Antara Universiti Awam dan Swasta

_dsc0646
Universiti dan Inovasi Sosial: Bengkel Geopark Bali, Indonesia

 

 

1. Sejak tahun 1990an Malaysia mengamalkan dasar pengajian tinggi terbuka, universiti bukan sahaja milik kerajaan (Universiti Awam), tetapi boleh dimiliki oleh individu atau syarikat (Universiti Swasta). 

2. Mengimbau kembali akhir tahun 1960an, selain kita hanya mempunyai Universiti Malaya (UM), kerajaan mewujudkan dua universiti baharu iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

3. Beberapa tahun berikutnya, dua kolej teknikal pula di angkat statusnya menjadi universiti iaitu Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

4. Kelima-lima Universiti Awam (UA) ini telah melalui tradisi panjang pembentukan institusi pengajian tinggi mengikut norma universal iaitu pusat pembangunan ilmu dan pendidikan tinggi bagi menghasilkan warga negara berilmu. 

5. Tumpuan diberikan kepada pembangunan ahli akademik (malim) berijazah PhD yang bakal menjadi pemimpin pelbagai bidang ilmu di peringkat kebangsaan dan dunia. Mengwujudkan program pengajian berasaskan kekuatan atau fokus universiti bagi menghasilkan ilmuan (komuniti pemikir) dan sumber insan mahir (peneraju agensi kerajaan dan swasta).

6. Transformasi pendidikan tinggi tahun 1990an dan 2000 telah mewujudkan senario baharu, pendidikan tinggi tidak lagi dilihat sebagai gedung ilmu, tetapi pusat pendidikan tinggi yang membuka ruang kepada falsafah ‘pendidikan tinggi untuk semua’. 

7. Ia meliputi dasar berkaitan semua warga boleh mempunyai akses kepada pengajian tinggi, penggajian tinggi menjadi pusat latihan kemahiran untuk menghasilkan tenaga mahir (ikhtisas dan separuh-ikhtisas), dan universiti boleh dimiliki oleh institusi swasta. Sejak itu bercambahlah Universiti Swasta (US) di negara ini, bagaikan cendawan tumbuh.

8. Dua bentuk universiti ini iaitu UA dan US telah membangun dengan hala tuju dan strategi masing-masing. Kelima-lima UA di atas telah menjadi Universiti Penyelidikan (UP) iaitu universiti yang memberikan tumpuan kepada penyelidikan fundamental bagi memperbanyakkan sarjana (ilmuan). 

9. Mereka juga menjalankan penyelidikan gunaan dan pembangunan bagi memperkasa kemajuan teknologi tinggi negara. Matlamatnya untuk menjadi UA berwibawa, dihormati dan bertaraf global. Semua UP ini sedang berstrategi untuk menjadi 200 universiti terkemuka di dunia. 

10. Pada peringkat awal, kebanyakan US khususnya yang dibangun oleh syarikat tempatan, mendapat bantuan kepimpinan dan tenaga pengajar daripada UA. Mereka pada prinsipnya memberikan tumpuan kepada komponen pendidikan tinggi iaitu menghasilkan tenaga mahir untuk memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dan ikhtisas. 

11. Hari ini, kedudukan US sudah semakin mantap, tenaga akademik tetapnya mulai berkembang dan ada setengahnya sudah mula menceburi dalam komponen penyelidkan. Kemasukan banyak cawangan universiti terkemuka luar negara sebagai US telah mula meningkatkan imej positif pendidikan tinggi swasta.

12. Sejak sedekad terakhir ini, banyak suara sumbang menyuarakan US di Malaysia lebih maju dan berkualiti, bukan sahaja setanding dengan UA tetapi kononnya lebih baik dalam serba serbi. 

13. Terakhir ini, di muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, beberapa tokoh pendidik peringkat sekolah dan peneraju US, tanpa segan dan silu, berhujah UA telah semakin merosot, dan cara terbaik untuk menyelamatkannya ialah mengubah UA kepada US. 

14. Satu penghujahan yang dangkal dan tidak berpijak di bumi yang nyata, di dorong oleh unsur perniagaan semata-mata untuk mengkaburi mata masyarakat dan bakal pelajar untuk memilih US!

15. Pada masa ini, UA dan US mempunyai peranan berbeza untuk menyokong dasar pendidikan tinggi negara. Kedua-duanya bersifat saling sokong menyokong dan bantu membantu, demi kemajuan dan kecemerlangan pembinaan tamadun negara berilmu. 

16. Pada masa ini permintaan untuk menuntut di UA jauh melampau tempat yang disediakan, dan pastinya sebahagian yang tidak mendapat tempat di UA boleh memilih untuk belajar US. Di US juga boleh digembangkan pelbagai program bersifat menyediakan tenaga kerja mahir untuk pembangunan negara.  

17. Masyarakat sering diberikan gambaran, kualiti dan kecemerlangan institusi pengajian tinggi terletak kepada kebolehpasaran graduan dan keupayaan untuk menjana pendapatan sendiri. 

18. Ini adalah kecemerlangan pengurusan, tetapi pastinya bukan kecemerlangan akademik! Pada prinsipnya, sama ada UA atau US di peringkat kebangsaan dan global, pengukur kecemerlangan akademik berkaitan dengan enam komponen berikut: 

18a. Kecemerlangan ahli akademik – meliputi jumlah akademik yang berijazah PhD dan dilantik sebagai Profesor. Lebih penting jika sebahagian daripada sarjana (malim) diikhtiraf kewibawaannya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa;

18b. Kecemerlangan perkongsian ‘ilmu baharu’ – universiti berkongsi ilmu baharu melalui penerbitan terindek dan berimpak. Jumlah dan kualiti penerbitan ilmuan oleh ahli akademik menjadi asas kecemerlangan kesarjanaan sesebuah universiti;

18c. Kecemerlangan menjana kewangan untuk penyelidikan – keupayaan menjana dana penyelidikan fundamental, gunaan dan pembangunan menunjukkan kewibawaan dan kepercayaan masyarakat terhadap ahli akademik dan universitinya;

18d. Keupayaan menarik pelajar cemerlang – universiti yang cemerlang berupaya menarik pelajar terbaik untuk mengikuti program pengajian yang disajikan. Syarat kemasukan sangat tinggi, dan perlumbaan untuk diterima masuk getis;  

18e. Kecemerlangan pengaruh dasar dan inovasi sosial – kesarjanaan dan kepakaran sebuah universiti telah berjaya diterjemahkan kepada dasar pembangunan negara dan pemikiran global. Universiti menjadi pemimpin mendahului zaman; dan

18f. Graduan menjadi rebutan majikan berkualiti – komuniti, kerajaan dan swasta menunggu dan mencari calon sumber manusianya dari universiti yang diikhtiraf kecemerlangannya.

19. Marilah kita nilai kedudukan kecemerlangan UA dan US di negara ini berasaskan kayu ukur di atas, dan terus memperbaiki diri untuk cemerlang bersama. 

20. Bersinergilah, Kedua-duanya adalah sistem mendidikan tinggi kita, menjadi pemacu masa depan keilmuan negara.

IBK: 17 Januari 2017

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s