Memperkasa Minda Sains Graduan

_dsc0551_srgb
Wudalianchi UNESCO Global Geopark, China

 

1. Mesyuarat Majlis Profesor Negara (MPN) berlangsung di Langkawi pada akhir November ini telah mengupas beberapa isu besar negara. Antara isu dibincangkan ialah cabaran mengenai ekonomi, kesejahteraan sosial and keberkesanan sistem pendidikan negara.

2. Dalam isu ekonomi umpamanya, perimbangan antara pertumbuhan dan agihan perlu diberikan perhatian tinggi kerana tidak semua bentuk pertumbuhan menghasilkan agihan saksama.

3. Tren semasa menunjukkan walaupun pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang, tetapi agihan dan lompang antara golongan miskin dan golongan kaya semakin meluas. Akhirnya, ia bakal mencetus ketidakadilan atau resahan kaum.

4. Majlis Profesor Negara turut pengupas isu agenda dan dasar keselamatan negara. Kami dimaklumi, dasar keselamatan negara masih bersifat sektoral dan dilaksanakan berdasarkan peranan agensi khusus seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan sektor asas lain.

5. Dalam konteks ini, MPN telah diberikan kepercayaan untuk mengubal Dasar Keselamatan Negara baharu bersifat holistik dan terintegrasi.

6. Isu keselamatan makanan, keselamatan awam dan ancaman dari anasir luar perlu ditangani secara bersepadu. Ada isu governans yang masih perlu dihalusi bagi memastikan perlaksanaannya kelak berkesan.

7. Isu paling menarik dibincangkan dalam pertemuan kali ini ialah sistem pendidikan negara. Walaupun, perjuangan memperkasa pendidikan negara urusan paling asas, ternyata ramai warga yang berpendapat perlaksanaan pendidikan negara masih bercelaru atau tidak mencapai sasaran.

8. Dua komponen penting dibincangkan ialah pendidikan Technical Vocational Education Training (TVET) dan Science, Technology, Engineering dan Mathematics (STEM).

9. Keberkesanan perlaksanaan TVET masih sangat rendah kerana pelbagai isu masih belum berjaya diselesaikan. Sepekara yang paling kritikal menghantui pendidikan TVET ialah masyarakat masih melihat TVET sebagai pendidikan kelas kedua.

10. Isu pendidikan STEM telah dikupas dengan meluas oleh pelbagai pihak, terutamanya Kementerian Pendidikan Tinggi, Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Majlis Profesor Negara (MPN).

11. Pada masa ini, kurang daripada 20% pelajar mengambil mata pelajaran STEM berbanding sasaran 60%. Sejak beberapa tahun terakhir ini, kebanyakan program pengajian berasaskan STEM di Universiti Awam telah tidak diminati atau kekurangan pelajar.

12. Jelasnya, negara Malaysia tidak mungkin berkembang menjadi sebuah negara maju jika kekurangan bakat dan kemahiran dalam bidang Sains dan Teknologi.

13. Beberapa perkara asas telah dikenalpasti kenapa minat pelajar kepada pendidikan STEM merundum, antaranya:

14. Ibu bapa kurang berminat dan tidak menggalakkan anak-anaknya belajar dalam pendidikan STEM, kecuali jurusan perubatan dan kejuruteraan. Faktor utama fenomena ini berlaku kerana hanya graduan daripada perubatan dan kejurutaraan menjanjikan peluang pekerjaan yang tinggi dan pendapatan lumayan;

15. Pelajar juga kurang berminat dengan pendidikan STEM kerana menganggap mata pelajaran susah, pembelajarannya kurang menarik dan membosankan. Tambahan pula, mereka merasakan graduan berkelulusan bukan STEM mampu mendapatkan pekerjaan dan prospek kerjaya yang baik;

16. Pekerjaan bidang Sains dan Teknologi di Malaysia kurang berkembang, industri tempatan tumbuh berasaskan teknologi luaran, lantaran para saintis kurang diperlukan untuk pembangunan teknologi. Ternyata ikon saintis sudah tidak berjaya diserlah, sebaliknya ikon daripada kalangan artis, jutawan dan ahli politik lebih menonjol dan ditonjolkan.

17. Dunia sudah berubah, bidang sains tulen bukan penyelesai utama masalah masyarakat. Muncul pendekatan baharu bersifat multi-bidang yang lebih relevan untuk pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.

18. Ilmu Sains Kelestarian, Kesepaduan National, Pengurusan Sumber Asli, Keselamatan Makanan Perubahan Iklim dan Pengurangan Risiko Bencana adalah contoh pendekatan penyelesaian secara holistik berasaskan ilmu terintegrasi.

19. Bidang Sains Tulen, Sains Sosial dan Kemanusiaan, Ekonomi, Pengurusan, Perancangan dan Perundangan perlu digembleng untuk meyelesaikan cabaran semasa dan masa hadapan.

20. Cabaran ini menuntut beberapa kelompok ilmuan yang berupaya membina kepakaran dan kemahiran untuk keperluan berbeza, sebagai contoh Sains dan Teknologi (tradisional), Sains Terintegrasi dan kemahiran menyelesaikan masalah secara bersistem.

21. Kesemua ini memerlukan asas pendidikan untuk memperkasa minda sains (scientific mind) dan berpendekatan bersistem (holistic). Kesemua ilmu tradisional, sama ada sains tulen atau sains sosial memerlukan pengetahuan dan kemahiran berfikir secara saintifik.

22. Masanya sudah tiba, Kementerian Pendidikan Malaysia membuat transformasi berani. Di Sekolah Rendah dan Menengah umpamanya, pendidikan bukan sekadar menyampaikan kepelbagaian ilmu, tetapi ilmu yang pelbagai digunakan untuk membina perwatakan, sikap, pegangan dan kemahiran anak muda yang bakal meneruskan tradisi kemajuan bangsa dan negara.

23. Apa yang perlu ditumpukan ialah membina generasi masa depan berfikiran saintifik, berpandangan luas dan terbuka, pandai menterjemah peluang kepada kenyataan, serta berbangga dan cinta kepada tanah tumpah darahnya.

24. Fokus perlu diberikan kepada pembinaan insan berfikiran saintifik. Keupayaan untuk berfikir secara logik, secara mendatar atau selari. Kemampuan untuk mengupas fenomena, membuat analisis dan sintisis berasaskan fakta dan maklumat pelbagai.

25. Keupayaan untuk membuat keputusan secara rasional dan bersistem untuk kepentingan komuniti dan masyarakat sejagat. Kemahiran ini tidak sahaja boleh dibina melalui bidang STEM, tetapi menggunakan semua bidang ilmu lain yang mengamalkan pendekatan berfikiran saintifik.
IBK: 12 Dis 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s