Bahasa Jiwa Bangsa

_DSC0204.JPG

 

1. Saya merasa terharu dan sedih mendengar berita kematian Datuk Dr Hassan Ahmad sebaik bermula menyambut Hariraya Aidilfitri tahun 2011. Jika Pendita Za’aba dianggap pengasas bahasa Melayu ilmuwan, Allahyarham Hassan Ahmad, bagi saya merupakan bapa bahasa Melayu moden dan bahasa kebangsaan Malaysia.

2. Beliau menerajui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika bahasa Melayu mengharungi cabaran besar arus globalisasi. Selepas bersara dari DBP sehingga menghembuskan nafas terakhir, beliau masih tidak berputus asa, memperjuangkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

3. Saya yakin, jika ada satu penyesalan di lubuk hatinya, beliau terkilan masih belum berjaya menempatkan kedudukan bahasa Melayu di tempat sebenar – bahasa kebangsaan yang digunakan dan dihormati semua warga Malaysia.

4. Kegagalan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam erti kata sebenar, bukan berpunca dari arus globalisasi. Kegagalan ini juga bukan disebabkan kelemahan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

5. Saya percaya, kegagalan ini disebabkan ‘penjajahan minda’ yang berterusan sekumpulan orang Melayu berpengaruh. Sehingga ke saat ini, mereka masih tidak yakin bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu, dan mereka takut jika masyarakat tidak menguasai bahasa Inggeris, negara akan kehilangan keupayaan bersaing.

6. Saya telah bergaul dengan golongan ini dan mengenali akal budinya. Walaupun pada hakikatnya mereka mencinta negara dan bangsanya, dan ingin melihat Malaysia terus berjaya, tetapi mereka tidak bernasib baik, tidak mendapat peluang mengenali dan menghayati perkembangan bahasa ibundanya.

7. Walaupun boleh bertutur dalam bahasa Melayu, bahasa fikiran dan bahasa jiwa kelompok berpengaruh ini masih dalam bahasa penjajah! Dalam keadaan begini, pintu hatinya masih tertutup untuk meyakinkan diri, bahawa keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu kini telah menyamai bahasa-bahasa besar lain di dunia.

8. Justeru, beberapa cabaran kecil terhadap kegunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu dilihat sebagai halangan besar yang tidak mungkin dapat diselesaikan.

9. Pada awal tahun 1970an, ketika bahasa Melayu baru sahaja dikembangkan sebagai bahasa ilmu, ada golongan masyarakat yang menghebahkan, bahasa Melayu bukan bahasa komersial. Sekitaran perniagaan tempatan kononnya kaku dengan bahasa Melayu dan ingin terus menggunakan bahasa penjajah.

10. Alasan ketika itu, perniagaan antarabangsa perlu menggunakan bahasa Inggeris. Kenyataannya, di luar sana, bahasa yang paling lumrah digunakan untuk perniagaan ialah bahasa Melayu pasar dan bahasa Cina. Hanya segelintir penyiaga yang berurusan dengan negara luar menggunakan bahasa Inggeris.

11. Pada tahun 1990an pula, dengan alasan globalisasi, negara dikatakan tidak mungkin maju dan berdaya saing jika rakyatnya tidak menguasai bahasa Inggeris. Memang benar penguasaan bahasa Inggeris merupakan nilai tambah untuk meningkatkan daya saing negara.

12. Bagaimanapun, penguasaan bahasa Inggeris tidak bererti pengabaian bahasa kebangsaan. Hakikatnya, komunikasi berkesan dalam negara masih memerlukan bahasa Melayu, mengukuhkan perpaduan masih memerlukan bahasa kebangsaan, dan perluasan pendidikan ke luar bandar juga memerlukan bahasa kebangsaan.

13. Lihatlah, negara maju lain di Eropah, China, Jepun, Korea – mereka memberikan perhatian yang berat untuk menggunakan bahasa ibunda dalam negaranya.

14. Terakhir ini, suatu yang luar kewarasan fikiran, apabila dasar pangajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris diperkenalkan. Mujurlah kerajaan segera sedar kesilapan ini, dan menukar semula ke bahasa kebangsaan. Apa agaknya yang diharapkan?

15. Jika kemahiran berbahasa Inggeris yang ingin ditingkatkan, kukuhkan kemahiran ini melalui pengajaran bahasa Inggeris, bukan melalui pengajaran sains dan matematik!

16. Saya merupakan seorang yang percaya, masa depan bangsa Malaysia terletak kepada keupayaan masyarakatnya menguasai lebih daripada dua bahasa. Oleh itu, dalam sistem pendidikan negara, disamping penguasaan bahasa kebangsaan, pelajar perlu menguasai bahasa Inggeris dan satu atau dua lagi bahasa asing. Ini boleh dilakukan jika pendidikan bahasa dimulakan dari kecil lagi.

17. Kita sedar, sebuah negara berwawasan berhasrat menjadi negara maju menjelang 2020, perlu mempunyai strategi pembangunan yang mantap.

18. Semua usaha meningkatkan pendapatan negara, membasmi kemiskinan, memperkukuhkan modal insan berilmu, transformasi ke arah negara industri dan teknologi maju, meningkatkan daya keusahawanan komuniti, memperluaskan jaringan dan rakan kongsi global – merupakan stratagi pembangunan yang perlu dilaksanaan. Kepentingan pembangunan ini tidak pernah dipersoalkan.

19. Bagaimanapun, sebuah negara maju dan dihormati perlu mempertahankan ketamadunan dan jati diri bangsanya. Bangsa yang bersatu dan menyintai negaranya sangat peka terhadap keunikan warisan, tradisi dan budaya yang mengambarkan identiti negara bangsanya.

20. Bagi Malaysia, bahasa kebangsaan merupakan bahasa penyatu, jiwa bangsa dan keunikan identiti yang boleh ditonjolkan sebagai pengenalan bangsa. Apa ertinya negara maju, jika warisan unggul ini dikuburkan, dan rupa kita sama seperti bangsa lain di dunia?

21. Seperti ribuan bahasa peribumi terkubur atau hampir pupus, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sedang berhadapan dengan cabaran yang sama.

22. Nama besar seperti Datuk Dr Hassan Ahmad merupakan benting terakhir bagi kita menyelamatkan bahasa Melayu daripada terus menuju kepupusan. Kini benting tersebut telah roboh, dan ombak globalisasi akan lebih mudah melanda dan melenyapkan keunikan identiti bangsa yang sedang mewarnai negara tercinta ini.

IBK: 10 April 2016

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s