Geotapak Batu Jatuh Tanjung Mali

dropstone

1. Asas pembangunan Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGG) ialah memelihara geotapak (geosites) bernilai kebangsaan dan antarabangsa. Ketika Langkawi diisytihar sebagai Global Geopark pertama di Asia Tenggara dan ke-52 Dunia, kita telah mengenalpasti lebih 90 geotapak yang perlu dipulihara sebagai warisan tabii (natural heritage).
2. Satu daripadanya ialah Geotapak Batu Jatuh Tanjung Mali iaitu Bukit Kecil yang memisahkan antara Pantai Cenang dan Pantai Tengah.
3. Geotapak ialah tapak batuan atau landskap yang mempunyai nilai warisan tinggi. Nilai warisan bermaksud tapak/ kawasan mempunyai nilai saintifik, estetik atau budaya penting yang perlu diperihara/ pulihara sebagai khazanah negara.
4. Bukit Tanjung Mali ialah tapak yang mempunyai struktur batu jatuh (dropstones) iaitu sebuah tapak penting sebagai rekod Sejarah Bumi Malaysia (nilai saintifik) dan perlu dipelihara.
5. Struktur Batu Jatuh merupakan struktur primer istimewa yang hanya terdapat pada batuan Formasi Singa di Kepulauan Langkawi iaitu batuan yang diendapkan pada zaman Devon Akhir hingga Perm Awal (370 – 290 juta tahun lampau).
6. Begitupun, struktur ini sukar dijumpa (rare) dan berada hanya pada beberapa lapisan khusus sahaja. Sehingga kini, ahli Sains hanya menjumpai secara terbatas, di Tanjung Mali, Pulau Tepur, Pulau Ular dan Pulau Singa Besar, Pulau Beras Basah dan Pulau Intan.
7. Geotapak Struktur Batu Jatuh di Tanjung Mali mewakili Sejarah Bumi penting di rantau Malaysia dan Asia Tenggara. Ia membuktikan, ketika pembentukan struktur batu jatuh, bumi Langkawi Kuno berada berhampiran dengan benua besar Gondwanaland (Antartika/India/Australia) – berhampiran Kutub Selatan.
8. Proses pembentukan struktur batu jatuh sangat unik dan jarang dijumpai walaupun pada batuan yang sama. Secara umum ia boleh dijelaskan seperti berikut:

a) Terdapat bongkah ais (iceberg) di kutub Selatan di atas dataran batuan meluas, ketika itu ialah bahagian daripada benua Antartika/ Australia/India kuno atau Gondwanaland. Bongkah ais ini bergerak secara perlahan ke arah utara, dan dasarnya berupaya mengangkut pelbagai jenis dan saiz pebel;

b) Bongkah ais ini tergelincir ke lautan dan terus dihanyutkan ke arah utara (khatulistiwa). Apabila air laut semakin panas, bahagian dasar bongkah ais akan mencair, dan mula melepaskan pebel pelbagai batuan, lantas jatuh ke dasar laut;

c) Ketika itu, dasar laut mengandungi sedimen lumpur yang masih bersifat lembut. Pebel yang jatuh akan terperangkap di dalam sedimen lumpur, dan apabila sedimen ini mengalami proses pembatuan (mengeras) menjadi Formasi Singa, pebel-pebel tersebut menjadi struktur sedimen primer yang dikenali sebagai batu jatuh (dropstones);

d) Proses berikutnya, batuan Formasi Singa yang berada di dasar laut mengalami fenomena tektonik, bergerak secara perlahan ke arah utara, sehingga sampai di khatulistiwa (kedudukan Langkawi sekarang);

e) Pada zaman Trias (250 juta tahun lampau) rejahan batuan granit Gunung Raya telah mengangkat batuan sedimen, termasuk Formasi Singa sehingga menjadi daratan membentuk kepulauan Langkawi. Formasi Singa terdedah di beberapa kawasan, dan hanya di lokasi terhad sahaja struktur batu jatuh boleh dijumpai.

9. Walaupun batuan Formasi Singa terbentuk pada usia 370 hingga 290 juta tahun lampau, pebel batu jatuh adalah pelbagai jenis batuan asing yang berada di dataran benua kuno Antartika/ Australia atau Gondwanaland yang telah terbentuk lebih satu bilion (1,000 juta) tahun lampau.
 10. Di Tanjung Mali, pelbagai jenis batuan (berbentuk pebel) boleh dijumpai. Antaranya ialah pebel batuan granit, batuan igneus basik, sekis, kuarzit, rijang, kuarza, batu pasir, batu kapur dan batu lumpur. Saiznya juga pelbagai, cerapan ringkas menunjukkan pebel ini bersaiz antara 5 mm hingga mencapai lebih  60 cm.
11. Paling istimewa mengenai batu jatuh ini ialah usianya. Oleh kerana ia berasal daripada batuan dasar benua lama Gondwanaland, usianya sangat tua,  jauh lebih tua daripada batuan batuan tertua di Malaysia (Formasi Machinchang, 550 juta tahun). Salah satu daripada pebel granit di Pulau Tepur telah ditentukan usia dengan menggunakan kaedah radiomatrik K-Ar dan mendapati berusia 1,029 juta tahun.
12. Geotapak Batu Jatuh Tanjung Mali sangat penting daripada perspektif rekod Sejarah Bumi (saintifik) kerana:
a) tapak struktur batu jatuh terbaik kerana mempunyai kepelbagaian jenis batuan, saiz, bentuk dan usia. Ia menjadi rekod penting sejarah bumi Malaysia/ Asia Tenggara pada zaman Devon Akhir hingga Perm Awal (370 hingga 290 juta tahun) di mana Langkawi (termasuk bahagian barat bumi Malaysia) terletak berhampiran kutub Selatan;
b) pebel pelbagai jenis, saiz dan usia ini adalah artifak batu penting (bahan tinggalan istimewa) dan jarang jumpaan (rare) mewakili batuan di permukaan benua besar Gondwanaland. Ia adalah koleksi pebel berusia sangat tua (sehungga lebih 1,000 juta tahun), mewakili pelbagai jenis batuan dari benua kuno Antartika, Australia dan India;
c) pantai berbatu di Tanjung Mali adalah tapak yang paling sesuai dan mudah dilawati untuk membawa pelajar dan pelancong ke geotapak penting (warisan negara) ini. Tapak ini paling sesuai dibangunkan untuk aktiviti pendidikan alam dan geopelancongan (pelancongan ilmu).
13. Keseluruhan Bukit Tanjung Mali penting sebagai landskap bukit terasing (satu ketika dahulu ialah pulau baki) dan menjadi ikon pantai Cenang/ Tengah. Daripada perspektif landskap tabii (natural landscape) dan nilai warisan alam, bukit bercerun curam ini tidak sesuai dibangunkan, lebih-lebih lagi untuk dipotong-ratakan.
14. Integriti Bukit Tanjung Mali perlu dikekalkan dalam keadaan tabii (natural) dan dipulihara (conserved) sebagai landskap berpandangan indah. Di sekeliling bukit ini boleh dibuatkan trail untuk penduduk tempatan dan pelancong beriadah sambil menikmati landskap dan titik pandang berpandangan indah.
15. Sepanjang persisir pantai berbatu Tanjung Mali terdapat geotapak penting iaitu Struktur Batu Jatuh Tanjung Mali bernilai warisan Malaysia/ Asia Tenggara. Tapak ini perlu dipelihara (preserved) dalam keadaan in-situ sebagai warisan negeri/ negara dan menjadi tapak rujukan penyelidikan, pendidikan dan produk geopelancongan Langkawi UNESCO Global Geopark.
16. Kerajaan negeri (melalui UPEN) disyor untuk mewartakan seluruh Bukit Tanjung Mali sebagai  kawasan Pemuliharan Alam, sama ada dalam bentuk Hutan Lipur atau Hutan Bandar dan boleh dijadikan kawasan rehat dan riadah bagi penduduk tempatan dan pelancong.
17. Pantai berbatu Tanjung Mali ialah lokasi Struktur Batu Jatuh iaitu geotapak terbaik di Langkawi mewakili rekod sejarah buki Malaysia/ Asia Tenggara, disyorkan diwartakan sebagai Tapak Pemeliharan Warisan Alam (geowarisan) bertaraf negeri. Dalam masa terdekat, tapak ini boleh disyorkan pula sebagai tapak terpelihara kebangsaan (national protected site).
IBK: 12 September 2016
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s