Geopark berpegang kepada prinsip memperkasa komuniti, pemuliharaan warisan alam dan pendidikan awam untuk kelestarian. Pulau Tuba dan komuniti tempatan perlu di bawa bersama dalam arus perdana pembangunan geopark dan geopelancongan.
IBK: 12 Februari 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s