UNESCO Global Geopark

_DSC0328
Fossil: Hidupan purba yang menceritakan sejarah Bumi

 

1. Pada 5 Mei 2017, Lembaga Eksekutif UNESCO meluluskan lapan UNESCO Global Geopark baharu menjadikan semuanya 127 geoparks dari 35 negara. Pengisytiharan ini melibatkan geopark mewakili negara China, Mexico, Korea, Iran, Spanyol dan Prancis.

2. UNESCO Global Geopark ialah inisiatif terbaru bagi meraikan warisan geologi dalam konteks wawasan pembangunan lestari wilayah. Warisan geologi adalah sumber yang masih belum dimanfaatkan untuk membina tamadun dan menyerlah kesejahteraan sosial.

3. Sejak tahun 2007, Malaysia menjadi peneraju pembangunan geopark di Asia Pasifik. Dalam Persidangan Pertama Geopark Asia Pasifik yang dianjurkan oleh Langkawi UNESCO Global Geopark, wakil negara telah dilantik untuk menerajui Jaringan Geopark Asia Pasifik, bertujuan untuk membantu membangun geowarisan dan geopark di negara rantau ini.

4. Saat ini, China mempunyai 35 geopark global, diikuti oleh Jepun 8, Indonesia 2, Korea 2, dan Malaysia, Vietnam serta Iran masing-masing satu. Malaysia ketinggalan dari negara yang pernah mengikuti jejak langkah kita.

5. Pembangunan geopark di negara China sangat luar dugaan. Pada tahun 2000, negaranya membuat ketetapan untuk menggerakkan inisiatif wawasan geopark sebagai alat pembangunan wilayah terpencil (luar bandar).

6. Kementerian Tanah dan Sumber bersama Akademi Geosains China telah diberikan mandat untuk menjayakan wawasan ini. Kerajaan Persekutuan bertindak sebagai penyelaras dan menyediakan dana pembangunan prasarana, sementara agensi tempatan melaksanakan inisiatif ini. Hampir 300 geopark kebangsaan telah dibangunkan di negaranya.

7. Di Jepun keadaannya berbeza, kerajaan Persekutuannya kurang memberikan perhatian terhadap pembangunan geopark. Begitupun, kerajaan tempatan (Prefecture) dan kepimpinannya mempunyai minat yang tinggi untuk membangun geopark.

8. Melalui usaha Jawatankuasa Jaringan Geopark Jepun, sebuah badan NGO, mereka membantu dan mengerakkan kerajaan tempatan yang telah bersedia membangunkan geopark. Sejak 2009, Jepun telah berjaya memiliki 8 UNESCO Global Geopark dan lebih 35 Geopark Kebangsaan.

9. Di Malaysia pula, walaupun kita telah memulakan inisiatif geopark sejak 2000, hasilnya sangat terbatas. Kita bernasib baik, pada tahun 2006, Pengurus Besar, Lembaga Pembangunan Langkawi, Dato Kamarulzaman Abdul Ghani ketika itu percaya bahawa geopark ialah strategi lautan biru yang mampu membawa Langkawi menjadi destinasi pelancongan unik dan unggul dunia.

10. Beliau menggerakkan melalui bantuan Kumpulan Warisan Geologi, UKM; Kementerian Kewangan Malaysia; dan Kerajaan Negeri Kedah. Atas kegigihan beliau, Langkawi berjaya di angkat menjadi geopark kebangsaan, dan pada tahun 2007 diisytihar sebagai UNESCO Global Geopark.

11. Mengapa wawasan geopark digemari di China, Jepun dan kebanyakan negara di Europah? Sebab utama ialah geopark boleh dijadikan alat pengurusan penting untuk meraikan penyelesaian pembangunan lestari.

12. Walaupun warga dunia telah lama beriltizam untuk menyelamatkan Bumi melalui wawasan pembangunan lestari, kenyataannya belum ada mekanisme bersepadu di peringkat tempatan yang berupaya menjayakan hasrat ini.

13. Geopark diperkenalkan berasaskan satu wilayah terpencil dengan memperkasa komuniti tempatan membangun sumber warisan bumi secara lestari sambil meningkatkan sosio-ekonomi dan kesejahteraan sosial.

14. Kebanyakan negara di Asia Pasifik menghadapi pelbagai cabaran untuk membangun geopark kerana ia melibatkan proses ‘bawah ke atas’, sementara perancangan dan pembangunan arus perdana umumnya bersifat ‘atas ke bawah’.

15. Dalam konteks ini, negara seperti Malaysia umpamanya, mempunyai kerajaan yang berkeupayaan tinggi di peringkat persekutuan, dan beransur lemah di peringkat negeri dan daerah.

16. Oleh kerana geopark ialah wawasan pembangunan daerah yang didorong oleh komuniti tempatan, kejayaannya banyak bergantung kepada pemimpin tempatan dan pasukannya yang beriltizam tinggi.

17. Malaysia telah memulakan proses pembangunan geopark Kebangsaan secara bersistem sejak tahun 2010. Beberapa kawasan sesuai sebagai geopark telah di kenalpasti, antaranya Delta Serawak, Gunung Kinabalu, Lembah Kinta, Tasik Kenyir dan Gunung Jerai.

18. Walaupun usaha menyediakan maklumat saintifik, khususnya pemetaan dan penilaian geotapak telah berjaya dilaksanakan, cabaran masih berkisar kepada isu governans dan penerimaan pihak berkepentingan tempatan.

19. Semua cadangan geopark ini masih tercari-cari siapakah pemimpin tempatan yang berupaya mengetuai sebuah pasukan pihak berkepentingan bagi menjayakan wawasan ini.

20. Kita telah berganjak setapak ke hadapan pada tahun 2015, apabila Jawatankuasa Geopark Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ditubuhkan.

21. Ahli-ahlinya terdiri daripada pengarah agensi berkepentangan, unit perancangan ekonomi negeri dan pakar geopark. Jawatankuasa Geopark Kebangsaan ini telah diberikan mandat untuk menentukan dasar, halatuju, perancangan strategik, sumber kewangan dan memperaku geopark kebangsaan.

22. Kami berharap tahun 2017 perjuangan geopark bakal membuahkan kejayaan. Dua kawasan iaitu Gunung Jerai dan Lembah Kinta telah bersedia diangkat menjadi geopark kebangsaan. Kini kedua-duanya hanya menunggu untuk mendapat restu kerajaan negeri sebelum melalui proses penilaian.

23. Satu usaha murni pembangunan wilayah bagi kepentingan komuniti setempat masih sukar mencapai kejayaan. Benarlah seperti kata perpatah, kalau tidak pecahkan ruyung, mana dapat sagunya.

IBK: 28 Mei 2017

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s