Indeks Kelestarian Negara Maju

6015a1c4-9eb0-4fe1-8941-adb70ebc5d3c

1. Bengkel Bandaraya Kental Bencana yang baru selesai dianjurkan di Kuala Lumpur menyaksikan sambutan yang meriah oleh pelbagai pihak berkepentingan. Program yang disokong oleh Dana Newton – Ungku Omar dan diurus oleh SEADPRI-UKM.

2. Ia berhasrat merapatkan lompang antara sains dan dasar berkaitan pendekatan mengurangkan risiko bencana alam di sekitaran bandar. Fokus diberikan kepada isu banjir kilat, tanah runtuh, lubang benam dan pencemaran udara.

3. Ketika mendengar pembentangan oleh beberapa pakar dari agensi kerajaan, perunding dan universiti mengenai isu bencana alam bandar, khususnya Bandaraya Kuala Lumpur, saya dapat merasakan wujud lompang yang jelas antara pengetahuan sains mengenai bencana dan terjemahannya kepada dasar dan perlaksanaan.

4. Dalam kes tanah runtuh umpamanya, banyak maklumat telah terkumpul mengenai jenis tanah runtuh, impak, faktor pencetus dan faktor penyebab bencana. Begitupun, respons polisi masih terbatas dan tidak selari dengan pengetahuan yang telah terkumpul.

5. Kesukaran menterjemah pengetahuan sains kepada dasar dan garis panduan perlaksanaan berpunca daripada kurang kerjasama antara para saintis dengan pembuat dan pelaksana dasar.

6. Tambahan pula, kebanyakan para saintis tidak mempunyai kemahiran untuk mengolah dapatan sains menjadi dokumen pengaruh dasar. Malaysia juga tidak mempunyai kelompok penganalisis dasar yang mampu menterjemah dapatan sains diterbitkan dalam jurnal menjadi kenyataan dasar atau polisi.

7. Mengambil contoh isu tanah runtuh, wujud perbezaan besar antara tanah runtuh berskala besar (cerun tabii), tanah runtuh pada cerun kejuruteraan (cerun buatan), dan tanah runtuh cetusan hujan.

8. Penyelesaian jangka pendek dan panjang untuk ketiga-tiga fenomena tanah runtuh ini memerlukan dasar, strategi dan pelan tindakan pengurangan risiko bencana yang berbeza. Di kawasan bandar, para saintis maklum kebanyakan tanah runtuh berkaitan dengan cerun buatan manusia akibat kelemahan rekabentuk atau pembinaan.

9. Saya tertarik membincangkan isu kekentalan daripada perspektif indeks kelestarian negara maju. Pada masa ini takrifan negara maju dikaitkan dengan pendapatan kasar negara atau GDP.

10. Pada masa ini GDP per kapita rakyat Malaysia telah melepasi USD 25,000 dan boleh dikelompokkan sebagai negara maju. Bagaimana pula dengan kelestarian sosial dan alam sekitar? Di mana agaknya kedudukan kita?

11. Dalam konteks kelestarian alam sekitar, saya mengambil beberapa contoh aktiviti pembangunan dan impaknya terhadap alam sekitar yang mudah difahami oleh masyarakat umum.

12. Sebagai contoh, analisis terhadap kejadian tanah runtuh sejak lima tahun terakhir mendapati majoriti kegagalan cerun melibatkan cerun potongan dan tambakan atau cerun kejuruteraan.

13. Sementara di negara maju, kebanyakan isu tanah runtuh berkait rapat dengan ketakstabilan cerun tabii. Oleh itu, kadar tanah runtuh pada cerun buatan berbanding dengan cerun tabii boleh dijadikan asas indeks negara maju daripada perspektif kelestarian alam sekitar.

14. Contoh lain, aktiviti pembangunan di kawasan lembangan kurang terkawal menyebabkan sungai mengalami perlodakan dan pencemaran. Kebanyakan sungai utama di Malaysia telah bertukar warna menjadi ‘teh susu’ dan indeks kualiti air merosot.

15. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika merasmikan Seminar Keselamatan Sumber Air 2016 menyatakan ‘kualiti air sungai di Malaysia sangat membimbangkan dengan 229 daripada 473 sungai di seluruh negara didapati tercemar’. Dalam konteks ini, kadar sungai bersih berbanding sungai telah tercemar sesuai dijadikan indeks negara maju.

16. Satu lagi amalan buruk dalam pembangunan hartanah ialah perataan bukit dan pemotongan cerun untuk pembangunan. Mungkin ini kaedah termurah, tetapi impak alam sekitarnya paling maksimum. Kawasan perataan, kadangkala tertinggal lama, mengalami hakisan teruk menyebabkan perlodakan dan banjir kilat.

17. Di negara maju mereka membangun mengikuti topografi tanpa memotong cerun. Satu masa dahulu, di kepulauan Langkawi amalan pembangunan mengikut topografi diraikan, kini perataan bukit mulai berleluasa. Pastinya, kadar pembangunan mengikut topografi berbanding memotong bukit boleh juga dijadikan indeks negara maju.

18. Ramai ahli politik dan peniaga menyuarakan pandangan, kita perlu meningkatkan ekonomi terlebih dahulu, sebelum mampu memulihara warisan dan alam sekitar.

19. Saya sering menjawab, sementara menunggu ekonomi melonjak, apa lagi yang tinggal untuk dipulihara! Sebetulnya, kedua-dua urusan penting ini boleh bergerak seiring dan seirama.

20. Kita perlu mengenalpasti warisan alam dan perkhidmatan alam sekitar untuk dipulihara sambil menjana ekonomi ke arah negara maju. Pemimpin perlu mempunyai kecekalan politik, sementara peniaga pula perlu berjiwa besar untuk menghormati warisan alam.

21. Hasrat bengkel Bandaraya Kental Bencana mungkin mimpi indah semua warga bandar. Lebih penting lagi ialah usaha mengubah sikap dan wawasan untuk bersama memperkasa kelestarian alam sekitar.

22. Indeks negara maju tidak boleh diasaskan kepada pencapaian ekonomi semata-mata, tetapi perlu menggembleng usaha menghormati warisan dan perkhidmatan alam sekitar untuk kesejahteraan masyarakat.
IBK: 16 Mac 2017

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s