Cabaran Membangun Geopark Kebangsaan

IMG_5677
Padang Tok Sheikh, Jerai Aspiring Geopark

 

1. Ramai masih keliru dan percaya pembangunan geopark ialah satu usaha pemuliharaan tabii, khususnya untuk memuliharaan warisan geologi. Ini sama sekali menyimpang daripada hasrat sebenar wawasan geopark.

2. Memang benar, geopark perlu memiliki geotapak bernilai kebangsaan, tetapi ia cuma prasyarat memilih kawasan. Geopark ialah model baharu pengurusan kawasan istimewa berasaskan pembangunan lestari wilayah.

3. Tumpuan kepada bagaimana untuk memperkasa ekonomi komuniti setempat melalui pengintegrasian pemuliharaan warisan kebangsaan, pendidikan awam dan pelancongan berteraskan ilmu.

4. Wawasan geopark berkembang di Eropah sejak tahun 2000 apabila empat buah geopark di Greece, Perancis, Jerman dan Spanyol bergabung membentuk Jaringan Geopark Eropah.

5. Pada tahun 2004, UNESCO membantu 17 geopark di Eropah dan China membentuk kumpulan pertama Geopark Global, dan saya bersyukur diundang menjadi ahli Biro Pengasas Jaringan Geopark Global (GGN).

6. Walaupun, perjuangan membentuk geopark di Malaysia bermula sejak tahun 2000, kita hanya berjaya mengangkat Langkawi menjadi geopark pada tahun 2006, dan diisytihar sebagai geopark global pada tahun 2007. Begitupun, selepas satu dekad, kita masih belum berjaya mewujudkan geopark kedua negara.

7. Tahun 2015 ialah tahun paling berjaya bagi wawasan geopark. Di peringkat global, Perhimpunan Agung UNESCO telah memperakui International Geoscience and Geoparks Program (IGGP) dan sekaligus mengangkat 120 global geopark di seluruh dunia menjadi UNESCO Global Geoparks.

8. Di tanah air, kita berjaya mewujudkan Jawatankuasa Geopark Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan diangotai oleh agensi Kerajaan berkepentingan dan wakil UPE negeri. Inilah badan yang bakal meluluskan penubuhan geopark kebangsaan dan seterusnya mengsyorkan di angkat menjadi geopark global.

9. Bagi memastikan Jawatankuasa Geopark Kebangsaan mampu menjalankan fungsi secara berkesan, saya telah diminta untuk mempengerusikan Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsan, iaitu sebuah badan teknikal terdiri daripada pakar geopark yang ditugaskan untuk membuat pelbagai persedian pencalonan geopark kebangsaan.

10. Ini meliputi mengenalpasti kawasan, promosi dan perundingan dengan kerajaan negeri, memberikan khidmat teknikal, membantu dalam penyediaan dosier dan penilaian untuk pencalonan.

11. Sejak tahun 2015, kami telah berjaya mengenalpasti dan memulakan pembangunan lima kawasan iaitu Lembah Kinta, Gunung Jerai, Delta Serawak, Gunung Kinabalu dan Tasik Kenyir sebagai geopark kebangsaan.

12. Kawasan ini dipilih kerana ia memiliki tapak warisan geologi bernilai kebangsaan/ antarabangsa, mempunyai komuniti setempat yang menghargai warisan tabii dan sesuai dibangunkan sebagai destinasi geopelancongan terkemuka, khususnya daripada perspektif pelancongan domestik.

13. Lembah Kinta terkenal satu ketika dahulu, sebagai pusat perlombongan bijih timah terbesar di dunia. Bandaraya Ipoh dan pekan di sekitarnya muncul dan berkembang disebabkan industri perlombongan ini.

14. Apabila harga timah merundum, banyak lombong timah terpaksa ditutup dan penduduk Lembah Kinta terpaksa mencari sumber ekonomi baharu. Landskap batu kapur kars, identiti (ikon) bandar Ipoh, juga bernilai warisan kebangsaan menjadi sasaran aktiviti pengkuarian untuk bahan binaan, agregat dan industri.

15. Hari ini, kerajaan negeri Perak sedar landskap kars perlu dipulihara dan boleh menjadi daya tarikan utama pelancong ke Lembah Kinta. Mereka memilih model geopark untuk menjayakan wawasan ini.

16. Pembangunan Jerai Geopark bermula awal tahun 2016 dan kini telah hampir bersedia menjadi geopark kebangsaan. Sejarah evolusi Gunung Jerai dan sejarah ketamadunan Kadah Tua menarik dan amat luar biasa, dan perlu dihayati dan ceritakan kepada para pelancong.

17. Batuan yang membentuk Pencak Jerai dan Puncak Machinchang di Langkawi seusia sekitar 550 juta tahun lampau iaitu batuan tertua di Malaysia. Begitu juga dengan jumpaan arkeologi Kedah Tua bermula 550 sebelum Masihi mewakili ketamadunan terawal di rantau ini.

18. Inilah keistimewaan yang terdapat di Gunung Jerai meliputi Lembah Merbuk yang perlu dihargai dan dibangunkan sebagai produk geopelancongan.

19. Calon Geopark Delta Sarawak, Geopark Kinabalu dan Geopark Kenyir masih diperbagai peringkat pembangunan. Masing-masing dipelopori oleh pasukan yang terdiri daripada agensi daerah, Jabatan Mineral dan Geosains, Negeri dan pakar dari universiti.

20. Walaupun usaha membangun geotapak dan dokumentasi untuk penilaian hampir selesai, isu governans atau kurang kefahaman faedahnya kepada masyarakat masih belum berjaya diatasi. Berikut ialah persepsi awam yang masih perlu diperbaiki:

20a. geopark bukan kawasan pemuliharaan, ia menggalakkan pembangunan terimbang antara pemuliharan warisan, pendidikan awam dan pembangunan produk pelancongan;

20b. geopark bukan hak kerajaan Pusat, ia hasrat ‘bawah-atas’ digerakkan oleh pemimpin daerah dan di sokong oleh kerajaan negeri;

20c. geopark memberikan keutamaan pembangunan sosio-ekonomi komuniti setempat secara meluas dan lestari; dan

20d. sambil menyokong pelancongan sedia ada, geopark memperkenalkan produk baharu (geopelancongan) yang boleh memberikan nilai tambah dan keupayaan bersaing.

21. Walaupun Malaysia menjadi peneraju gagasan geopark di rantau Asia Pasifik, negara mulai ditinggalkan oleh rakan yang pernah kita bantu seperti Jepun, Korea, Indonesia dan Vietnam.

22. Saya menyeru kepada kepimpinan kerajaan negeri, berilah perhatian proaktif kepada agenda geopark kebangsaan, pengerak ekonomi komuniti setempat dan wawasan pembangunan lestari wilayah.

IBK: 26 Mac 2017

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s