Sains Kelestarian Penyelamat Bumi

_dsc0334_srgb
Geopark Model Pembangunan Lestari Wilayah

 

1. Sebelum melabuhkan tirai 2016, kerajaan Malaysia dan UNESCO Paris sempat menganjurkan satu pertemuan pakar mengenai Sains Kelestarian penyokong Agenda 2030 di Kuala Lumpur.

2. Simposium ini telah dirasmikan oleh Tan Sri Zakri Abdul Hamid, Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Malaysia. Peserta terdiri daripada sekitar 20 orang pakar dari seluruh dunia dan 15 orang wakil dari Malaysia. Saya bernasib baik kerana diberi penghormatan untuk turut bersama.

3. Sejak Sidang Kemuncak Bumi (United Nation Conference on Environment and Development) di Rio de Janeiro pada tahun 1992, dan diikuti pula dengan Rio +10 (United Nation Conference on Sustainable Development) di Johannesburg pada tahun 2002, warga global masih mencari-cari formula bagaimana mengurus dunia yang lestari?

4. Terakhir ini, wawasan Sustainable Development Solution Network (SDSN) nampaknya boleh memberikan nafas baharu bagi melaksanakan gagasan kelestarian kehidupan.

5. Sehingga ke saat ini, kita masih bertelagah dan tidak bersefahaman, menuding jari, dan mengambil kesempatan daripada apa sahaja usaha ke arah kelestarian sejagat. Akibatnya dunia dan kemanusian terus terjerumus dengan tindak tanduk ketidaklestarian.

6. Kita sedia maklum, fenomena Pemanasan Global telah mencapai tahap kritikal. Akibatnya, air batu di kawasan kutup terus mencair, paras air laut meningkat dengan kadar pantas, keadaan iklim menjadi semakin ekstrem, dan bencana alam bersekala besar semakin kerap berlaku. Ringkasnya, Bumi sedang bergerak ke arah kemusnahan!

7. Sains Kelestarian ialah ilmu dan pendekatan abad ke-21 untuk manusia sejagat menyelamatkan Bumi. Prinsip penting yang perlu dipegang ialah bagaimana mencapai keseimbangan antara pembangunan ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan kesihatan alam sekitar?

8. Sementara pendekatan yang perlu diamalkan ialah berfikiran dan bertindak secara terintegrasi (syumul) iaitu amalan bersifat multi- dan trans-bidang bagi pembangunan dan menyelesaikan persoalan.

9. Untuk menilai apakah Sains Kelestarian telah diarusperdanakan dalam kehidupan seharian, kita boleh meneliti dampaknya dalam tiga sekitaran: akademia (ilmu dikembangkan); dasar (komitmen pemimpin); dan praktis (amalan masyarakat).

10. Dalam pertemuan pakar kali ini, penghujahan banyak tertumpu kepada sekitaran akademia, khususnya daripada perspektif prinsip dan definisi Sains Kelestarian, serta hasil kajian mengenai keberkesanan inisiatif dan amalan kelestarian semasa.

11. Terdapat segelintir ahli akademik telah berhijrah dan mengembangkan ilmu multi- dan trans-bidang. Mereka mula mengembangkan teori, pendekatan dan ilmu mengenai Sains Kelestarian atau ilmu terintegrasi.

12. Setengahnya telah mewujudkan kursus atau program untuk pelajar pra- dan pasca-siswazah. Ini perkembangan yang membrangsangkan. Begitupun, majoriti para akademik masih mengembangkan ilmu terfokus dan program pengajian bersifat tradisional iaitu berasaskan bidang tertentu.

13. Hakikatnya, graduan yang dihasilkan oleh universiti masih bersifat ‘berfikiran bidang ilmu yang menjurus’. Ringkasnya, pembekal bakat untuk mengurus dunia masih belum terdedah dengan pendekatan Sains Kelestarian.

14. Daripada perspektif menyediakan dasar (polisi) bersifat syumul, dunia masih berhadapan dengan cabaran mengunung. Pada peringkat global, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) telah memulakan pelbagai inisiatif sejak awal 1990an.

15. Pelbagai persidangan, perjanjian, garispanduan dan iltizam – disediakan untuk beranjak ke arah kelestarian. Apakah semua ini berjaya diterjemahkan menjadi dasar di peringkat negara atau pentadbiran negeri?

16. Kenyataannya, akta dan enakmen di peringkat persekutuan dan negeri masih bersifat sektoral, sementara pengubal dan pelaksana dasar masih bertindak berasaskan agensi terfokus. Persoalannya, mampukah negara memecahkan benteng antara agensi bagi menyediakan dasar berasas kelestarian?

17. Walaupun banyak inisiatif kelestarian antarabangsa telah diterjemahkan kepada pelan tindakan di peringkat kebangsaan. Inisiatif ini lazimnya diserahkan kepada beberapa agensi tertentu untuk dilaksanakan.

18. Seperti kita sedia maklum, semua agensi ini telah mempunyai mandat tradisinya, dan sebarang program luaran hanya bersifat ‘tempelan’ (pinggiran) dan cuba dilaksanakan dengan sumber terhad.

19. Hasilnya, pegawai yang diberikan amanah untuk menguruskan inisiatif kelestarian ini hanya mampu mengumpul dan menghitung KPI yang templetnya disediakan oleh badan antarabangsa itu.

20. Dalam perbincangan pakar, saya dijemput membentangkan inisiatif UNESCO Global Geoparks yang bermula sejak tahun 2004. Program ini memberikan keutamaan melaksana wawasan pembangunan lestari di wilayah mundur berasaskan daya tarikan warisan tabii unik/ istimewa.

21. Geopark adalah gerakan aspirasi ‘bawah-atas’ (komuniti setempat) paling berjaya di dunia. Kini terdapat 120 UNESCO Global Geopark di 34 negara. Ternyata, ini satu contoh bagaimana pendekatan Sains Kelestarian boleh dilaksanakan dengan jayanya tanpa mengharapkan perubahan terhadap governans semasa.

22. Transformasi daripada dunia sektoral kepada wawasan bersifat syumul masih berhadapan dengan ranjau sepanjang jalan. Walaupun pelbagai ilmu, inisiatif dan pendekatan telah dikemukakan, sambutan pada peringkat dasar dan perlaksanaan masih amat terbatas.

23. Dunia perlu mencari strategi baharu bagi menggerakkan transformasi kritikal ini. Program pacuan masyarakat tempatan dan disokong oleh pentadbir negeri, mempunyai potensi besar bagi menjayakan wawasan kelestarian – kesejahteran Bumi dan penghuninya.

IBK: 1 Februari 2017

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s