Bahasa Melayu Ilmu Tinggi

_DSC0894_sRGB1
Permainan Tradisional

 

1. Sebelum Bicara Persada mengenai Peranan Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi dimulakan di Dataran Canselori UKM, lagu Bahasa Jiwa Bangsa dinyanyikan. Lagi ini membawa nostalgia kepada warga yang berusia lebih 60 tahun, kerana saban hari didendangkan ketika perhimpunan mingguan di sekolah.

2. Pembicara yang diundang ialah Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, mantan Naib Canselor USM; Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Satu Gapena; dan Prof Emeritus Ibrahim Komoo sebagai wakil tuan rumah.

3. Format bicara ini agak menarik kerana moderator bicara, Sayed Munawar bertanya soalan yang sama kepada semua pembicara dan diikuti oleh sesi pertanyaan dan pandangan daripada peserta yang hadir.

4. Sebagai pembuka bicara, beliau bertanyakan ‘penggunaan bahasa Malayu di Universiti Awam, apakah terpahat atau terpinggir? Satu pertanyaan yang amat tajam, dan memerlukan jawapan bijaksana.

5. Kenyataannya, dalam Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Pendidikan Negara, bahasa Melayu seperti telah terpahat, tetapi bagaimana pula kedudukannya daripada perspektif perlaksanaan dan penggunaan di Universiti Awam?

6. Kita sedar, bahasa Melayu termasuk banyak bahasa ibunda bangsa lain sedang dilanda arus globalisasi ke arah kepupusan. Arus ini membawa bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi global, bahasa perdagangan dan bahasa ilmu rentas sempadan.

7. Jika negara ingin maju, berdaya saing dan dihormati, katanya kita tiada pilihan, selain menggunaan bahasa Inggeris. Mungkin banyak kebenaran dalam kata-kata ini, cuma persoalannya patutkah dengan meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris, kita perlu meminggirkan bahasa ibunda sendiri?

8. Ramai yang berpendapat, memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bermula daripada pembudayaan jatidiri Melayu. Dalam dunia Melayu, kita diperkenalkan dengan pegangan adat, adap dan budi.

9. Budi mempunyai makna yang mendalam meliputi wawasan akal-budi, budi-bahasa, budi-pekerti, budiman dan pelbagai lagi pedoman yang dikaitkan dengan budi. Jelasnya konsep budi mulai terhakis daripada masyarakat Melayu, justru akan berakhirlah jatidiri bangsa, termasuk bahasa Melayu.

10. Ada pandangan yang menyatakan, bangsa Melayu ialah masyarakat pengikut, bukannya peneraju. Apa sahaja yang datang dari dunia globalisasi, tanpa tapisan di anggap baik dan benar. Kita perlu menerimanya, jika mahu terus hidup dan bersaing.

11. Oleh itu, sebahagian daripada bangsa Melayu, tanpa segan silu dan rasa bersalah, sanggup meninggalkan budaya dan bahasanya, lantas mengInggeriskan kehidupan seharian. Sebahagian dengan aliran yang berbeza alasan pula, seronok mengArabkan keluarganya.

12. Dalam konteks pembangunan ilmu Sains dan Teknologi, saya merasakan nasi sudah hambir menjadi bubur. Kita bukan mempersoalkan isu terpahat atau terpinggir, malah sedang membendung daripada fenomena kepupusan.

13. Mengambil contoh daripada penerbitan dalam Sains Malaysiana, satu-satunya jurnal tempatan dwibahasa berindeks Web of Sciences (WoS), jika tahun 2009, jumlah makalah berbahasa Melayu masih pada tahap 43%, kini pada tahun 2015, jumlahnya tinggal 4% sahaja!

14. Tren yang membimbingkan juga ditunjukkan dalam urusan pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan akademik.

15. Saya mengsyorkan, UA memperkenalkan dasar memperkasa Bahasa Melayu Ilmu Tinggi (BMIT) sebagai benting terakhir mempertahankan akal-budi dan kesarjanaan Melayu di tanah air sendiri.

16. Kita perlu bezakan BMIT dengan maksud bahasa ilmu yang digunakan dalam pendidikan sekolah dan kolej kemahiran.

17. BMIT bermaksud bahasa yang digunakan untuk menyampaikan syarahan, pembentangan kertas dalam seminar dan persidangan, menulis laporan ilmiah termasuk hasil penyelidikan dan tesis, serta tulisan buku dan jurnal ilmiah. Ringkasnya, bahasa untuk meneroka, membangun dan menyampaikan ilmu baharu.

18. Jika berhasrat menjadi negara maju, kita perlu mendahulu pembangunan ilmu dan teknologi menggunakan budi, minda dan bahasa sendiri. MBIT adalah asas kepada usaha murni berstrategi ini.

19. Negara jiran yang telah berjaya seperti China, Jepun dan Korea, serta yang sedang bergerak maju kehadapan seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam, melakukan perkara yang sama. Walaupun mereka sedar kemahiran berbahasa Inggeris penting untuk bersama warga global, wawasan membangun ilmu berteraskan bahasa ibunda tidak pernah diabaikan.

20. Hanya sumber ilmu yang tersimpan dalam ekosistem akal-budi masyarakat, mampu membina tamadun bangsa, menjadi kebanggan warga dan mempertahan keupayaan bersaing negara.

21. UKM dengan pengalaman lebih 46 tahun memperkasa BMIT, boleh mempelopori usaha kritikal ini. Semua UA, sama ada yang telah matang atau sedang membangun boleh bersepakat untuk menyusuli wawasan ini.

22. Sebuah Majlis Bahasa Melayu Ilmu Tinggi Universiti Awam (MBIT-UA) bagi menentukan dasar, strategi dan pelan tindakan perlaksanaan perlu diwujudkan bagi memastikan perlaksanaan berterusan.

23. Bayangkan jika semua UA, menyampaikan program pengajian, penyelidikan dan pemindahan ilmu untuk kepentingan negara disampaikan dalam bahasa ibunda, tiada siapa dapat ragui lagi keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.

24. Dalam melaksanakan dasar ini, peranan UA sebagai pemain global, pastinya disampaikan dalam pelbagai bahasa ilmu dunia, perlu terus diperkasa dan ditingkatkan kecemerlangannya.

25. Tegak rumah kerana tiangnya, tegak bangsa kerana bahasanya. Beginilah agaknya yang dimimpikan oleh pemimpin terdahulu dan nenek moyang kita.

IBK: 16 Jun 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s