Matlamat Pembangunan Lestari

fullsizerender
Menikmati khasiat onsen, Kirishima Geopark, Jepun

 

1. Matlamat Pembangunan Lestari atau dalam bahasa Inggerisnya, Sustainable Development Goals (SDGs) telah menjadi agenda global apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperkenalkan 17 matlamat yang perlu dicapai oleh semua negara bangsa menjelang 2030.

2. Perdana Menteri Malaysia talah menyahut cabaran ini dengan menyatakan komitmen negara dalam beberapa forum yang beliau hadiri. Unit Perancang Ekonomi (EPU) pula telah diberikan mandat untuk menyelaras tindakan pelbagai pihak untuk mencapai matlamat ini.

3. Agenda pembangunan lestari bukan perkara baharu, ia telah dilancarkan di peringkat global ketika Sidang Kemuncak Bumi (United Nation Conference on Environment and Development) di Rio de Janeiro pada tahun 1992.

4. Walaupun banyak inisiatif global telah dilancarkan, penerapan dan sambutan oleh kebanyakan negara masih terbatas. Untuk memastikan kejayaan agenda ini, gerakkan berasaskan prinsip kesedaran akar umbi atau ‘bawah-atas’ perlu dilaksanakan.

5. Perlaksanaan di peringkat pihak negara pula, keberanian politik, pemimpin beriltizam (champion) dan keluwesan governans adalah prasyarat untuk mencapai kejayaan.

6. Matlamat Pembangunan Lestari diperakui semasa Sidangan Kemuncak Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pembangunan Lestari (UN Sustainable Development Summit) berlangsung di New York pada 25-27 September 2015.

7. Hasrat penting Sidang Kemuncak ini ialah untuk menghidupkan kembali agenda lama yang mulai terpinggir dengan memperkenalkan tema baharu iaitu ‘Transformasi Dunia Kita: Agenda 2030 untuk Pembangunan Lestari’.

8. Ramai yang masih keliru, pembangunan lestari bukan hanya agenda alam sekitar, ia adalah juga agenda kesejahteraan komuniti dan pertumbuhan ekonomi menyeluruh. Ia memberikan perhatian kepada falsafah apa yang kita lakukan pada masa ini, tidak memudaratkan keupayaan kehidupan anak cucu kita di masa hadapan.

9. Matlamat ini adalah agenda majoriti masyarakat global. Malangnya wujud sekumpulan kecil komuniti dunia yang hanya mementingkan agenda meraih kekayaan untuk diri dan keluarga, bersifat rakus terhadap alam sekitar, dan tidak menghormati masyarakat terbanyak yang sanggup mencorakkan kehidupan yang tidak lestari!

10. Matlamat penting pembangunan lestari yang telah dipersetujui ialah tiada lagi kemiskinan dan kelaparan; kesihatan dan kesejahteraan; pendidikan berkualiti; kesamarataan gender; air bersih; tenaga bersih; kerja dan pertumbuhan ekonomi; kekentalan industri; mengurangkan ketaksamarataan; bandar lestari; kepenggunaan bertanggungjawab; pengurangan karbon; kehidupan di daratan dan lautan; governans adil dan keamanan; dan rakan kongsi mencapai matlamat kelestarian.

11. Kita tidak perlu mengikuti keseluruhan agenda global, sebaliknya memilih matlamat yang masih menghantui negara. Walaupun, dunia umumnya, masih memerlukan 17 matlamat pembangunan lestari seperti tersenarai di atas, negara kita mungkin telah berjaya mencapai sebahagian daripada matlamat ini.

12. Malaysia perlu mengenalpasti prioriti dan memberikan tumpuan kepada isu kritikal bakal menjejas pembangunan sosial, alam sekitar dan ekonomi kita.

13. Majlis Profesor Negara (MPN) sebagai rakan kongsi EPU telah mengorak langkah untuk bersama kerajaan menjayakan agenda penting ini.

14. Tan Sri Zakri Abdul Hamid, Pengerusi MPN dan juga pengasas Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari (SDNS), Malaysia ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas MPN mengenai Matlamat Pembangunan Lestari menyatakan ‘pembangunan lestari bukan soal alam sekitar sahaja, tetapi melibatkan kesejahteraan masyarakat dan pertumbuhan ekonomi; sementara penyelesaiannya bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi merlu melibatkan semua lapisan masyarakat’.

15. Walaupun Malaysia telah menunjukkan beberapa kemajuan yang memberangsangkan, saya berpendapat kita perlu bermula daripada asas kelestarian. Banyak kepincangan dasar (polisi), strategi perlaksanaan, governans (tadbir urus), sikap dan integriti yang perlu diperkemaskan lagi.

16. Dalam konteks ini, matlamat Pendidikan Berkualiti (SDG-4), khususnya pendidikan kelestarian perlu diberikan perhatian. Penghayatan dan pembangunan keupayaan mengenai isu kelestarian tidak sahaja perlu didedahkan di peringkat sekolah dan universiti (formal), tetapi perlu menyeluruh menjangkau sektor kerajaan, swasta dan masyarakat umum (informal dan tidak formal).

17. Kegairahan membangunkan prasarana untuk pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat, kita mungkin terlepas pandang mengenai kepentingan Perkhidmatan Alam Sekitar. Akibatnya banyak kawasan sensitif alam sekitar seperti kawasan gunung, bukit, sungai, hutan, tanah bencah dan ekosistem pesisir pantai dimusnahkan.

18. Kini kita sedang menanggung kesannya, terutamanya pencemaran udara dan air, pulau haba, kekurangan sumber perikanan, dan bencana alam (tanah runtuh dan banjir). Masanya telah tiba untuk negara memberikan tumpuan utama kepada matlamat Air Bersih (SDG-6), Hidupan di Lautan (SDG-14) dan Hidupan di Daratan (SGD-15).

19. Saya syorkan EPU memulakan dengan mengumpulkan data asas yang boleh dikaitkan dengan matlamat pembangunan lestari. Data ini boleh digunakan untuk membentuk beberapa ‘indeks kelestarian’.

20. Mengambil contoh peratusan sungai utama yang telah tercemar. Jika peratusannya masih tinggi, ia jelas menunjukkan pembangunan kita masih belum lestari, dan ia juga melambangkan ketamadunan bangsa masih rendah, dan cirian negara masih belum maju.

IBK: 4 Mac 2017

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s