Proses atau Bencana Banjir?

71483508442_950x600
Banjir (Sumber http://www.astroawani.com)

Proses atau Bencana Banjir?

1. Banjir sungai yang melanda negara hampir setiap tahun, khususnya di pantai timur Semenanjung Malaysia, melibatkan tiga sungai utama iaitu Sungai Kelantan, Sungai Terengganu dan Sungai Pahang bagaikan duri dalam daging.

2. Pentadbir negeri dan masyarakat yang tinggal berhampiran sungai masih terdedah dengan risiko banjir bertukar bencana. Jika dahulu kita namakan musim atau pesta banjir, kini fenomena ini mendapat gelaran baharu – bencana banjir.

3. Proses banjir adalah proses tabii yang telah berlaku sejak zaman berzaman, sejak terbentuknya lembangan dan sungai, lama sebelum manusia berkampung dan berbandar di pinggir sungai.

4. Proses ini mudah difahami – air hujan yang turun di hulu lembangan akan dialirkan melalui sungai sehingga ke laut. Dalam keadaan biasa, alur sungai berupaya mengalirkan air secara berkesan tanpa melimpah di sepanjang tebingnya. Jika hujan lebat luar biasa, khususnya ketika musim tengkujuh, lebihan air di alur sungai akan melimpah dan berlakulah proses banjir.

5. Dataran limpah atau sering dipanggil dataran banjir adalah tanah rata yang subur disebabkan lumpur dan lodak yang di bawa oleh air banjir diendapkan membentuk tanih sesuai sebagai kawasan pertanian.

6. Apabila dataran banjir mulai diteroka manusia, mereka membuat pertempatan sepanjang sungai, menggunakan sungai sebagai sistem pengangkutan dan dataran banjir untuk bercucuk tanam. Mereka memahami proses banjir sungai – membuat rumah beradaptasi dengan proses banjir dan membuat persediaan rapi apabila berhadapan dengan fenomena banjir.

7. Sejak kebelakangan ini, katanya akibat fenomena pemanasan global, iklim menjadi tidak menentu – musim hujan dan kemarau menjadi semakin ekstrem – proses banjir menjadi lebih serius dan luar jangkaan.

8. Jika banjir sebelum ini, limpahan air sungai hanya mencapai 2 meter, banjir 2014 di Kelantan mengakibatkan limpahan air banjir mencapai 10 meter. Semua pengalaman berhadapan dengan banjir sebelum ini, tidak dapat digunakan, dan banjir bukan lagi satu proses, tetapi bencana alam yang menyebabkan kerosakan harta benda dan meragut nyawa.

9. Apakah proses banjir yang sedang melanda di Sungai Kelantan dan beberapa daerah di pantai timur kini menyamai bencana banjir 2014? Walaupun agak membimbangkan, nampaknya ia hanya proses banjir lazim dihadapi oleh penduduk pantai timur.

10. Begitupun, kelihatan persediaan pihak berkuasa semakin mantap, dan pelbagai tindakan proaktif telah dilakukan lebih awal, sementara penduduk yang berhadapan dengan proses banjir telah dipindahkan di tempat yang disediakan.

11. Saya tertanya, mengapa penduduk yang dipindahkan ini dikenali sebagai mangsa banjir? Apakah mereka telah mengalami kecederaan, rumahnya telah rosak atau musnah, atau infrastruktur asas telah tidak berfungsi?

12. Istilah mangsa lazimnya digunakan bagi komuniti yang terjebak dengan bencana – berlaku kecederaan, kematian dan kerosakan harta persendirian dan awam.

13. Jika, semua ini belum berlaku, mereka bukan mangsa, tetapi penduduk yang sedang berhadapan dengan risiko bencana banjir. Sementara proses pemindahan adalah tindakan proaktif untuk mengurangkan risiko bencana!

14. Konsep mangsa banjir (bencana) dan penduduk sedang berhadapan dengan risiko bencana perlu difahami dengan jelas oleh agensi terbabit di peringkat kebangsaan dan negeri. Dalam konteks mangsa bencana, kerajaan bertanggungjawab mengurus aktiviti menyelamat dan membangun semula komuniti di landa bencana.

15. Sebaliknya, daripada perspektif mengurangkan risiko bencana, peranan individu dan komuniti menjadi asas dalam menjaga harta benda dan keselamatan masing-masing. Kerajaan seeloknya hanya bertindak sebagai pemudahcara memperkasa komuniti yang berhadapan dengan risiko.

16. Perkara yang penting, budaya aktiviti mengurangkan risiko daripada kalangan komuniti berhadapan bencana banjir perlu di pupuk dan diberikan keutamaan.

17. Dasar kerajaan mengenai konsep proses banjir dan bencana banjir juga perlu diperkemaskan dan diperjelaskan. Sebagai contoh, untuk setiap lembangan atau sungai utama, kerajaan perlu mempunyai kriteria mengenai tiga perkara asas apabila berhadapan dengan fenomena banjir:

18. Paras bahaya banjir – ini adalah paras ketinggian air di alur sungai yang ditafsirkan boleh menyebabkan berlaku banjir. Biasanya apabila air sungai telah mencapai paras ini, peringatan mengenai kemungkinan akan berlaku banjir boleh diwar-warkan. Semantara, komuniti di pinggir sungai dapat bersedia untuk berhadapan dengan proses banjir;

19. Paras banjir – ini adalah paras air banjir di tebing sungai yang berlaku hampir setiap tahun. Paras banjir normal, sebagai contoh pada ketinggian antara 0.1 hingga 1.0 meter, masih belum di anggap bencana. Individu dan komuniti masih dapat mengurus harta dan keselamatan masing-masing. Sementera tanggungjawab mengurus risiko lebih sesuai diserahkan kepada masyarakat yang berhadapan dengan proses banjir;

20. Paras bencana banjir – ini adalah paras air banjir di atas dataran limpah, khususnya di tempat kediaman dan infrastruktur awam melampaui paras normal. Individu dan komuniti sudah tidak mempunyai keupayaan untuk mengurus risiko bencana, dan bantuan luar diperlukan, terutamanya pihak berkuasa untuk menyelamatkan harta dan mangsa.

21. Memandangkan proses banjir berlaku hampir setiap tahun, sementara bencana banjir mungkin hanya berlaku sekali dalam 10 atau 50 tahun, kefahaman mengenai konsep komuniti yang berhadapan dengan risiko bencana banjir dan mangsa banjir, serta pengertian proses banjir dan bencana banjir perlu dihayati dan diamalkan oleh semua pihak berkepentingan dalam pengurusan fenomena banjir sungai.

IBK: 5 Januari 2017

71483508442_950x600
Banjir (Sumber http://www.astroawani.com)
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s