HD Tjia (1934 – 2016): Bapa Geologi Malaysia

IMG_1846

 

1. Seluruh warga geologi di Malaysia dan Indonesia dikejutkan dengan kematian Prof Emeritus Dr HD Tjia, Khamis 9 Jun 2016 di kediaman mendiang di Putrajaya. Pemergian tokoh unggul geologi ini satu kehilangan besar kepada komuniti ilmuan di Asia Tenggara.

2. Bagi ahli geologi, pemergiannya tidak akan berganti. Bak kata perpatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Bersemadilah dengan aman seorang guru dan mentor yang kami sanjungi dan hormati.

3. HD Tjia atau nama panggilan mesra Pak Tjia, dilahirkan pada tahun 1934 dan dibesarkan dalam keluarga sederhana di Bandung, Indonesia. Beliau telah mempelajari ilmu geologi sehingga ke peringkat PhD, dan kemudiannya menjadi pensyarah di Institut Teknologi (ITB).

4. Pada tahun 1967, beliau telah dijemput menjadi pensyarah di Jabatan Geologi, Universiti Malaya (UM). Apabila kerajaan menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970, beliau adalah antara ahli akademik pengasas diberikan mandat untuk membentuk Jabatan Geologi di Fakulti Sains, UKM.

5. Beliau dilantik menjadi Ketua Jabatan pertama di UKM, dan telah menjalankan tugas dengan cemerlang dan penuh didikasi selama 10 tahun (1970-1980). Pada tahun 1973, dilantik sebagai Profesor Geologi pertama di UKM.

6. Sepanjang hayatnya, beliau menjalankan banyak penyelidikan dalam bidang Geologi Struktur, Geomorfologi dan Geologi Kuaterner. Puluhan buku dan ratusan artikel ilmiah telah beliau terbitkan hasil penelitian di Malaysia dan Asia Tenggara.

7. Beliau sangat gemar menjalankan penelitian lapangan, hampir setiap singkapan batuan dan potongan jalan telah beliau kunjungi sambil membuat lakaran dan catatan mengenai gaya struktur (tektonik) yang direkodkan dalam batuan.

8. Kegigihan mentafsir sejarah tektonik Malaysia berdasarkan bukti yang terawet pada singkapan batuan menjadi ikon kekuatan ilmu geologi Pak Tjia.

9. Ketika membuat kerja lapangan bersama beliau, saya masih teringat setiap subuh, beliau akan bangun dan dengan mengunakan lampu suluh diperbaiki catatan lapangan daripada tulisan pensilnya kepada dakwat kekal.

10. Beliau menyimpan ‘buku nota lapangan’ secara sistematik dan boleh dirujuk semula walaupun telah puluhan tahun. Sebagai ahli geologi, beginilah caranya beliau mengabdikan cerapan, tafsiran dan pemikiran yang perlu dicontohi oleh setiap ahli geologi kini dan mendatang.

11. Saya tidak kenal apa itu geologi sebelum menjejakkan kaki di UKM. Sebagai pelajar tahun pertama 1972, saya menghadapi masalah untuk memilih bidang pengajian. Selepas bertemu ketua Jabatan Matematik dan Biologi, saya bertemu dengan Pak Tjia selaku ketua Jabatan Geologi ketika itu.

12. Masih jelas dalam ingatan penjelasan beliau, ‘untuk mengambil bidang geologi tidak perlu cemerlang dalam mana-mana subjek sains (fizik, kimia, matematik dan biologi), cukup dengan berkelulusan baik dalam semuanya’. Selanjutnya beliau berkata, ‘tetapi awak perlu suka kerja di lapangan, mendaki gunung dan mengharungi sungai’.

13. Kata-kata beliau seakan azimat menentukan hala tuju masa depan kehidupan saya. Sejak pertemuan itu, saya terus jatuh cinta dengan geologi, dan tidak menoleh ke belakang lagi.

14. Semasa mengikuti program Sarjanamuda Sains Geologi di UKM pada tahun 1972-1976, Pak Tjia telah menjadi guru dalam subjek Geologi Fizikal, Geologi Struktur, Geomorfologi dan beberapa kerja lapangan, khususnya di Langkawi dan Pantai Timur.

15. Amanah membangunkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi sentiasa tersemat dihati beliau. Pada tahun 1971, beliau telah menerbitkan Buku Istilah Geologi Inggeris – Melayu pertama negara. Sementara kuliah yang beliau sampaikan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu, walaupun dengan sedikit dialek bahasa Indonesia.

16. Ramai para Profesor, pensyarah dan ahli geologi tempatan adalah bekas pelajar Pak Tjia. Saya dan beberapa rakan lain, dipilih oleh beliau untuk melanjutkan pelajaran pasca-siswazah ke luar negara. Sekembalinya kami menjadi pensyarah di UKM.

17. Ada juga pensyarah seperti Dr Ibrahim Abdullah, Dr Zaiton Harun dan Dr Anizan Isahak ialah bekas pelajar PhD beliau. Dalam kata lain, Pak Tjia ialah insan yang bertanggungjawab membangun bidang Geologi di UKM, daripada wawasan penyelidikan, kurikulum hinggalah kepada bakat akademiknya.

18. Saya kembali dari Strathclyde University, Glasgow pada tahun 1979 dan terus dilantik oleh beliau menjadi ahli akademik Jabatan Geologi. Sejak itu, Pak Tjia adalah rakan akademik dan mentor yang disegani.

19. Perawakan yang lembut, berbudi-bahasa dan beretika akademik tinggi menjadi ikutan kami. Dalam lembut, beliau menunjukkan ketegasan dalam kualiti akademik. Pada tahun 1980, apabila beliau menyemak manuskrip kertas ilmiah pertama saya, beliau nyatakan ‘Ibrahim, dapatkan data tambahan dari lapangan dahulu, sebelum boleh diterbitkan’.

20. Saya perlu ke Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak untuk membuat pengukuran ketakselanjaran, dan kertas ilmiah pertama saya berjaya diterbitkan dalam jurnal Sains Malaysiana.

21. Sejak itu, Pak Tjia dan saya banyak membuat kajian lapangan bersama, antaranya ialah pemetaan sepanjang rintis ke puncak Gunung Tahan, Gunung Kinabalu dan ekspedisi Lembangan Meliau.

22. Di dalam hutan, kami masak, makan dan tidur bersama. Kami mencerap, berhujah di hadapan singkapan batuan bersama, dan berjaya menerbitkan beberapa kertas ilmiah bersama.

23. Kali terakhir kami mendaki Gunung Kinabalu bersama ialah ketika Pak Tjia berusia 65 tahun. Di wajahnya masih terpancar semangat perjuangan dan didikasi tinggi untuk meraikan ilmu geologi.

24. Mendiang Prof Emeritus Dr HD Tjia ialah seorang sarjana geologi luar biasa. Sehingga berusia lampau 80, beliau masih menerbitkan tulisan ilmiah dan menyampaikan syarahan undangan.

25. Ketika berziarah mayatnya, Ibu Tjia sempat menyatakan, ‘saya hanya kedua, pertama bagi Pak Tjia ialah geologinya’. Begitulah perjalanan seorang sarjana geologi berwibawa terunggul, yang telah meninggalkan kita dan tidak mungkin dapat dicari-ganti.
IBK: 12 Jun 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s