Pembiayaan Pendidikan Tinggi Negara

_DSC1193
Lombok, Indonesia. Anak muda tidak harus dibebankan dengan hutang sebaik selesai belajar

 

1. Dialog Meja Bulat Majlis Profesor Negara (MPN) mengenai Kelestarian Pembiayaan Pendidikan Tinggi dianjurkan selepas lebih 20 tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) diwujudkan. Kita sedia maklum PTPTN telah memberi sumbangan besar dan murni kepada kesinambungan peranan kerajaan membantu golongan muda mencapai impian ke menara gading.

2. Keunggulan PTPTN adalah seperti diungkapkan dalam ucapan perasmian Prof Raduan Che Rose, CEO MPN, ‘bagaimana agaknya lebih 500 IPTS dapat berfungsi dan meneruskan perniagaannya sehingga kini tanpa PTPTN?’

3. Dialog dimulakan dengan pembentangan maklumat dan pencapaian terkini oleh En Abdul Ghafar, Pengurus Besar Kanan, PTPTN. Sejak penubuhannya, PTPTN telah memberikan pinjaman berjumlah lebih RM 48 bilion kepada 2.6 juta mahasiswa melibatkan UA dan IPTS.

4. Syukur kehadrat Ilahi, dengan pelbagai usaha proaktif, PTPTN berjaya menggalakan pembayaran balik kepada lebih 1.9 juta peminjam dan usaha untuk mengesan serta memujuk lebih 600,000 peminjam yang tidak bertanggungjawab menunaikan janjinya masih diteruskan.

5. Ada masyarakat awam mempunyai persepsi, PTPTN bersikap kejam apabila mengambil tindakan kepada segelintir yang enggan membayar balik, begitupun ahli MPN merasakan, PTPTN masih sangat berlembut ibarat sebuah badan yang menunaikan amal jariah.

6. PTPTN sudah memiliki strategi dan tindakan cemerlang untuk mendapatkan kembali pinjaman lepas. Kini institusi ini berjaya memunggut lebih RM 3.4 bilion setahun, dan dengan keperluan kewangan tahunan dianggarkan RM 4.0 bilion, PTPTN hanya perlu meminjam pada jumlah yang lebih kecil.

7. Perlu diingat, pinjaman sebelum ini adalah sangat besar dan kerajaan masih perlu membantu membayar perkhidmatan pinjaman setiap tahun. Bagi mengharungi cabaran abad ke-21, isu penbiayaan pendidikan pendidikan tinggi perlu ditangani secara lestari.

8. Para profesor berupaya mencadangkan beberapa langkah drastik bertujuan mengubah set minda kerajaan dan masyarakat, bagi membolehkan PTPTN berganjak daripada pemikiran ‘tabung pembiayaan’ kepada ‘institusi kewangan’.

9. Kami yakin, PTPTN sudah bersedia untuk mengharungi transformasi sosial bagi membolehkan ia berdayasaing tanpa mengabaikan objektif utama penubuhannya. Masyarakat pula perlu mengakui, PTPTN bukan lagi sebuah jentera kebajikan kerajaan yang sentiasa bersedia menyediakan dana pendidikan tinggi untuk semua secara tidak lestari.

10. Kita perlu sedar, pendidikan tinggi melampaui tanggungjawab kerajaan bagi menyediakan ‘pendidikan untuk semua’ seperti pendidikan sekolah rendah dan menengah. Pendidikan tinggi mempunyai kepentingan awam dan kepentingan persendirian.

11. Peratusan masyarakat yang berpendidikan tinggi membolehkan negara memiliki modal insan berilmu dan berkemahiran tinggi, seterusnya meletakkan bangsa Malaysia berdayasaing untuk memacu wawasan negara maju.

12. Begitupun, dengan memperolehi pendidikan tinggi juga, individu dan keluarga berupaya meningkatkan taraf hidup dan meraih peluang menjadi kaya. Lihat sahaja sebahagian besar masyarakat yang dahulunya anak orang kampung, kini telah penjadi peniaga terkenal dan pegawai berjawatan tinggi.

13. Pendidikan tinggi berupaya membebaskan individu daripada belenggu kemiskinan dan menghasilkan kelompok masyarakat berada. Oleh itu, pendidikan tinggi ‘tidak boleh percuma’, tetapi perlu ditempatkan pada haknya, dan setiap warga bertanggungjawab untuk membayar kos pendidikan tinggi.

14. Sementara kerajaan boleh terus membantu masyarakat miskin dan tidak berupaya untuk menghantar anaknya ke institusi pengajian tinggi melalui mekanisma biasiswa, dermasiswa dan pinjaman tanpa faedah, warga biasa yang berkemampuan perlu meminjam mengikut sistem kewangan lestari.

15. PTPTN boleh diangkat menjadi institusi kewangan pengajian tinggi terunggul seperti Tabung Haji dalam hal-ehwal pengurusan ibadah haji. Inilah wawasan baharu yang perlu dikembangkan untuk masa hadapan.

16. Pada peringkat awal, PTPTN perlu beranjak daripada institusi pinjaman kepada pusat tabungan. Usaha promosi perlu diperhebatkan untuk mengubah set minda warga Malaysia menabung untuk pendidikan tinggi ketika anak-anak masih kecil.

17. Pelbagai skim tabungan dan keistimewaannya boleh diperkenalkan untuk memudahkan setiap warga menabung. Saya masih ingat, lebih 30 tahun lampau, saya membeli insuran pendidikan untuk setiap anak, dan apabila mereka bersedia untuk ke universiti, dana juga telah tersedia untuk keperluan mereka.

18. Prinsip memberi pendidikan iaitu tanggungjawab ibu-bapa (penjaga) perlu terus dipertahankan. Adalah kurang adil bagi penjaga membebankan anaknya dengan bayaran balik pinjaman sebaik sahaja memperolehi ijazah.

19. Pada zaman awal pekerjaan, anak muda perlu merancang keperluan kewangan untuk pelbagai kemudahan asas. Hanya selepas membina asas kehidupan yang kukuh, mereka mampu mempelbagaikan sumber kewangan untuk kesejahteraaan kehidupan.

20. Begitupun, bagi anak muda yang bersedia lebih awal, pastinya akan menjadi prioriti mereka untuk membantu penjaga membayai balik hutang pendidikan.

21. Dialog Meja Bulat MPU berhasrat membantu PTPTN dan kerajaan meneliti semula dasar kewangan pendidikan tinggi semasa, dan membina langkah baharu yang lebih kukuh dan berwawasan mengenai kelestarian pembiayaan pendidikan tinggi negara. Masa untuk memberi suapan kepada setiap warga sudah berakhir.

22. Sementara bantuan kepada pelajar pintar, keluarga kurang berupaya dan komuniti B40 masih diperlukan untuk faedah awam, langkah yang lebih tepat ialah dengan memerdekakan PTPTN menjadi institusi kewangan pengajian tinggi terwibawa negara.
IBK: 18 Mei 2017

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s