Geologi Dalam Pendidikan Sains Tulen

_DSC0046
Komuniti setempat bersama mencari fossil dinosaur, Melbourne Australia

 

 

1. Sejarah perkembangan pendidikan sains tulen di Malaysia dipengaruhi oleh bidang fizik, kimia, matematik dan biologi. Hal ini disebabkan pengasas sains terdahulu umumnya berlatarbelakangkan empat bidang ini.

2. Bidang geologi telah dibangunkan oleh kerajaan Inggeris sejak tahun 1900an, ilmu ini dianggap eksklusif di bawah naungan Jabatan Penyiasatan Kajibumi (kini dikenali Jabatan Mineral dan Geosains) yang hanya menumpukan perhatian kepada meneroka sumber mineral dan arang batu.

3. Di peringkat global, khususnya negara maju Sains Tulen iaitu asas pembangunan pengetahuan sains boleh dibahagikan kepada dua: sains asas dan pembangunan kaedah iaitu fizik, kimia dan matematik; dan sains meneroka alam iaitu biologi (Sains Hayat) dan geologi (Sains Bumi).

4. Jika biologi memberikan tumpuan kepada alam hidupan, geologi pula memberikan tumpuan kepada alam bukan hidupan.

5. Telah beberapa kali kami mencadangkan sepaya subjek geologi diperkenalkan di peringkat sekolah menengah, tetapi semua usaha ini tidak berhasil.

6. Ada pembuat dasar menyatakan, bukankah kita sudah mempunyai subjek geografi? Kenyataan ini jelas menunjukkan, mereka tidak dapat membezakan pengetahuan geografi yang berasaskan sains sosial dengan bidang geologi sebagai ilmu sains tulen.

7. Terdapat juga ahli sains di Malaysia yang meletakkan bidang geologi sebagai sains gunaan sama seperti sains kejuruteraan, perubatan, bioteknologi dan sains komputer. Oleh itu, katanya ia bukan bidang sains tulen yang perlu dijadikan asas pengetahuan sains di peringkat persekolahan.

8. Penjelasan ini diberikan kerana mereka terpengaruh dengan tradisi penggunaan ilmu geologi di negara yang hanya tertumpu kepada sektor pembangunan sumber mineral dan tenaga.

9. Geologi atau Sains Bumi berkembang sebagai ilmu sains tulen kerana para saintis ingin mencari jawapan kepada persoalan asas mengenai asal mula Bumi, satu-satunya planet di cakrawala Bimasakti sesuai untuk kehidupan.

10. Keinginan untuk mengetahui bila dan bagaimana Bumi terbentuk, struktur dalaman dan kandungan kimia, serta sejarah perkembangan kerak Bumi masih terus diselidiki oleh ahli geologi hingga ke hari ini.

11. Semua ini adalah pengetahuan asas yang memerlukan pelbagai kaedah sains untuk mengupas fenomena alam dan untuk memahami sejarah Bumi.

12. Bidang Sains Bumi mempunyai beberapa cabang ilmu yang mengupas mesteri dan sejarah perkembangan planet Bumi dan sistem Suria.

13. Petrologi umpamanya, ialah bidang yang mengkaji pembentukan batuan asalan magma, Sementara Sedimentologi pula bidang yang meneliti proses pembentukan batuan sedimen.

14. Ilmu Geomorfologi mengkaji proses pembentukan rupabumi, sementara Paleontologi adalah ilmu yang membuat kajian bersistem mengenai spesies dan sekitaran hidupan kuno (fossil).

15. Seperti bidang Sains Tulen lain, geologi juga mempunyai komponen sains gunaan, umpamanya Geologi Perlombongan memberikan tumpuan kepada mencari, menganggar dan menilai sumber mineral yang berpotensi di lombong.

16. Geologi Petroleum ialah ilmu yang memberikan tumpuan kepada penerokaan minyak dan gas asli, sementara Geologi Kejuruteraan, bidang kepakaran saya ialah aspek penggunaan ilmu geologi dalam membantu merancang dan melaksanakan pelbagai kerja kejuruteraan seperti menbina terowong, lebuhraya, pelabuhan dan bangunan tinggi.

17. Kebelakang ini, minat pelajar untuk mengambil subjek Sains Tulen semakin merosot dan kini telah mencapai tahap kritikal. Ramai pelajar merasakan memilih Sains Tulen, satu subjek susah dan kering adalah tidak berbaloi.

18. Tambahan pula, graduan bidang ini dikatakan sukar mendapat pekerjaan dan tidak menjanjikan kehidupan yang mewah.

19. Jika tren ini berterusan, negara akan berhadapan dengan halangan getis memenuhi wawasan negara maju dan meningkatkan prestasi sains dan teknologi untuk bersaing di peringkat global.

20. Sains Tulen perlu didedahkan kepada semua pelajar di sekolah rendah dan menengah secara bersistem, holistik dan penuh dengan kegembiraan. Walaupun matematik boleh diajar secara berasingan untuk mengukuhkan kemahiran mengira dan menganalisis secara logik.

21. Fizik, kimia, biologi dan geologi perlu dipersembahkan secara terintegrasi dan relevan dalam kehidupan seharian.

22. Jika di bilik darjah dan makmal, pelajar didedahkan dengan konsep dan ujikaji kaedah sains, mereka boleh dibawa ke lapangan untuk memahami fenomena alam khususnya hubungkait antara manusia, hidupan dan bukan-hidupan.

23. Bidang biologi dan geologi, jika disampaikan secara berkesan dengan pendedahan meluas di luar bilik darjah, bakal menjadi subjek yang segar dan menyeronokkan. Interaksi dengan alam mencabar minda pelajar dan memupuk semangat ingin tahu secara mendalam.

24. Inilah cara terbaik untuk membina budaya sains daripada kalangan generasi muda, sambil memperkasa pendidikan Sains Tulen negara bagi mencapai wawasan negara maju bangsa berilmu.
IBK: 20 Mac 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s