Sejarah Sains Moden Malaysia

FullSizeRender
Majlis Profesor Negara sedang mendengar taklimat mengenai Langkawi Global Geopark

 

1. Saya terpanggil untuk menulis pencapaian hebat bangsa Melayu dalam bidang sains tulen atas dua sebab: pertama, sejarah perkembangannya tersangat muda dan sebahagian besar peneraju masih hidup lagi.

2. Kedua, jika tiada sejarawan yang berminat untuk mencungkil sejarah penting ini, dan sebahagian besar warisan keilmuwan ini akan berkubur bersama pemainnya.

3. Sains tulen dalam konteks yang luas tercetus berasaskan ilmu matematik, fizik, kimia, biologi dan geologi. Kemudiannya ia berkembang kepada pelbagai ilmu sains gunaan, khususnya yang berkaitan dengan bidang perubatan, pertanian dan kejuruteraan.

4. Dalam konteks ahli sains unggul pula, saya membataskan takrifan keilmuwan kepada mereka yang telah mencapai pendidikan paling tinggi iaitu Doktor Falsafah (PhD) dalam disiplin ilmu sains tulen tertentu.

5. Ramai yang masih mengingati jasa dan sumbangan Prof Datuk Dr Ungku Omar Ahmad dalam bidang perubatan dan perkembangan sains negara. Bagi saya, beliau merupakan pelopor atau Bapa Sains Moden Negara kerana berminat dalam penerokaan ilmu.

6. Dilahirkan di Johor Baharu pada 1931, allahyarham melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Malaya di Singapura, dan pada tahun 1965 memperolehi ijazah PhD dalam bidang Kimia Klinikal di London.

7. Sekembalinya, Ungku Omar dilantik sebagai Pengarah, Pusat Penyelidikan Perubatan iaitu anak Melayu pertama diiktiraf menjawat jawatan tersebut. Dalam kerjayanya yang singkat, beliau berjaya menyelidik dan menerbit kertas ilmiah.

8. Beliau terlibat aktif dalam Jawatankuasa Penaja penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan terlibat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menghasilkan istilah Melayu untuk bidang Perubatan.

9. Antara pelopor bidang sains tulen negara lain ialah Prof Datuk Dr Mohd Ghazali Abdul Rahman iaitu anak Melayu pertama mendapat ijazah PhD dalam bidang Biokimia pada tahun 1967. Beliau adalah seorang ahli sains yang menjadi pelopor dan Dekan pertama Fakulti Sains, UKM.

10. Kemudiannya menjadi Timbalan Naib Canselor hampir sepuluh tahun untuk membangun pelajar dan program akademik. Selama menjadi pemimpin akademik di UKM, Mohd Ghazali telah menghantar ramai anak Melayu melanjutkan pelajaran ke tahap PhD dalam pelbagai bidang sains tulen ke luar negara.

11. Nama besar lain ialah Prof Emeritus Tan Sri Dr Omar Abdul Rahman, pakar Sains Veterinar dan Presiden Pengasas, Akademi Sains Negara; Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Zawawi Ismail, pakar Fizik dan pernah menjadi Naib Canselor, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas); Prof Emeritus Datuk Dr Noramly Muslim pakar bidang Kimia dan pernah menjadi Timbalan Ketua Pengarah, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

12. Menyebut beberapa nama lain ialah Tan Sri Dr Ahmad Zaharuddin Idrus pakar bidang Sains Pertanian dan pernah menjadi Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Malaysia; dan Tan Sri Dr Salleh Mohd Noor pakar bidang Sains Perhutanan dan pernah menjadi Pengarah, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM); dan Prof Emeritus Tan Sri Zakri Abdul Hamid, Penasihat Sains kepada Perdana Menteri kini.

13. Semua ahli Sains yang dilahirkan pada tahun 1930an dan 40an ini, belajar di Universiti Malaya di Singapura atau di luar negara, terutamanya di Australia dan United Kingdom. Pengetahuan dan pendekatan sains mereka banyak dipengaruhi oleh perkembangan sains barat ketika di zamannya.

14. Apabila pulang ke tanah air, mereka perlu memegang jawatan kepimpinan penting, lantas tidak sempat menjalankan penyelidikan berasaskan persoalan sains tempatan. Bagaimanapun, mereka telah memberikan sumbangan besar dalam membangun bakat dan dasar sains yang telah membawa bidang Sains dan Teknoligi berkembang maju di negara ini.

15. Pembangunan Sains Moden Malaysia sebenarnya bermula apabila negara melahirkan Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1969; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970; dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1971.

16. Dalam tempoh 15 tahun sahaja (1970 – 1985), ratusan, mungkin ribuan anak Melayu telah dihantar ke luar negara menuntut dan meraih ijazah PhD dalam pelbagai bidang sains tulen dan gunaan.

17. Walaupun sebahagian daripada mereka telah bersara, ramai lagi kini menjawat jawatan Profesor di Universiti Awam tempatan. Jika diteliti secara mendalam, sebahagian besar daripada mereka merupakan pelopor bidang sains tertentu untuk negara.

18. Mereka adalah peneraju pembangunan pelbagai bidang sains tulen dan gunaan yang mencorakkan sejarah sains moden Malaysia. Mereka adalah para saintis moden, peneroka ilmu baharu dan menerbitkan pelbagai hasilan dalam jurnal berimpak tinggi.

19. UKM telah mengukir sejarahnya tersendiri dalam membangun dan mempelopori sains moden negara, khususnya dengan menggunakan bahasa ibunda. Dengan mandat menggunakan Bahasa Melayu, pelbagai bidang sains moden telah dibangunkan sebagai ilmu penting dalam pendidikan tinggi negara.

20. Perkembangan pesat dalam penerokaan ilmu sains telah menghasilkan budaya sains berbahasa Melayu, satu warisan bangsa yang tidak ternilai harganya. Kini bahasa Melayu sebagai Bahasa Sains tidak sahaja setanding dengan beberapa bahasa besar dunia, tetapi telah terbukti menjadi bahasa komunikasi sains ilmu tinggi.

21. Kekuatan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dibuktikan dengan ribuan tulisan ilmiah sains di dalam jurnal terindeks, tulisan buku teks, monograf penyelidikan dan tesis PhD.

22. Sains moden di Barat berkembang sejak abad ke-18, dan cerita penerokaan, tokoh dan pencapaian sains dibukukan sebagai sumber sejarah tamadun penting dunia.

23. Ramai yang tidak sedar, sains moden di Malaysia baharu sahaja berkembang iaitu mulai awal tahun 1960an. Kini negara sedang menyaksikan perkembangan pesatnya. Sebahagian besar daripada pemainnya masih hidup dan aktif meneroka bidang ilmu masing-masing.

24. Begitupun, apakah warga Malaysia mengikutnya, apakah negara dapat merasakan sumbangannya, dan apakan masyarakat menghargai tokoh ilmuwan ini? Ahli sejarawan perlu mengumpul maklumat warisan penting ini?

25. Penerbitan sains mereka telah banyak terkumpul dalam penulisan buku dan makalah sains. Bagaimanapun, sejarah dan cereta perkembangan ahli sains pelopor ini, belum banyak yang terkumpul dan dibukukan.
IBK: 11 April 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s