TN50: Harapan dan Realiti

fullsizerender

 

 

1. Syabas diucapan kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin yang berjaya membawa YAB Perdana Menteri berdialog dengan golongan muda mengenai masa depan negara menjelang 2050.

2. Ini satu pendekatan berinovatif yang segar dan perlu dicontohi oleh kementerian lain apabila berhadapan dengan pihak berkepentingan masing-masing.

3. Syabas juga kepada anak muda yang petah berhujah menyampaikan pandangan mengenai pendidikan, ekonomi, perkongsian kekayaan, perpaduan kaum, alam sekitar dan kelestarian, serta jatidiri bangsa.

4. Jika harapan anak muda ini perlu dijadikan realiti, beberapa blok binaan asas membangun negara bangsa perlu diberikan prioriti secara berterusan, dan diukur pencapaiannya menjelang 2020, 2030, 2040 sebelum menuai hasilnya pada saat 2050.

5. Para pembuat dan pelaksana dasar perlu meninggalkan set minda tradisi dalam sistem governans berasaskan kawalan, birokrasi, kurang percaya dan dasar bersifat sektoral. Set minda baharu perlu berpegang kepada prinsip berintegriti tinggi, percaya mempercayai, keterbukaan, pendekatan holistik, kecemerlangan, kelestarian, dan menjunjung keutuhan nilai bersama.

6. Antara blok binaan asas yang perlu diberikan perhatian ialah: a) siapa itu bangsa Malaysia?; b) kekuatan bangsa untuk menerajui dunia; c) nilai bersama yang disanjung mewakili jatidiri bangsa; dan d) keupayaan mengharungi cabaran kehidupan yang lestari.

7. Mari kita yakini jiwa dan fikiran, bangsa Malaysia ialah warga negara yang tinggal di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, dan warga yang menetap di luar negara secara sementara. Kita adalah sebahagian daripada komuniti Asean dan warga global.

8. Berasaskan sejarah, bangsa Malaysia bersifat pelbagai kaum, agama dan budaya dengan Melayu atau Bumiputra sebagai kaum majoriti dan asal menetap di negara ini. Persoalannya, apakah semua dasar, strategi dan tindakan negara berhasrat memajukan minda dan keupayaan bangsa Malaysia ini?

9. Bangsa Malaysia ini juga terdiri daripada pelbagai kelompok – kanak-kanak, anak muda, wanita, dewasa, warga tua dan warga istimewa dan emas. Setiap kelompok ini adalah warga yang mempunyai harapan dan keperluan tersendiri.

10. Memang benar, kita perlu mendengar harapan anak muda masa kini, kerana mereka bakal menjadi dewasa menjelang 2050. Begitupun, apakah agaknya harapan anak muda ketika itu?

11. Pembangunan ialah pencapaian cemerlang setiap dekad, oleh itu suara dan sumbangan setiap kelompok warga Malaysia perlu digarap untuk membina strategi dan pelan tindakan pelaksanaan TN50.

12. Kekuatan setiap bangsa terletak pada kepimpinan berwawasan, warga bersatu padu dan saling hormat menghormati, ilmu dan teknologi watan, dan sikap serta tradisi keunggulan.

13. Bangsa yang berpecah belah akan sentiasa lemah, sementara kepentingan diri dan kerakusan kelompok kecil adalah penyakit kronik menyebabkan kelemahan tidak dapat dibendung.

14. Satu ketika dahulu, pemimpin sering melaungkan slogan ‘bersatu teguh bercerai roboh’, kini mereka pula saling bercakaran antara satu sama lain. Bersatulah demi mencapai matlamat TN50.

15. Satu perkara yang masih kurang diberikan keutamaan ialah pembinaan ilmu dan teknologi watan. Tidak salah pada peringkat awal, kita mengambil dan meminjam ilmu dan teknologi luaran.

16. Teknologi luar hanya meletakkan kita sebagai warga pengikut dan kekayaan yang mampu diraih bersifat sementara dan terhad. Berbelanja untuk membina ilmu dan teknologi watan, tanpa mengira pulangan segera perlu dijadikan pegangan utama dalam membina negara bangsa yang kuat.

17. Negara perlu berani berbelanja untuk membangun bakat dan teknologi watan canggih secara berterusan, sebelum masyarakat boleh dibiarkan berdikari. Usaha ini perlu dilakukan secara ikhlas, terbuka dan merangkumi warga yang meluas.

18. Isu nilai bersama bangsa Malaysia sering dikupas tetapi tidak pernah ada kesudahan. Sebabkan kita masih berhujah mengenai kepentingan sektoral dan kepentingan kelompok tertentu bukannya wawasan bersama.

19. Saya tertarik dengan ucapan penutup YAB Dato Seri Najib Razak menegaskan ‘Malaysia negeri kita, Malaysia tanah tumpah darah kita, cintailah Malaysia’. Inilah kunci perpaduan national, kunci jatidiri dan kekuatan bangsa terhormat. Soalnya apa sebenarnya Malaysia yang mahu dicintai?

20. Sebagai seorang ahli sains kelestarian, Malaysia yang saya cintai ialah hutan hijau tropika yang terpulihara, kepelbagaian biologi, geologi dan budaya dihayati secara terintegrasi, landskap tabii bersulam dengan landskap buatan secara harmonis, sungai yang jernih dan udara nyaman, pengurusan sumber asli berhemah, pembangunan industri tempatan bersih yang tidak mencemar, dan kebijaksanaan warganya beriltizam mengamal pembangunan lestari.

21. Malaysia yang perlu dihormati ialah seluruh warganya, perlembagaannya, alam sekitar dan keindahan landskap, warisan, budaya dan tradisi unggul milik bersama.

22. Malaysia yang kita cintai ialah kesejahteraan kehidupan bangsa Malaysia, pertumbuhan ekonomi untuk semua, tradisi menghargai warisan bangsa, negara merdeka yang mengilhamkan masa depan gembilang.

IBK: 22 Jan 2017

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s