Institut Inovasi Strategik Johor

DSCN2151a
Idea inovasi Boleh diterapkan melalui pembelajaran tak formal

 

1. Saya kagum dengan pandangan jauh dan pemikiran mendahului zaman YAB Menteri Besar Johor, Dato Seri Khaled Nordin apabila beliau mencadangkan UTM menerajui kekuatan IPT yang berada di Johor mengembeleng tenaga membangun hub inovasi canggih di Iskandar.

2. Beliau bayangkan satu hari nanti, UTM boleh menjadi seakan Stanford University yang berjaya melahirkan Stanford Industrial Park bagi menyokong pembangunan Silicon Valley di San Fransisco sebagai mercu kebanggaan inovasi global.

3. Saya tertarik dengan dua perkara asas yang dibangkitkan oleh Khaled dalam ucapan perasmian penubuhan Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ) pada 21 Mac 2016 di UTM Johor Bahru.

4. Pertama, beliau menyatakan secara jelas dan dengan iltizam tinggi bahawa ahli akademik (ilmuwan) di IPT merupakan aset intelek unggul untuk membangun Johor yang lestari. Ini adalah perakuan yang jarang kita dengar dari pemimpin politik sesebuah negeri atau negara.

5. Justru, beliau mencabar ahli akademik, jika ilmu di dada tidak dapat dimanfaatkan untuk pembangunan bangsa dan negara, maka ia adalah satu tragedi kepada peradaban.

6. Kedua, beliau percaya membangun negeri dan mengangkat kesejahteraan warga Johor adalah satu tanggungjawab amat mencabar dan tidak mungkin dapat disempurnakan tanpa sokongan dan kebitaraan ilmuwan yang berada di IPT.

7. Dasar dan iltizam politik sahaja tidak mencukupi untuk menjayakan program pembangunan, jika pemikiran, pengetahuan dan inovasi yang dimiliki ilmuwan tidak digembeleng bersama. Saya ingin mengingatkan beliau, bakat ilmuwan tidak sahaja berada di Johor, tetapi ramai juga yang sedang berkhidmat di IPT seluruh negara.

8. Meraikan inovasi untuk pembangunan negeri mempunyai pelbagai cabaran. Cabaran ini bukan sahaja berpunca daripada faktor dalaman seperti tahap kemajuan dan budaya berinovasi di sekitaran IPT, tetapi berkait rapat dengan cirian dan amalan yang telah sebati dalam sistem industri, masyarakat dan kerajaan.

9. Jika industri kita masih taksub dan selesa dengan teknologi luaran dan jentera kerajaan masih dibelenggu dengan kerenah birokrasi, tiada seberapa yang dapat diinovasikan oleh minda pintar dari IPT.

10. Mari kita meneliti sekitaran dan budaya IPT di peringkat kebangsaan kini. Mereka masih mengamal dan menjalankan fungsi tradisi iaitu penyelidikan, pendidikan dan perkhidmatan akademik. Penyelidikan untuk meneroka ilmu dan berkongsi sesama ilmuwan masih menjadi amalan kesarjanaan dan kewibawaan akademik.

11. Pendidikan untuk menghasilkan graduan, pelapis kepimpinan dan bakat mahir tidak mungkin boleh dipinggirkan untuk kelestarian pembangunan negara. Seterusnya, dalam perkhidmatan akademik, hanya jika diperlukan, ilmuwan selesa dan bersedia memberi sumbangan bermakna kepada pihak berkepentingan.

12. Untuk menyahut tuntutan dan cabaran murni Menteri Besar Johor, saya berpendapat IISJ yang ditubuhkan ini perlu mencetus paradigma baharu berinovasi, tetapi sejajar dengan falsafah dan fungsi IPT sedia ada iaitu penjana, penyebar dan pemimpin ilmu.

13. Saya pernah syorkan konsep inovasi yang sesuai diamalkan oleh IPT tempatan jika berhasrat menyahut tuntutan semasa iaitu dengan mentakrif semula penyelidikan dan perkhidmatan daripada perspektif inovasi ilmu, inovasi teknologi dan inovasi sosial.

14. Dalam konteks inovasi ilmu, bagi memperkasa dan mengekalkan kepimpinan kesarjanaan ahli akademik perlu menerbit dalam jurnal berimpak tinggi. Inilah tempatnya kualiti ilmu dikawal dan budaya perkongsian pemikiran aras tinggi disuburkan.

15. Begitupun, sumbangan intelek tidak seharusnya terhenti setakat berkongsi ilmu sesama pakar sahaja, para sarjana perlu digalakkan untuk turut menyumbang pemikiran melalui penulisan bersifat pengaruh dasar dan pendidikan awam.

16. Kunci kejayaan iltizam Khaled terletak kepada inovasi teknologi. IISJ seharusnya menjadi institusi pemikir berkaitan hala tuju pembangunan teknologi Johor. Teknologi bagaimana yang perlu diterajui Johor untuk menjadi pemimpin transformasi, pendahulu perubahan sambil mengekalkan daya saing ekonomi.

17. Pada hemat saya, sektor maritim dan sumber kelautan, teknologi hijau, pendidikan holistik, keselamatan makanan, kelestarian pelancongan adalah peluang yang boleh diterajui. Oleh itu penyediaan dana penyelidikan berterusan untuk menghasilkan inovasi teknologi dalam semua sektor ini diperlukan.

18. Kunci kejayaan paling berstrategi terletak kepada keupayaan IPT mengerakkan inovasi sosial. Kebanyakan kelemahan dalam mengharungi perubahan atau merebut peluang terletak pada set minda para pemain industri, komuniti dan pemimpin kerajaan itu sendiri.

19. Berasaskan ilmu yang telah terkumpul, ahli akademik berupaya meneroka gagasan inovasi sosial ke arah komuniti berminda kelas pertama, peneraju perubahan dan membina pasukan yang bersedia menyahut cabaran serta persaingan global.

20. Johor mampu menjadi peneraju gagasan perubahan berteraskan ilmu untuk negara dan bangsa. Sebagai anak Johor yang berada di sekitaran menara ilmu, saya yakin dengan wawasan serta iltizam Khaled berhasrat mengembeleng komuniti ilmuwan menjayakan maufakat Johor.

21. Inilah masanya bagi warga universiti melalui IISJ membuktikan keupayaan dan kecemerlangan institusi istimewa ini.
IBK: 6 April 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s