PROTON dan Teknologi Canggih Negara

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK
Proton Perdana
1. Kerajaan berpandangan jauh dan prihatin kepada kepentingan awam apabila bersetuju memberikan pinjaman mudah sebanyak 1.5 billon ringgit kepada PROTON ketika syarikat ini sangat memerlukannya.
2. Saya teringat ketika negara mengeluarkan kereta pertamanya, semua warga Malaysia diminta mencadangkan nama hasilan teknologi kelahiran pertama ini. Kita dengan bangga bersetuju memanggil kereta istimewa negara sebagai Proton Saga.
3. Saga ialah perkataan Melayu berasal daripada biji Saga berwarna merah membara. Saya juga difahamkan, semua biji Saga mempunyai berat yang sama sehingga masyarakat Melayu lama menggunakan Saga sebagai ukuran berat emas permata.
4. Saga menggambarkan akal budi Melayu, penting dalam kehidupan perniagaan dahulu kala, dan melambangkan ketinggian nilai ketamadunan bangsa. Begitulah kita menghargai kelahiran sulong teknologi kebanggaan bangsa.
5. Selepas kelahiran Proton Saga lebih 30 tahun lampau, rakyat Malaysia sangat berbangga dengan keupayaan pentadbiran negara. Apabila keluar negara, kita dapat perhatikan kereta kebangsaan dipandu di jalanraya oleh pelbagai bangsa di ceruk dunia.
6. Banyak negara jiran berasa irihati, lantas mempersoalkan bagaimana Malaysia boleh maju ke hadapan dan menghasilkan keretanya sendiri. Peristiwa kejayaan PROTON ketika itu telah menimbulkan rasa bangga dan cinta warga terhadap tanah airnya.
7. Bagi kebanyakan bangsa Malaysia, PROTON bukan sekadar sebuah syarikat perniagaan yang berdaya maju. PROTON memikul tanggungjawab tiga dalam satu.
8. Pertama, organisasi yang diamanahkan untuk membangun teknologi canggih tempatan yang bakal menjadi asas kepada keupayaan membina teknologi tinggi negara.
9. Kedua, ia adalah lambang semangat dan iltizam rakyat Malaysia yang bercita-cita untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju di dunia.
10. Ketiga, sebagai syarikat pengeluar dan mengedar automobil terunggul dan mampu terus bersaing di pasaran dalam dan luar negara.
11. Perkara asas untuk menjadi sebuah negara maju ialah keupayaan membangun teknologi tinggi. PROTON telah berusaha dan berjaya memikul tanggungjawab ini. Kalau pada awalnya, kita perlu meminjam teknologi daripada Jepun untuk memulakan teknologi automobil negara.
12. Kini PROTON dan ribuan vendornya telah mempunyai jurutera berpengalaman untuk membangun teknologi canggih tersendiri. Pastinya persaingan meningkatkan teknologi watan ini hebat, tetapi dengan strategi dan sokongan daripada kerajaan, cabaran ini pasti dapat diharungi.
13. Tanggungjawab untuk memperkasa teknologi automobil tempatan, tidak hanya terletak di bahu PROTON, tetapi perlu dipikul secara bersama oleh semua pihak berkepentingan. R&D Automobil perlu dijadikan agenda strategik negara dan seeloknya dipimpin oleh PROTON.
14. Saya berpendapat, dana R&D perlu disediakan oleh kerajaan secara berstrategi bagi mengekalkan keupayaan bersaing PROTON. Malah sejumlah dana R&D perlu disediakan untuk menerajui teknologi lautan biru, khususnya dalam konteks teknologi automobil mesra alam.
15. Sebagai lambang semangat dan iltizam menjadi negara maju, PROTON perlu dilihat oleh kerajaan dan warga Malaysia sebagai organisasi pembangunan teknologi tinggi yang menjadi penanda aras kemajuan dan cemerlangan bangsa.
16. Kita perlu bersatu hati dan memberikan sokongan padu bagi mempertahankan marwah serta kegembilangan satu-satunya teknologi canggih yang pernah dihasilkan negara. PROTON bukan sekadar syarikat pembuat kereta, tetapi jenama keunggulan teknologi watan Malaysia.
17. Kereta keluaran PROTON sebagai produk kebangsaan juga perlu diletakkan pada kedudukan yang istimewa dalam perniagaan automobil negara. Kurang wajar jika kereta kebangsaan dibiarkan bersaing dengan semua syarikat keluaran automobil dalam dan luar negara, dan mengharapkan sentiasa berada di barisan hadapan.
18. Jaguh automobil dari Eropah dan Jepun mempunyai pengalaman dan pelbagai kekuatan untuk memenangi persaingan. Bagi pasaran dalam negara, PROTON perlu diberikan beberapa keistimewaan yang munasabah, meliputi peratusan pasaran dalam negara untuk kekal bersaing.
19. Saya percaya sudah sampai masanya, PROTON diberikan peranan lebih besar dalam pembangunan teknologi bermotor negara. Ini meliputi penghasilan kenderaan berat, jentera untuk pertanian dan peralatan canggih untuk industri.
20. Malaysia perlu melengkapkan keupayaan pengeluaran pelbagai jentera bermotor jika berhasrat menjadi negara maju. Teknologi, kemahiran dan sumber bakat yang telah dikembangkan di PROTON dan vendornya boleh dijadikan barisan hadapan untuk merealisasikan wawasan ini.
21. Dasar dan strategi negara membangun teknologi canggih perlu bersifat jangka panjang, berpendekatan holistik, dan melihat organisasi awam dan syarikat persendirian sebagai rakan kongsi pintar.
22. Sementara perniagaan perlu meraih keuntungan, sokongan R&D dan kelebihan bersaing bagi memperkasa jenama kebanggaan bangsa masih terletak di bahu kepimpinan negara dan warga prihatin.
IBK: 18 April 2016

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s