Pendidikan STEM Bahasa Melayu

IMG_4931
Peta Kuno Kepulauan Jeju, Korea Selatan

 

1. Polemik mengenai apakah pendidikan STEM perlu menggunakan bahasa Inggeris atau mengekalkan dalam bahasa Melayu seperti tidak berkesudahan.

2. Terakhir, Prof Dato Dr Wan Ramli Wan Daud, seorang ahli Sains Kejuruteraan terkemuka negara menyatakan beliau mendidik ratusan pelajar PhD dalam bahasa Melayu.

3. Beliau bersama seorang pelajarnya kini diikhtiraf oleh masyarakat global sebagai malim sarjana berminda sains paling berpengaruh di dunia.

4. Usah dipersoalkan lagi keperluan untuk belajar dan menguasai bahasa Inggeris iaitu bahasa global yang sangat berpengaruh. Begitu juga, kepentingan masyarakat Malaysia untuk menguasai lebih daripada dua bahasa berpengaruh dunia.

5. Seluruh warga global bersetuju dengan premis ini. Mereka sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan berbahasa melalui pelbagai program pendidikan bahasa dan pendedahan berkomunikasi secara meluas.

6. Mari kita bincangkan mengenai sistem pendidikan negara, khususnya pendidikan STEM secara rasional dan dalam konteks pembangunan dan membina tamadun bangsa Malaysia.

7. Berasaskan Perlembagaan, kita telah memulakan sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu sejak negara mencapai kemerdekaan. Kemuncak perlaksanaan ialah apabila universiti tempatan mulai menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan tinggi pada awal 1970an.

8. UKM ditubuhkan untuk memenuhi dasar dan tuntutan ini, dan kini tiada siapa dapat menafikan, UKM adalah antara universiti awam terunggul negara dan dihormati di peringkat antarabangsa.

9. Pada masa ini Malaysia memiliki ratusan ribu bakat akademik, saintis, profesional dan pengurus yang berjaya di didik menggunakan bahasa Melayu.

10. Dalam dunia akademik umpamanya, ribuan para profesor dan puluhan ribu ahli akademik berkelulusan PhD berjaya dibangunkan melalui sistem pendidikan kebangsaan. Sebahagian besar daripada mereka sebaik sahaja selesai belajar di tanah air, melanjutkan pendidikan tinggi di negara berbahasa Inggeris, dan berjaya dengan cemerlang.

11. Merekalah juga yang menerbitkan pemikiran intelek dalam jurnal berimpak tinggi, mengharumi nama negara dan dihormati di peringkat global.

12. Dalam polemik terbaharu, ramai ahli sains terdahulu yang di didik menggunakan bahasa Inggeris berhujah, sekiranya ahli sains kita fasih dalam bahasa Inggeris, meraka akan terdedah dengan pelbagai sumber penulisan sains untuk kecemerlangan kerjayanya.

13. Bayangkan, jika mereka telah menulis dalam jurnal berimpak tinggi dan dijemput untuk menyampaikan pandangan di persidangan antarabangsa, apakah mereka tidak mampu membaca bahan berbahasa Inggeris?

14. Atau maksud golongan ini, ahli sains kita kurang mampu bertutur seperti anak watan Inggeris!

15. Dalam kerjaya sebagai ahli akademik, saya telah di undang untuk berkongsi pemikiran dan ilmu di banyak negara maju, termasuk Jerman, Prancis, China, Jepun, Korea, Spanyol dan Portugal.

16. Semua negara ini menggunakan bahasa ibundanya dalam menjayakan agenda pendidikan negara. Semua media komunikasi national termasuk, seminar dan persidangan, penulisan laporan dan tesis, dan penerbitan ilmiah adalah dalam bahasanya sendiri.

17. Hanya apabila mereka berkomunikasi di peringkat antara bangsa mereka menggunakan bahasa global atau menyediakan khidmat terjemahan ke bahasa Inggeris.

18. Saya tertanya-tanya, mengapa ahli sains kanan dan berpengaruh, sebahagiannya berbangsa Melayu ini berfikiran hanya pendidikan STEM dalam bahasa Inggeris boleh membawa negara ke tahap kemajuan tinggi.

19. Saya baharu mendapat jawapan, mereka sebenarnya di didik dalam bahasa Inggeris, dan tidak pernah terdedah dengan STEM berbahasa Melayu! Nostalgia bahasa penjajah masih sangat menebal dan sukar terhakis.

20. Saya juga satu ketika dahulu, meragui pendidikan STEM dalam bahasa Mandarin, Jepun dan Korea, hanya kerana terdedah dengan pendidikan STEM dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

21. Kemajuan sesuatu bangsa bukan ditentukan oleh bahasa pendidikan STEM, tetapi berkait rapat dengan sejarah dan budaya sesuatu bangsa. Bangsa Malaysia masih muda dan terdiri daripada masyarakat majmuk, didominasi oleh Melayu, Cina dan India.

22. Sejarah dan kontrak sosial telah menetap satu kesepakatan, bahasa Melayu dijadikan bahasa Kebangsaan. Kita telah bergerak sejak selepas merdeka, menjadikan bahasa Melayu bahasa komunikasi untuk perpaduan kaum, bahasa pendidikan kebangsaan dan bahasa ilmu tinggi.

23. Kini bahasa Melayu telah mantap, boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bahasa terkemuka dunia.

24. Bagi warga yang menyintai negaranya, menggunakan bahasa Malaysia adalah satu tanggungjawab moral dan sosial. Para saintis perlu terus beriltizam memperkasa bahasa Melayu STEM sebagai bahasa pendidikan dan ilmu tinggi.

25. Memandangkan semua warga Malaysia boleh membaca dan bertutur dalam bahasa kebangsaan, tuntutan perlembagaan hanya berkaitan penggunaan dalam negara. Kita hanya perlu memantapkan penyampaian lisan dan tulisan saintifik apabila berkomunikasi sesama kita dalam negara.

26. Tulislah kertas ilmiah dalam bahasa Inggeris, Jepun, Mandarin atau Jerman di arena antarabangsa.

27. Negara telah mulakan pembangunan dan pemerkasaan bahasa Melayu STEM sejak 60 tahun lepas. Telah terbukti, bahasa Melayu Ilmu Tinggi berjaya digunakan untuk semua bidang ilmu. Hampir semua warga terpelajar telah terdedah dan berupaya menggunakan dalam kerjayanya.

28. Marilah kita bersatu hati, dengan keyakinan membatu dan iltizam mengunung, menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bagi membina bangsa bertamadun di tanah air sendiri.
IBK: 9 Mac 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s