Dasar Kelestarian Alam Sekitar

_DSC0810
Gua Kelawar, Kilim, Langkawi

1. Alam sekitar bukan sekadar mengurus sisa pepejal, mengawal pencemaran dan menjaga kebersihan kawasan awam. Perkara ini adalah asas kehidupan dan perlu dilaksanakan sebagai kewajipan dan kepentingan kesejahteraan masyarakat.

2. Di negara kita, khususnya di bandar utama, perkara asas ini masih belum mampu diuruskan dengan bijaksana. Pengurus Bandar seakan terperangkap dengan tekanan kegairahan untuk membangunkan hutan konkrit berbanding mengekalkan koridor hutan hijau tropika.

3. Alam sekitar adalah komponen asas sebelum urusan kesejahteraan masyarakat dan pertumbuhan ekonomi dilaksanakan. Mesyarakat bergantung kepada perkhidmatan alam sekitar dan ekonomi pula dikawal oleh kehadiran sumber asli.

4. Sekitaran kita, meliputi tanah, batuan, landskap, tumbuhan dan haiwan, atau sering kita sebut ekosistem sentiasa memberikan perkhidmatan kepada manusia dan masyarakat. Ia membekalkan udara untuk bernafas, air untuk minuman dan hidupan untuk makanan. Jika kita musnahkan alam sekitar, ibarat kita membunuh sesama manusia.

5. Alam sekitar juga adalah komponen daripada warisan alam – warisan manusia sejagat. Hidupan endemik, habitat unik dan landskap berpandangan indah menjadi cirian istimewa dan ikon mewakili identiti negara.

6. Landskap tidak sahaja mempamerkan rupabumi yang mempengaruhi sejarah peradapan manusia, tetapi menyimpan rekod sejarah Bumi dan hidupan sejak 4.6 ribu juta tahun silam. Sementara bumi Malaysia menyimpan rekod sejarah sejak 500 juta tahun lampau.

7. Di Malaysia, sama ada secara sedar atau tidak, kita sedang memusnahkan alam sekitar atas nama pembangunan. Sememangnya, pembangunan dan menjana ekonomi negara penting, tetapi perlukah kita membangunkan ekonomi melalui kerakusan terhadap alam sekitar.

8. Dasar pembangunan sepatutnya meningkatkan kesejahteraan masyarakat ramai, bukannya melipatgandakan harta kelompok elit. Pembangunan asas sepatutnya untuk keperluan, bukannya mengambil kesempatan bagi menambah kekayaan. Jika dasar yang serupa berterusan, kelestarian negara pastinya tidak dapat bertahan lama.

9. Udara bersih tersedia apabila alam sekitar berupaya membekalkan oksigen dan menyerap karbon dioksida. Ini bererti, kita memerlukan ekosistem hutan atau kawasan hijau yang mencukupi.

10. Hutan simpan, hutan rekreasi (lipur), hutan pinggir bandar dan kawasan taman telah memainkan peranan ini tanpa kita sedari. Apa akan jadi jika ekosistem penting ini terus kita terokai, diganggu secara haram atau dimusnahkan?

11. Begitu juga dengan air bersih. Hujan yang turun di kawasan pergunungan akan tersimpan dalam pelbagai cara. Paling jelas, ia akan mengalir ke dalam anak-anak sungai, bergabung di sungai yang besar dan akhirnya dialirkan ke laut.

12. Oleh itu, kita membuat empangan dan mengambil sebahagian daripada air ini untuk keperluan manusia. Jika kita cemarkan sungai dengan sisa pepejal dan bahan toksik, apa akan jadi dengan bekalan air bersih kita?

13. Ramai yang tidak sedar, ekosistem hutan berupaya memperlahankan aliran air daripada hujan, dan secara beransur-ansur membekalkan air tersebut ke sungai. Tanah dan batuan juga mampu memerangkap air hujan dalam rongga bawah tanah.

14. Sebahagian daripada air ini tersimpan dalam takungan bawah tanah (akuifer), dan sebahagian lagi menjadi mata air, mengalir keluar membekalkan air ke sungai secara berterusan.

15. Oleh itu, hutan dan lapisan tanah serta batuan menjadi penapis dan pembekal tabii air bersih untuk kegunaan manusia.

16. Dalam konteks ini, kawasan pergunungan, lembangan dan hutan tropika (hutan simpan kekal) adalah komponen alam sekitar paling penting dalam kehidupan dan kegiatan ekonomi negara. Ia memberikan perkhidmatan paling asas untuk kesinambungan bermasyarakat dan membina tamadun bangsa.

17. Amat tidak bijak jika kita menilai alam sekitar daripada perspektif wang ringgit (nilai ekonomi), membuat perbandingan keberkesanan-kos, dan proses tukar ganti dengan agenda pembangunan, kononnya untuk kepentingan masyarakat.

18. Kita perlu menilai alam sekitar daripada perspektif perkhidmatan asas, keupayaan tampungan ekosistem dan impak terhadap kelangsungan manusia sejagat.

19. Dalam konteks alam sekitar, sungai berperanan sama seperti saluran darah dalam badan manusia. Sungai membawa air bersih dari kawasan pergunungan ke dataran rendah untuk keperluan manusia dan hidupan lain.

20. Sambil mengalir, ia membersihkan alam sekitar – semua sedimen dan bahan organik di angkut dan diendapkan ke laut. Hari ini kita dapati manusia membuang sampah sarap, bahan toksik dan sisa industri ke sungai dan akhirnya terkumpul di lautan.

21. Sungai dan lautan tercemar sehingga mengugat kehidupan akuatik – sumber makanan asas manusia! Jika kita ingin menilai ketamadunan suatu bangsa, lihatlah sungainya. Sungai yang tercemar bermakna masyarakat yang masih belum bertamadun.

22. Jelasnya, alam sekitar adalah satu daripada tiga komponen penting dalam pembangunan lestari. Pembangunan yang terimbang perlu memberikan perhatian kepada kesihatan alam sekitar, kesejahteraan masyarakat dan pertumbuhan ekonomi negara.

23. Cara berfikir dan bertindak seluruh warga, khususnya ahli politik, pegawai pelaksana dan masyarakat awam terhadap komponen alam sekitar perlu berubah. Negara memerlukan dasar dan strategi payung yang bersifat holistik bagi membangun dan mengurus alam sekitar.

24. Jabatan Alam Sekitar boleh mempelopori perubahan ini, tetapi tindakan lebih penting ialah keseluruhan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar perlu membangun dasar induk bersifat holistik mengenai Kelestarian Alam Sekitar.

IBK: 3 Julai 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s