Penyelidikan Translasi Pemacu Inovasi Sosial

IMG_6477
YTM Tunku Puteri Intan Safinaz mendengar taklimat mengenai Langkawi UNESCO Global Geopark

1. Tahun 2017 ialah tahun merekabentuk semula pengajian tinggi supaya lebih berkesan dalam penyampaiannya. Saya yakin ini bukan fenomena menganti yang lama dan dengan yang baru.

2. Merekabentuk semula bermaksud memperbaiki kelemahan sedia ada dan memberikan fokus kepada keutamaan memasyarakatkan pengajian tinggi. Penyelidikan, pengajaran dan perkhidmatan masih tetap menjadi fungsi asas universiti untuk bersama dalam pembangunan negara.

3. Kementarian Pengajian Tinggi (KPT) memperkenalkan konsep Penyelidikan Translasi iaitu hasil penyelidikan yang boleh dimanfaatkan oleh atau memberi impak kepada masyarakat. Dalam konteks ini, masyarakat membawa maksud agensi kerajaan, usahawan dan peniaga, serta komuniti tempatan.

4. Usaha penyelidikan membangun teknologi untuk industri telah bermula sejak 1996, ketika kerajaan memperkenalkan program Intensification of Research in Priority Areas (IRPA) dan ia masih diteruskan dalam pelbagai nama lain hingga ke saat ini.

5. Pada prinsipnya, maksud penyelidikan yang lazim diamalkan di universiti ialah penyelidikan fundamental iaitu penyelidikan mencari kebenaran, memperluas sampul ilmu, dan meneroka bidang ilmu baharu.

6. Inilah sumber inovasi ilmu (penerbitan ilmiah) yang bakal diterjemahkan kepada produk berteknologi tinggi (inovasi teknologi) dan pengaruh dasar serta perlaksanaannya untuk kesejahteraan masyarakat (inovasi sosial).

7. Ilmu baharu memperkukuhkan kesarjanaan dan menjadikan ahli akademik seorang pakar rujuk.

8. Penyelidikan ialah satu kitaran penerokaan yang mempunyai pelbagai objektif dan ramai pemain. Satu ketika dahulu ia lebih dikenali sebagai R&D (Penyelidikan dan Pembangunan) dan berkembang menjadi R&D&C (di tambah dengan Pengkomersialan).

9. Apapun, ilmu baharu lazimnya dijana oleh bijak pandai di menara gading, sementara penyelidikan gunaan dan pembangunan produk banyak berlaku di sekitaran institusi penyelidikan kerajaan dan industri.

10. Saya tertarik dengan konsep penyelidikan translasi yang diperkenalkan oleh KPT untuk mengubah set minda akademik supaya berfikiran, penyelidikan bukan sekadar untuk mencapai objektif, tetapi lebih penting lagi, hasilnya sampai ke sasaran.

11. Satu ketika dahulu, kita menggunakan istilah perkhidmatan akademik, peranan ketiga universiti dan pemindahan ilmu yang membawa maksud hampir sama dengan penyelidikan translasi.

12. Kenyataannya, proses ini sukar mencapai kejayaan kerana tradisi dan sekitaran universiti memberikan perhatian tinggi terhadap inovasi ilmu. Sampai sekarang pun, pendekatan penilaian kewibawaan akademik masih tertumpu kepada komponen penerbitan ilmiah berimpak.

13. Universiti di Malaysia telah diberikan pendedahan yang meluas kepada inovasi teknologi. Dasar kerajaan menekankan ‘pembangunan teknologi untuk menjana kekayaan negara’ telah memberikan ruang dan peluang besar kepada universiti menjadi sebahagian daripada institusi penyelidikan industri.

14. Dana penyelidikan terbesar disalurkan kepada penyelidikan untuk membangunkan produk berasas teknologi, dan ahli akademik serta pelajar digalak untuk terus berjaring dengan industri. Kita telah dapat merasai impak usaha gigih ini.

15. Saya mentafsirkan tujuan memperkasa Penyelidikan Translasi ialah untuk menggalakkan ahli akademik berdamping dengan masyarakat awam dan komuniti setempat. Satu inisiatif murni bertujuan untuk meningkatkan sosio-ekonomi komuniti tempatan dan kesejahteraan masyarakat.

16. Penyelidikan Translasi ialah proses menterjemah sains (ilmu) kepada tindakan (faedah yang boleh dikecapi oleh masyarakat, kerajaan dan usahawan dalam satu rantaian nilai). Inilah proses yang di kenali sebagai inovasi sosial – ilmu yang dapat mengubah pemikiran, kelakuan dan tindakan awam sehingga membolehkan masyarakat lebih berupaya dan bahagia.

17. Satu contoh klasik inovasi sosial ialah bagaimana Prof DiRaja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, mantan Naib Canselor Universiti Malaya menggunakan ilmu ekonomi dan pengurusan untuk memperkenalkan idea ‘kooperasi kepada konsep Tabung Haji’.

18. Pendekatan menabung secara berkumpulan untuk satu tujuan murni mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan menabung secara persendirian. Kini jutaan umat islam di negara kita dapat menunaikan ibadah haji sambil menikmati segala kemudahan yang disediakan oleh institusi inovasi sosial ini.

19. Ketika menjalankan penyelidikan mengenai geowarisan, geopemuliharaan dan geopelancongan pada tahun 1996, kami tidak menduga ia dapat mencetus inovasi sosial.

20. Hanya pada tahun 2000, apabila konsep Geopark sebagai alat pembangunan lestari wilayah diperkenalkan, dan kami berpeluang dan berupaya menjalankan penyelidikan translasi menjadikan Langkawi perintis UNESCO Global Geopark pertama di Asia Tenggara.

21. Hari ini wawasan geopark sebagai suatu inovasi sosial telah diikhtiraf dunia apabila 120 geopark global diperkenalkan di 33 negara sebagai alat pembangunan sosio-ekonomi komuniti di wilayah terpinggir.

22. Syabas kepada kepimpinan KPT mengarusperdanakan Penyelidikan Translasi bagi memacu inovasi sosial. Penyelidikan Translasi mendorong anjakan paradigma dari penyelidikan fundamental dan gunaan, kepada pemindahan ilmu bagi faedah masyarakat awam.

23. Ia melengkapkan satu kitaran penyelidikan yang seharusnya menghasilkan inovasi ilmu, inovasi teknologi dan inovasi sosial untuk memacu pembangunan negara.

IBK 26 Mei 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s