Inovasi Sosial Perkasa Komuniti

FullSizeRender
Bersama Komuniti Tobilung, Kota Marudu, Sabah

1. Sempena program Ilmuwan Prihatin Rakyat, Majlis Profesor Negara Menjelajah Sabah, kami berpeluang mengatur majlis Dialog Cadangan Kinabalu Geopark bersama pihak berkepentingan di sekitar Taman Kinabalu.

2. Dialog pertama diadakan bersama ketua agensi berkepentingan, sementara dialog kedua pula berlangsung bersama pemimpin komuniti dan pengusaha pelancongan. Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama Taman-Taman Sabah dan Jabatan Mineral dan Geosains, Sabah.

3. Idea mewujudkan Kinabalu Geopark tercetus apabila komuniti di pinggiran Taman Kinabalu, Tapak Warisan Dunia beriltizam untuk bersama terlibat dan diberi peluang meningkatkan sosio-ekonomi melalui pelancongan.

4. Walaupun jumlah pelancong terus meningkat, kebanyakan hanya berminat untuk menikmati keindahan Tapak Warisan Dunia atau mendaki Gunung Kinabalu. Komuniti pinggiran gunung, terutamanya di daerah Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu masih kurang mendapat limpahan nikmatnya.

5. Taman-Taman Sabah percaya kerjasama dengan komuniti di sekitar Taman Kinabalu boleh menghasilkan situasi menang-menang, dan pada tahun 2015 memulakan inisiatif Kinabalu Geopark .

6. Pada masa yang sama, Jawatankuasa Geopark Kebangsaan diwujudkan bagi menyediakan dasar, garis panduan dan pembangunan geopark di seluruh negara. Kinabalu telah dikenalpasti sebagai calon geopark kebangsaan yang boleh diisytihar menjelang 2018.

7. Idea geopark berputik pada tahun 1996, apabila penyelidik Kumpulan Warisan Geologi, UKM mengkaji potensi sumber geologi untuk pembangunan pelancongan. Ketika itu konsep warisan tabii lazimnya dikaitkan dengan kepelbagaian biologi, sementara sumber geologi hanya dikenali sebagai bahan binaan, industri dan komoditi.

8. Konsep warisan geologi diperkenalkan untuk memulihara tapak atau landskap yang bernilai saintifik, estetik, rekreasi dan budaya. Landskap berpandangan indah dan tapak geologi unik ternyata sesuai juga dibangunkan sebagai produk pelancongan.

9. Penyelidikan geowarisan di Langkawi menghasilkan penemuan lebih 90 geotapak yang perlu dipulihara dan boleh dibangunkan untuk produk pelancongan. Kebanyakannya berada di dalam Hutan Simpan Kekal.

10. Kerjasama dengan Jabatan Perhutanan membuahkan persetujuan tiga kawasan hutan di jenama semula sebagai Geoforest Park iaitu kawasan pemuliharaan alam terintegrasi menggabungkan warisan hutan (biologi) dan geologi (landskap).

11. Berikutnya, kami bekerja sama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk membangun produk pelancongan baharu dikenali geopelancongan atau pelancongan berasas ilmu.

12. Kami mengambil masa lebih lima tahun bagi mempengaruhi kepimpinan LADA untuk menerima pakai produk geopelancongan melalui konsep geopark. Akhirnya kerajaan Kedah bersetuju mengisytihar Langkawi sebagai geopark, dan pada tahun 2007 berjaya mendapat pengikhtirafan antarabangsa apabila diterima sebagai ahli jaringan Global Geopark.

13. Pada masa yang sama, kami bersama LADA mendekati komuniti tempatan untuk bersama dalam wawasan geopark. Beberapa siri ceramah, taklimat dan dialog diadakan bagi meningkatkan kefahaman mereka mengenai geopark dan manfaatnya.

14. Bersama Koperasi Nelayan Sungai Kilim, kami memperkenalkan produk geopelancongan iaitu trail menggunakan bot di mana pelancong didedahkan misteri keindahan Kilim Geoforest Park.

15. Sejak tahun 2007, produk ini berjaya menarik lebih sepuluh kali ganda, daripada 50,000 tahun 2006 kepada lebih 500,000 jumlah pelancong tahun 2016, dan ini pastinya telah meningkatkan sosio-ekonomi komuniti di Kampung Kilim.

16. Bermula daripada idea ‘penggunaan sumber geologi secara tanpa musnah’, penyelidikan membangun geowarisan dan geopelancongan digerakkan, kerjasama dengan Jabatan Perhutanan (pengurus sumber) dan LADA (pemaju pelancongan) diaktifkan.

17. Kami mula mendekati komuniti (penduduk tempatan) bagi meningkatkan keupayaan mereka, dan akhirnya selepas lebih 10 tahun, idea geopark berjaya diterjemahkan menjadi kenyataan.

18. Inilah inovasi sosial apabila pengetahuan baharu (sains) berupaya diterjemah menjadi produk (tindakan). Inovasi sosial mengambil masa, memerlukan usaha dan iltizam mendampingi komuniti dan pihak berkepentingan, dan keupayaan menterjemah pengetahuan kepada wawasan pembangunan masyarakat.

19. Di Gunung Kinabalu, proses inovasi sosial juga bermula sekitar tahun 1996, apabila kajian mengenai geowarisan Kinabalu dijalankan oleh beberapa panyelidik UKM dan UMS. Hanya pada tahun 2015, Taman-Taman Sabah memulakan projek geopark secara lebih bersepadu.

20. Kerjasama antara Taman-Taman Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains, Sabah, dan pelbagai pihak berkepentingan telah menyediakan asas pembangunan geopark.

21. Dialog Cadangan Kinabalu Geopark, Majlis Profesor Negara bersama pihak berkepentingan hanya satu daripada rantaian pelbagai aktiviti untuk bergerak ke arah merealisasikan inovasi sosial.

22. Cara terbaik untuk memperkasa komuniti ialah melalui inovasi sosial. Ia harus bermula dengan pembangunan idea dan wawasan baharu. Hasil penyelidikan perlu diterjemah menjadi produk, proses dan dasar yang diperlukan oleh komuniti.

23. Berikutnya, kerjasama pintar antara penyelidik, pembuat dan pelaksana dasar diperkukuh, sebelum faedahnya disalurkan kepada masyarakat. Kami bersyukur, selepas memulakan pengembaraan lebih 20 tahun lalu, kini geopark diterima sebagai wawasan inovasi sosial di peringkat negara dan global.

IBK 14 April 2017

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s