Orang Asli dan Pemuliharaan Hutan

FullSizeRender
Antara kebajikan orang asli dan hasil balak

 

1. Membaca keluhan Dendi Johari, suku kaum asli Temiar dalam akhbar Berita Harian pada 23 April mengenai isu penerokaan hutan di kawasan pertempatan komuniti mereka sangat mengharukan.
2. Ini adalah fenomena konflik antara masyarakat asli dan pembangunan  di negara ini yang telah berlarutan tanpa berkesudahan.
3. Beliau menyebut mengenai tanah adat, tempat nenek moyang mereka menbina kehidupan, dan ancaman kemusnahan alam sekitar kepada kesejahteraan kehidupan komunitinya.

4. Sebetulnya, beliau juga mengingatkan kita semua, kemusnahan alam sekitar akan meninggalkan kesan buruk kepada masyarakan Malaysia umumnya. Inilah kearifan watan yang telah hilang daripada masyarakat moden sekarang.

5. Walaupun kerajaan telah memberikan perhatian kepada golongan minoriti, terutamanya kaum asli, upaya kita masih sangat terbatas, dan masih banyak yang perlu dilakukan.

6. Kerajaan perlu memberikan perhatian serius mengenai pertempatan orang asli dan hutan sekitaran kehidupannya.

7. Mungkin kurang munasabah untuk memulihara hutan yang sangat luas untuk kehidupan mereka, tetapi pertimbangan kawasan hutan orang asli dalam strategi pemuliharaan hutan simpanan kekal boleh dilakukan.

8. Dalam perlembagaan Malaysia, hutan dan sumber asli adalah di bawah pentadbiran kerajaan negeri. Ia diurus oleh Jabatan Perhutan negeri.

9. Kita sedia maklum sebahagian besar kawasan hutan simpan kekal di bawah pentadbiran negeri ialah jenis hutan pengeluaran. Atau dengan perkataan lain, kerajaan negeri boleh mengeluarkan balak daripada hutan ini.

10. Malah, kebanyakan negeri, hasil balak adalah punca pendapatan penting kerajaan negeri.

11. Perkara kelangsungan penghidupan komuniti asli bukan sekadar isu perundangan, tetapi berkaitan dengan etika dan pandangan jauh bangsa bertamadun.

12. Setiap negeri perlu menghormati penduduk asli dan keterbatasan mereka dalam mengharungi pembangunan pesat negara. Mereka perlu diberikan perlindungan dan pelbagai bantuan untuk bersama dalam arus penbangunan.

13. Setiap negeri yang mempunyai penduduk asli di kawasan hutan dan pinggir hutan, perlu mempunyai dasar dan strategi untuk melaksanakan program pembangunan bersama komuniti asli.

14. Sebagai contoh, tidak ada salahnya jika pengkelasan hutan negeri, mengambil kira kategori ‘hutan komuniti asli’. Ia masih boleh diurus oleh Jabatan Hutan negeri, tetapi ia bukan hutan jenis pengeluaran dan di khaskan sebagai kawasan pertempat dan rayau orang asli.

15. Apabila wujud kawasan hutan pemuliharan yang tidak boleh dibalak bagi pertempatan dan keterusan cara hidup mereka, kita sebetulnya telah menunjukkan tanda hormat terhadap mereka yang telah lama berada di kawasan tersebut sebelum kehadiran kita.

16. Pada masa ini, sama ada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, selain kawasan taman negara dan negeri, kita sudah mampu untuk mengurus hutan berdasarkan hutan pengeluaran dan hutan perlindungan.

17. Semua hutan perlindungan, terutamanya hutan pergunungan, hutan tadahan air, hutan penampan sungai dan hutan habitat istimewa perlu dipulihara dalam konteks hutan bukan pengeluaran.

18. Kawasan rayau orang asli juga seeloknya sebahagian daripada kawasan hujan jenis ini. Pendekatan ini tidak sahaja dapat mengawal kesihatan alam sekitar, memulihara sungai pembekal air bersih, dan mengurangkan hakisan tanah yang tidak terkawal.

19. Hutan adalah aset kehidupan yang penting, ia menyediakan perkhidmatan alam sekitar untuk memastikan udara dan air bersih untuk hidupan, memulihara warisan asli dan sumber ekopelancongan penting.

20. Sudah sampai masanya Kerajaan Persekutuan mempunyai dasar baharu, membantu kerajaan negeri untuk memulihara hutan bagi kepentingan warga negara dan komuniti global.

21. Negeri yang memulihara kawasan hutan perlu di bayar berasaskan perkhidmatan alam sekitar bagi mengurangkan tekanan kepada kerajaan negeri yang terpaksa meneroka hutan untuk menjana pendapatan negeri.

22. Dalam konteks hutan pengeluaran pula, usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk mengurangkan impak pembalakan terhadap alam sekitar.

23. Kesannya terhadap pencemaran air perlu dikurangkan. Dan pemulihan sistem sungai serta sumber air bersih dipertingkatkan.

24. Secara beransur, kerajaan negeri memperkemaskan dasar perhutanan, sehingga akhirnya negara hanya memilik hutan pemuliharaan (bukan pengeluaran) dan pertanian perhutanan sahaja. Inilah cara terbaik untuk bergerak ke arah negara maju.

25. Isu konflik penerokaan hutan untuk pengeluaran balak dengan tuntutan komuniti orang asli yang mendakwa hutan tersebut ialah hutan adat, tempat nenek moyang mereka menjalankan kehidupan tidak seharusnya wujud.

26. Pengurusan hutan di peringkat kerajaan negeri perlu berpandangan jauh, tidak berpegang kepada peruntukan perundangan semata-mata, tetapi perlu melihat kepada aspek kebajikan dan kesejahteran komuniti orang asli yang menjadi warga penting sesebuah negeri.

27. Keharmonian semua komuniti di dalam sebuah negeri adalah urusan terpenting yang perlu diberikan perhatian serius oleh setiap kerajaan negeri.

28. Saya mendoakan kerajaan negeri, pengurusan Jabatan Hutan dan komuniti orang asli mampu duduk semeja untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

29. Berilah perhatian kepada kebajikan komuniti asli ini yang merasakan mereka sentiasa terpinggir dalam arus pembangunan.
IBK: 25 April 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s