Pulau Baki Warisan Strategik Negara

img_1831
Pulau Baki di Selatan Kepulauan Langkawi (pandangan dari Gunung Machinchang)

 
1. Perairan Malaysia mempunyai ribuan Pulau Baki (residual islands), antara pulau bersaiz besar dan berpenduduk ialah Pulau Singapura, Pulau Pinang, Pulau Besar Langkawi, Pulau Tioman dan Pulau Banggi.
2. Yang lainnya, pulau-pulau kecil dan sangat kecil berkeluasan kurang daripada satu kilometer persegi. Kebanyakan pulau ini terbentuk daripada batuan, bertebing curam dan diliputi oleh hutan hujan tropika.

 
3. Pulau Baki ialah sebahagian daripada sistem persisir pantai berbatu. Kawasan di persisir pulau aktif mengalami hakisan oleh proses ombak dan pasang surut.
4. Satu ketika dahulu, pulau-pulau ini bersambung atau sebahagian daripada perbukitan di pantai. Hasil proses hakisan ombak, ia terpisah daripada tanah besar Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
5. Proses hakisan berterusan menyebabkan saiz pulau baki semakin mengecil sehingga menjadi tunggul laut, dan akhirnya musnah sepenuhnya.
6. Persisiran pantai berbatu dan pulau baki adalah kawasan paling dinamik di permukaan  bumi, ia boleh terhakis secara berterusan, mengecil beberapa meter setahun, dan akhirnya hilang di telan laut.
7. Pulau ini boleh berada hanya beberapa meter dari pesisir pantai, tetapi ada juga yang jauhnya melebihi 100 km di luar pantai.
8. Pulau-pulau ini mendedahkan batu batan segar secara meluas, dan sering menjadi bahan kajian ahli geologi untuk merungkai sejarah perkembangan bumi.
9. Satu masa dahulu, pulau baki dianggap ‘tanah tidak berguna’, tidak selamat untuk pembinaan, tidak sesuai untuk bercucuk tanam, tidak mengandungi air tawar dan tidak sesuai sebagai kawasan pertempatan.
10. Pulau-pulau ini hanya berfaedah kepada nelayan yang tumpang berteduh ketika ombak besar dan angin kencang. Kini, beberapa pulau bersaiz sederhana telah dibangunkan secara mesra alam untuk ekopelancongan.
11. Kebanyakan pulau kecil dan tunggul laut masih berada dalam keadaan tabii (tidak terganggu) menghiasi persisiran pantai dengan landskap berpandangan indah.
12. Pulau baki penting sebagai sebahagian daripada ekosistem pantai dan penanda sempadan politik sebuah negara berdaulat. Ia juga menjadi sempadan lepas pantai antara kita dengan negara jiran.
13. Malaysia telah kehilangan pulau baki Batu Puteh kepada Singapura, tetapi bernasib baik memperoleh hak kenegaraan Pulau Sipadan.
14. Di Kedah, Pulau Perak ialah sempadan paling jauh antara negara dengan Thailand dan Indonesia iaitu lebih 100 km dari kepulauan Langkawi ke arah laut Andaman.
15. Ketika membangunkan Geopark Jerai di Kedah, kami mengambilkira lima pulau baki di persisir pantau iaitu pulau-pulau  Sayak, Bidan, Telor, Songsong dan Bunting sebagai bahagian penting geopark.
16. Inilah pulau baki yang tersusun melengkar seakan melindungi keagungan Gunung Jerai. Setiap satu pulau ini unik daripada perspektif sumber geologi dan biologi dan perlu dilindungi.
17. Apabila diurus secara berhemah, ia sesuai dijadikan produk geopelancongan. Pendekatan membiarkan semua pulau ini dalam keadaan tabii adalah strategi terbaik untuk mengekalkan warisan alam untuk generasi akan datang sambil menjana sosio-ekonomi komuniti tempatan.
18. Kepulauan Langkawi, kini dikenali sebagai UNESCO Global Geopark juga mengandungi kesatuan pulau-pulau baki. Satu ketika dahalu Langkawi merupakan sebuah pulau baki yang besar.
19. Kini ia telah terpecah-pecah oleh hakisan ombak menghasilkan 99 pulau pelbagai saiz. Hanya Pulau Langkawi, Pulau Dayang Bunting dan Pulau Tuba berpenghuni, lainnya terlalu kecil untuk menampung pertempatan.
20. Kehadiran pulau-pulau baki beraneka rupa, bentuk dan warna menjadikan Langkawi sebuah landskap berpandangan indah, unik dan mempersonakan. Inilah aset dan daya tarikan utama pelancong ke Langkawi.
21. Ketika memperkenalkan Langkawi sebagai global geopark, kami telah mengenalpasti beberapa pulau baki yang bertaraf warisan kebangsaan kerana nilai sains yang tinggi.
22. Pulau Langgun (fosil penentu usia) dan Pulau Tanjung Dendang (takikan laut kuno); Pulau Anak Datai (lapisan batuan terdua); Bukit Tanjung Mali (struktur batu jatuh ); Pulau Jemuruk (lokasi fosil tertua); Pulau Tepur (batu jatuh berusia lebih 1,000 juta tahun); dan Pulau Ular (pentas hakisan ombak) contoh pulau baki penting.
23. Pulau-pulau ini telah dicadangkan kepada Jabatan Warisan Negara untuk di angkat menjadi Tapak Warisan Geologi bertaraf Kebangsaan. Proses pewartaan masih berjalan dan diharap dapat dimuktamatkan dalam masa terdekat.
24. Terakhir ini, fenomena syarikat pemaju berhasrat untuk memiliki pulau baki dan kerajaan bersedia ‘menjualnya’ adalah satu tren yang sangat berbahaya.
25. Ia tidak sahaja bakal merosakkan integriti landskap dan kesihatan alam sekitar, lebih pentng lagi bakal menggugat keselamatan negara.
26. Pulau baki bukan sahaja barisan luar sempadan negara, tetapi benting kawalan hakisan pantai dan bencana tsunami. Tambahan pula, kebanyakan pulau baki tidak sesuai dimajukan kerana limitasi topografi dan keselamatan awam.
27. Kebanyakan pulau baki boleh dikunjungi secara harian menggunakan bot atau kapal, amalkan pendekatan pelancongan begini bagi membolehkan pelancong menikmati landskap berpandangan indah sambil melawat tapak warisan penting bagi pendidikan awam.
28. Membenarkan warisan ini dimiliki oleh syarikat atau individu hanya akan mengundang bencana politik dan penyesalan tanpa berkesudahan.

 

IBK: 13 Januari 2017

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s