Mengurus Sisa Pepejal Negara

p1060833

1. Tragedi terbaharu kebocoran tapak sisa pepejal di Langkawi UNESCO Global Geopark sehingga mencemar Sungai Kilim adalah satu peristiwa yang menyedihkan, tetapi turut membawa pengajaran penting kepada kita semua.

2. Kegagalan mengurus sisa pepejal menjadi isu utama pencemaran alam sekitar sejak negara mencapai kemerdekaan dan membangun dengan pesat.

3. Jika kita masih ingat, sejak awal tahun 1980an bandaraya utama negara termasuk Kuala Lumpur berhadapan dengan isu kritikal mengenai pengurusan perlupusan sisa pepejal.

4. Jumlah sisa pepejal di beberapa tapak buangan dilaporkan telah menjadi bagaikan bangunan puluhan tingkat, pencemaran air sungai semakin serius, dan kawasan pertempatan berhampiran diganggu oleh bau busuk lagi menjijikan.

5. Sungai di Lembah Kelang dilaporkan telah menjadi tempat buangan sisa domestik sehingga setiap minggu, pihak berkuasa tempatan terpaksa membelanjakan dana yang besar untuk mengangkut ratusan ton sampah sarap terapung dalam sungai.

6. Kualiti air sungai berhampiran kawasan pembangunan tercemar teruk karana ia telah dijadikan ‘tapak tanpa izin’ buangan sampah sarap.

7. Isu pencemaran alam sekitar dan kebersihan bandar akibat pembuangan sampah sarap negara ini masih kritikal. Di beberapa tempat, ia seperti bom jangka – hanya menunggu untuk meletup.

8. Ketika saya menetap di Kuala Terenggaru beberapa tahun lalu umpamanya, saya perhatikan setiap pagi Ahad, semua tong sampah di tepi jalan penuh sesak dan melimpah ruah dengan sampah sarap.

9. Ia seolah-olah tidak terurus dan tidak dipedulikan, amat menyakit mata memandang dan membawa imej negatif kepada pelancong yang ingin menikmati keindahan alam.

10. Tragedi kebocoran cecair pereputan sisa pepejal di Sungai Kilim umpama, bagaikan retak menanti belah. Isu pengurusan sisa pepejal di Langkawi telah berlarutan sejak lebih 20 tahun iaitu sejak Langkawi diiystihar sebagi destinasi pelancongan antarabangsa.

11. Walaupun pelbagai usaha telah dicuba, keadaan masih tenat dan penyelesaian jangka panjang masih belum dicapai. Usahlah menuding jari, semua pihak bertanggung jawab untuk menyelesaikan isu kritikal ini.

12. Penyelesaian isu kronik pengurusan sisa pepajal di Langkawi dan pulau pelancongan lain memerlukan pendekatan luar biasa dan iltizam tinggi oleh semua pihak berkepentingan.

13. Ekosistem kepulauan Langkawi tidak mempunyai ruang untuk tapak pembuangan sisa pepejal. Bukan sahaja, ia berbukit dan banyak pulau-pulau kecil, tanah rata sangat terhad dan telah dipenuhi oleh pertempatan atau resort.

14. Semua sungainya pendek serta dipengaruhi oleh proses pasang surut, tentunya tidak sesuai sebagai agen tabii mengangkut sampah sarap untuk dilupuskan di laut.

15. Langkawi mempunyai keupayaan tampungan menyerap sisa manusia yang sangat terbatas. Jika ingin mencari jalan penyelesaian pengurusan sisa pepejal di kepulauan pelancongan ini, kita perlu gunakan pemikiran mendatar (lateral thinking).

16. Soalan asas yang perlu ditanyakan ialah bolehkah Langkawi dijadikan pulau pelancongan tanpa menghasilkan sisa pepejal?

17. Soalan seperti ini meminta kita memikirkan pendekatan ‘setiap pelancong yang datang ke Langkawi, perlu membawa pulang sisa pepejalnya’. Pendekatan yang sama telah kita lakukan untuk pelancong yang mendaki Gunung Kinabalu atau Gunung Tahan, mengapa tidak di Langkawi?

18. Sebetulnya, konsep membawa pulang sampah sarap masing-masing apabila melawat ke kawasan sensitif alam sekitar adalah suatu yang ‘simbolik’.

19. Ia boleh diterjemahkan kepada beberapa tindakan berikut: a) pelancong yang datang perlu kurangkan membawa potensi sampah sarap; b) perkhidmatan kita juga perlu menghindar penghasilan sampah sarap, khususnya yang toksik atau berbahaya; dan c) mereka yang masih membawa sisa pepejal ke Langkawi perlu membayar perkhidmatan untuk mengurusnya.

20. Dalam konteks begini, tindakan luar biasa yang perlu di ambil oleh semua pihak, khususnya pentadbir di Langkawi, agensi pembekal industri pelancongan dan komuniti untuk menghindar tragedi alam sekitar Langkawi adalah seperti berikut:

21. Wujudkan bayaran perkhidmatan alam sekitar kepada setiap pelancong yang masuk ke Langkawi. Dana ini khusus untuk menjaga integriti alam sekitar dan pengurusan sisa pepejal;

22. Tapak sisa pepejal tidak sesuai ditempatkan di Pulau Langkawi dan di kawasan tapak pelancongan, oleh itu pentadbir daerah perlu mencari tapak yang sesuai di kepulauan Langkawi, jika masih ada atau di tanah besar Semenanjung Malaysia;

23. Tiada industri yang berpotensi mencemar alam sekitar atau menghasilkan sisa pepejal yang banyak ditempatkan di Langkawi; dan

24. Konsep pembangunan lestari, khususnya yang melibatkan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan tabii, kelakuan kepenggunaan, penjimatan tenaga, kualiti air, perkhidmatan rendah karbon perlu diperkukuhkan.

25. Dengan iltizam yang tinggi dan semangat kawi (geoparkian), semua pihak di Langkawi perlu bekerjasama menjadikan Langkawi UNESCO Global Geopark destinasi pelancongan bebas sisi pepejal, udara dan air bersih, dan alam sekitar diletakkan di kerusi hadapan dalam dasar pembangunannya.

IBK: 10 September 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s