Quang Ngai Geopark, Vietnam

_DSC0716
Nelayan sedang membersihkan pukat di Pelabuhan Ly Son

 

1. Saya telah dijemput untuk memberikan khidmat nasihat bagi mewujudkan geopark kedua di Vietnam. Kedudukan geopark terletak di sebuah daerah terpencil di bahagian tengah negara ini.

2. Kami perlu terbang dari Ho Chi Minh City ke bandar Da Nang, dan dari situ menaiki kereta lebih dua jam ke bandar Quang Ngai. Kawasan cadangan geopark ialah di persisir pantai meliputi kepulauan Ly Son yang terletak di lepas pantai.

3. Dari Quang Ngai kami perlu pergi ke pelabuhan Sa Ky dan menaiki bot untuk ke pulau Ly Son. Perjalanan dengan bot penumpang mengambil masa lebih satu jam.

4. Vietnam memiliki geopark global pertama iaitu Dong Van Karst Global Geopark pada tahun 2009. Geopark ini terdiri daripada landskap Batu Kapur indah seperti yang terdapat di Gunung Mulu, Sarawak. Perjalanan dari Hanoi ke daerah Ha Giang, bahagian utara Vietnam, tempat letaknya geopark ini mengambil masa seharian.

5. Saya masih teringat semasa membuat penilaian bersama Dr Patrick McKeever, pakar dari Ireland lapan tahun yang lepas, kami bertolak dari Hanoi jam 10 pagi dan sampai ke destinasi hampir tengah malam.

6. Vietnam seperti Malaysia menghadapi pelbagai cabaran untuk mewujudkan geopark keduanya. Oleh kerana pembangunan geopark ialah idea kelestarian baharu, tidak ramai masyarakat dan pemimpinnya yang memahami kepentingan dan faedahnya.

7. Tambahan pula, ia suatu usaha ‘bawah-atas’ yang memerlukan kepimpinan daerah dan sokongan kewangan kerajaan negeri atau persekutuan. Di Quang Ngai, mereka bernasib baik kerana berjaya mewujudkan kerjasama pintar antara pemimpin daerah dengan syarikat swasta yang prihatin alam.

8. Geopark Quang Ngai terbentuk daripada kesatuan batuan volkano muda terletak di persisiran pantai dan membentuk dua gunung berapi bawah laut iaitu Ly Son dan Bo Bai.

9. Sekitar lima juta tahun lampau, kepingan bumi di Laut China Selatan mengalami pembukaan (pelebaran), proses ini menyebabkan jalur volkano terbentuk di pesisir pantai Vietnam. Letusan demi letusan berlaku sehingga aktiviti terakhirnya dianggarkan terjadi 100,000 tahun lampau.

10. Di persisir pantai Quang Ngai, beberapa letusan volkano menghasilkan aliran lava basalt di permukaan bumi. Pada masa ini lapisan lava yang berketebalan lebih 100 meter, membentuk tebing curam, pulau baki dan pentas hakisan ombak sepanjang persisir pantai menghasilkan landskap pemandangan indah.

11. Pantai berbatu disulami dengan pantai berpasir, kini menjadi kawasan perkampungan nelayan, amat sesuai dibangunkan menjadi destinasi pelancongan rekreasi pantai.

12. Pulau Ly Son dan Bo Bai terbentuk disebabkan oleh letusan volkano bawah laut. Ly Son berukuran sekitar 10 km persegi adalah puncak gabungan tiga gunung berapi, sementara Bo Bai (bermaksud pulau kecil) mewakili puncak sebuah gunung berapi.

13. Kedua-dua pulau ini mempamirkan kepelbagai landskap volkano yang menjadi daya tarikan pelancong. Jika kita ke pulau ini dengan menaiki bot, kita seolah-oleh mendarat di pantai ratusan meter di atas gunung. Pelancong hanya perlu mendaki 170 m lagi untuk sampai ke puncaknya.

14. Suatu yang menarik mengenai geopark ini ialah kedudukannya pada pusat pemerentahan negara Champa sejak abad kelapan lagi. Campa adalah kerajaan lama yang memerentah wilayah Semenanjung Asia Tenggara sejak abad pertama yang dipercaya berketurunan Malayo-Polynesia.

15. Indrapura (Da Nang) menjadi ibu negara pada 875 hingga 978 Masihi. Pulau Ly Son dan Bo Bai diterokai dan dibangunkan oleh penduduk Champa. Di Chau Sa berhampiran Quang Ngai, kita masih boleh melawat sebuah kubu (citadel) yang masih kukuh diperbuat daripada batuan laterit. Sementara di Ly Son terdapat sebuah kuil (tample) terkenal kini diubah menjadi pagoda.

16. Terdapat lebih 20,000 orang penduduk di pulau Ly Son, dan sekitar 500 orang di Bo Bai. Kehidupan mereka adalah sebagai petani dan nelayan. Bawang Putih menjadi sumber pendapat petani paling penting di kepulauan ini.

17. Bawang putih Ly Son dikatakan yang terbaik di Vietnam, harga boleh mencecah RM200 setiap kilogram bergantung kepada kualiti. Semasa di pulau ini, kami jadikan bawang putih sebagai ulam ketika makan siang dan malam.

18. Saya tertarik dengan kehadiran ratusan bot atau tongkang nelayan di sepanjang persisiran pantai. Tongkang yang diperbuat daripada kayu mempunyai pelbagai saiz dan sangat berwarna warni.

19. Kami sempat menaiki sebuah tongkang untuk menyusuri sepanjang pesisir menikmati keindahan landskap pantai. Dari daratan untuk ke tongkang, kami perlu menaiki ‘perahu kole’ kecil berbentuk seperti tudung saji untuk ke tongkang.

20. Rupanya perahu kole adalah sistem pengangkutan pantai utama penduduk persisir, sama seperti perahu di perairan kita.

21. Quang Ngai mungkin perlu mengambil masa beberapa tahun untuk menjadi geopark. Mereka telah membuat perancangan yang rapi untuk membangun geotapak untuk pemuliharaan dan geopelancongan.

22. Mengenalpasti tapak budaya serta mengerakkan pemimpin komuniti untuk menyokong gagasan geopark. Lebih penting lagi, mereka mewujudkan kerjasama pintar antara pemimpin daerah dengan syarikat swasta untuk membangun dan mengurus secara lestari.

IBK: 30 April 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s