Dasar Air Tanah Negara

_DSC1210
Air Terjun Rinjani, Lombok: Jatuhan dari Air Permukaan dan Air Tanah

 

 1. Perbincangan antara Majlis Profesor Negara dengan Unit Perancangan Ekonomi awal bulan ini telah memberikan nafas baharu mengenai keperluan mempertimbangkan sumber air tanah dalam dasar air negara.

2. Set minda pemimpin politik dan pentadbir kelihatan masih terperangkap dengan kelimpahan sumber air permukaan yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

3. Walaupun negara berada di rantau tropika lembap dan menerima curahan hujan tinggi, kita masih berhadapan dengan cabaran kekurangan bekalan air bersih. Memang benar negara hanya menggunakan sekitar 5% daripada jumlah curahan hujan, selebihnya mengalir terus ke laut.

4. Oleh itu, kita tidak seharusnya kekurangan bekalan air permukaan dan tidak perlu memikirkan keperluan menggunakan bekalan air tanah sebagai bekalan tambahan.

5. Hakikatnya, hampir setiap tahun negara berhadapan dengan krisis bekalan air, terutamanya negeri dan daerah di pantai barat Semenanjung Malaysia, Sabah dan Serawak.

6. Pada masa ini beberapa empangan dilaporkan mengalami penurunan paras air kritikal dan hanya dapat menampung keperluan bagi tempuh sebulan sekiranya hujan tidak turun di kawasan tadahan.

7. Banyak faktor yang menyebabkan negara sering berhadapan dengan bekalan air bersih. Selain daripada isu pengurusan bekalan air, aspek perubahan cuaca global dan kemerosotan kualiti alam sekitar menjadi punca krisis ini.

8. Fenomena pemanasan global telah menyebabkan keadaan cuaca lebih ekstrim, hujan lampau lebat atau kemarau berpanjangan. El-nino kuat tahun ini telah menyebabkan cuaca kering dan kemarau berpanjangan. Sebahagian daripada faktor ini di luar kawalan manusia.

9. Pembersihan dan penebangan hutan di kawasan tadahan air turut menyumbang kepada krisis bekalan air. Kekurangan ekosistem hutan ini menyebabkan air hujan mengalir pantas di permukaan menyebabkan hakisan tanah.

10. Takungan air akan mengalami perlodakan sehingga keupayaan menampung air berkurangan. Aliran yang pantas juga menyebabkan bekalan berlebihan ketika hujan, dan berkurangan dengan pantas dalam musim kemarau.

11. Ringkasnya, walaupun curahan hujan tinggi, bekalan air permukaan sangat sentitif terhadap perubahan sekitaran, mudah terganggu sehingga menimbulkan krisis bekalan air.

12. Untuk menjadi negara maju, kita tidak boleh biarkan isu keselamatan air menganggu pembangunan dan kesejahteraan masyarakat. Nagara perlu mencari penyelesaian jangka panjang mengenai keperluan bekalan air lestari.

13. Sebetulnya penyelesaian ini ada di hadapan mata kita. Pada awal tahun 1980an, sudah ada syor supaya Malaysia mempelbagaikan sumber bekalan air bersihnya. Selain menggunakan air permukaan, kita perlu meneroka dan menggunakan bekalan air tanah.

14. Walaupun sudah dimulakan usaha kecilan meneroka air tanah ketika itu, ia gagal diteruskan kerana set minda pengurus air masih berpegang kepada negara mempunyai bekalan air permukaan berlebihan.

15. Purata penggunaan air tanah global kini telah mencapai 30%, tetapi Malaysia hanya menggunakan kurang daripada satu peratus. Di beberapa bandar besar di Eropah dan Amerika Syarikat, mereka telah menggunakan sumber air tanah lebih 50%.

16. Antara kelebihan menggunakan air tanah ialah kualiti air yang tinggi (ada yang boleh terus diminum tanpa proses), bekalan yang lestari kerana kurang dipengaruhi oleh perubahan cuaca, dan pengurusan bersifat mesra alam sekitar.

17. Ramai yang kurang menyedari, sumber bekalan air bersih dunia kebanyakannya datang dari ais dan glasier (68.7%), air tanah (31.0%), dan terlalu kecil daripada air permukaan (0.3%). Oleh itu, amat wajar kita pertimbangkan penggunaan bekalan air tanah ini.

18. Sebetulnya, air tanah tersimpan di bawah permukaan bumi dalam tiga keadaan iaitu dalam takungan terbuka (lanjutan daripada air sungai dan kolam), dalam takungan separuh tertutup, dan dalam takungan tertutup (dalam rongga batuan ratusan meter di bawah permukaan bumi).

19. Malaysia telah menggunakan secara terhad air tanah dalam takungan terbuka dan separuh tertutup, tetapi masih belum meneroka air tanah dalam takungan tertutup (akuifer dalam).

20. Air tanah dalam takungan tertutup tersimpan dalam batuan keras, ratusan hingga ribuan meter di bawah paras tanah. Punca air adalah daripada hujan yang turun di kawasan pergunungan masuk meresap di celah rongga batuan, dan tersimpan dalam takungan tersendiri.

21. Ia susuai untuk diterokai kerana kuantitinya tidak akan di tambah secara tabii jika tidak digunakan.

22. Sehingga kini penerokaan air tanah di Malaysia, terutamanya di Kelantan dan Selangor, tertumpu kepada sumber dalam takungan terbuka (endapan aluvium) dan takungan separuh tertutup (lapisan tanah).

23. Air tanah di zon ini berhubungan terus dengan air permukaan. Jika pencemaran terjadi pada air sungai dan tasik, air tanah ini turut tercemar. Pemgambilan (pengepaman) berlebihan juga boleh menyebabkan pemendapan tanah seperti yang pernah berlaku di kotaraya Bangkok dan Jakarta.

24. Pengalaman krisis bekalan air sejak beberapa dekad terakhir ini menuntut supaya dasar mengimbangi sumber air permukaan dan air tanah diperkenalkan segera bagi menjamin keselamatan dan kelestarian air negara.

25. Tumpuan perlu diberikan kepada meningkatkan peratusan bekalan air tanah alternatif di negeri atau daerah yang sering berhadapan dengan krisis air. Dasar air tanah ini mampu mengembalikan keyakinan terhadap keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan rakyat.

IBK 21 Mei 2016.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s