Rinjani Lombok Calon Geopark

_DSC1200
Khariah bersama Masjid Bayan Belek, masjid tertua di Lombok

1. Indonesia mengemukakan Gunung Rinjani Sebagai calon UNESCO Global Geopark ketiga selepas Batur di Bali dan Gunung Sewu di Jawa. Saya telah diundang bersama untuk menyertai rombongan penilai dari UNESCO, Dott. Maurizio Burlando (Itali) dan Soo Jae Lee (Korea) untuk melakukan penilaian akhir Mei ini.

2. Penilaian di lapangan cara terbaik bagi memastikan sesuatu wilayah bersedia dan komunitinya menunjukkan kemampuan memainkan peranan sebagai sebuah geopark global.

3. Lombok terletak pada jalur lingkaran api Indonesia merentasi Sumatera, Jawa dan Nusa Tenggara. Di sinilah terletaknya jumlah terbesar volkano (gunung berapi) yang masih aktif dunia.

4. Gunung Rinjani (3,726 meter) merupakan gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia dan telah mengalami ratusan letusan dalam sejarahnya. Kali terakhir ialah pada November 2015, letusan berlangsung selama tiga bulan sambil memuntahkan debu dan aliran lava.

5. Letusan mega Gunung Rinjani berlaku pada tahun 1257, peristiwa geologi yang bertanggungjawab membentuk morfologi pulau Lombok yang kelihatan indah sekarang.

6. Peristiwa ini dikatakan letusan paling besar dalam sejarah moden dunia (10,000 tahun terakhir), diikuti oleh Gunung Tambora (1815) dan Gunung Krakatoa (1883), semuanya berlaku di kepulauan Indonesia. Letusan Rinjani 1257 ini dipercayai telah menimbus bandar Mataram purba dan mengubah iklim dunia.

7. Pembentukan pulau Lombok yang saiznya hampir 10 kali ganda kepulauan Langkawi berpunca daripada beberapa siri letusan volkano besar. Lebih satu juta tahun lampau, letusan besar telah membentuk Gunung Rinjani Tua yang berketinggian mencapai 5,000 meter.

8. Letusan pada 0.45 juta tahun lampau pula membentuk gunung dan kaldera Sembalun di Lombok Timur. Letupan terakhir, hampir 8,000 tahun lampau bertanggungjawab membentuk gunung, kaldera dan tasik Rinjani yang berpandangan indah itu.

9. Kebanyakan tapak geowarisan (geotapak) yang menyokong pencalonan Geopark Rinjani menjelaskan fenomena tiga letusan besar yang mengukir sejarah pembentukan bumi Lombok.

10. Dalam sejarah letusan volkano pembentuk Gunung Rinjani, debu bercampur serpihan batuan tercampak ke udara dan jatuh ke cerun (endapan piroklas) dan disusuli dengan aliran lava secara berselang seli.

11. Endapan piroklas menjadi akuifer air tanah yang baik dan pembekal utama (80%) air bersih di Lombok. Di sekeliling Gunung Rinjani, akuifer yang terpotong oleh sesar terdedah dan membentuk air terjun berpandangan indah yang menjadi daya tarikan pelancong. Air Terjun Benang Kelambu merupakan ‘air terjun akuifer’ yang unik dan kini menjadi sumber penghidupan masyarakat desa.

12. Jarak terdekat antara Lombok dan Bali hanya sekitar 35 km. Rantau ini pernah dijajah oleh kerajaan Majapahit yang membawa ajaran agama dan budaya Hindu. Pada abad ke-11 pula, kedua-dua pulau ini ditakluk oleh kerajaan Goa yang berpusat di Sulawesi yang membawa ajaran Islam.

13. Menariknya, pada masa ini lebih 95% penghuni Lombok menganut Islam, sementara penduduk Bali kebanyakannya beragama Hindu. Kami sempat melawat Masjid Bayan Belek, antara masjid tertua dibina pada abad ke-17. Walaupun telah lama menganut Islam, beberapa budaya Hindu masih terus diamalkan sebagai adat komuniti di sini.

14. Penduduk asli di Lombok, khususnya komuniti Sasak dan Bayan telah membina budaya dan tradisi yang kukuh dan terserlah dalam kehidupan sehariannya. Walaupun mereka telah memeluk Islam, adat istiadat berasaskan agama Hindu masih terus diamalkan.

15. Bagi komuniti ini, adat adalah sistem pengikat jaringan kekeluargaan dan hidupan harmoni berkampung. Salah satu adat unik yang masih diamalkan oleh mereka ialah menculik anak gadis untuk dikawini!

16. Penduduk Lombok umumnya adalah nelayan dan petani. Budayanya terbina daripada keperluan asas kehidupan dan rasa hormat kepada keindahan dan kuasa alam. Mereka menggunakan sumber alam sepenuhnya untuk membina rumah kediaman.

17. Umpamanya, lantai rumah dibina daripada tanah yang  tersimen dengan najis haiwan ternakan, dinding rumah diperbuat daripada buluh, sementara atap disulam daripada daun lalang. Kebanyakan daripada rumah asli mereka tidak bertingkap, katanya untuk menghindar daripada ‘maleng’ (pencuri) – penculik anak gadis di waktu malam.

18. Seperti Gunung Kinabalu, puncak Gunung Rinjani juga telah menjadi kegemaran riadah mendaki gunung. Pada tahun 2015, lebih daripada 70,000 pendaki berjaya menawan Rinjani.

19. Katanya, sejak kebelakangan ini ramai anak muda dari Malaysia berkunjung ke Lombok untuk mendaki Rinjani. Ketika di Sembalun, tapak permulaan mendaki, saya sendiri berjumpa dua kumpulan anak muda Malaysia yang sedang membuat persediaan untuk mendaki.

20. Di Air Terjun Benang Kelambu pula kami terserempak dengan keluarga Melayu yang baharu sahaja turun meraikan pencapaian mendaki puncak Rinjani.

21. Pembangunan wilayah terpencil sebagai geopark kini telah menjadi tren di beberapa negara di Eropah, China, Jepun dan Indonesia. Mereka percaya inilah pendekatan masa depan untuk memulihara warisan, memperkasa pendidikan awam dan mensejahterakan komuniti tempatan.

22. Di Malaysia kita juga sudah memulakan wawasan kelestarian di lima wilayah berpotensi sebagai geopark. Begitupun, kelihatannya ranjau masih di sepanjang perjalanan.

IBK: 4Jun2016

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s