Makna Negara Maju

IMG_7055
Bersama Prof Kyung Sik Woo membuat lawatan udara di Hantangang Geopark

1. Ketika dijemput memberikan khidmat nasihat kepada geopark kebangsaan Hantangang, Korea Selatan awal bulan ini, saya kagum dengan kemajuan yang telah dicapai oleh masyarakat di sana untuk membangun prasarana dan memajukan negara.

 

2. Saya masih ingat, pada awal tahun 1970-an, Korea setanding dengan kita, malah ketika itu pasukan bola sepak kita mampu mengalahkan mereka. Dalam hati kecil berbisik ‘kini mereka talah jauh meninggalkan kita’.

 

3. Saya terkejut apabila, Prof Kyung Sik Woo, rakan karib yang menemani lawatan ini menyatakan beliau kecewa dengan set minda pemimpin dan masyarakatnya yang masih ketinggalan berbanding Malaysia.

 

4. Beliau pernah melawat ke Langkawi UNESCO Global Geopark dan Tapak Warisan Dunia Mulu untuk berhujah sedemikian. Katanya, ‘di Korea kami hanya ingin bermegah dengan bangunan yang canggih, tetapi pengisian kandungan tidak dipedulikan’.

 

5. Kenyataan beliau membuat saya berfikir, bagi seorang pelancong, pandangan luaran boleh memberikan persepsi pertama cara kita menilai kemajuan sesuatu bangsa dan negara. Saya masih teringat kenyataan mantan Perdana Menteri kita, Tun Abdulah Badawi, ‘kita mempunyai prasarana kelas pertama, tetapi kebanyakan masyarakat bermentaliti kelas ketiga’.

 

6. Dalam budaya kita, ada perpatah yang menyebut, ‘biar papa asal bergaya’. Seperti Malaysia, Korea juga masih lagi bertarung untuk membina tamadun bangsa berasaskan negara maju tulen.

 

7. Saya pernah menyarankan beberapa indeks negara maju berasaskan sikap, etika dan pandangan dunia masyarakan sesebuah negara berbanding dengan kemajuan ekonomi. Umpamanya, lihat sahaja kepada kualiti air sungai, jika semakin kotor semakin mundurlah sesebuah negara itu.

 

8. Mudah untuk negara membina bangunan pencakar langit, tetapi tidak mudah bagi menggembleng seluruh warganya bagi menjaga kebersihan sungai yang mengalir di kawasan pertempatan mereka.

 

9. Beberapa sikap yang masih jelas di dalam masyarakat kita ialah, mencari kekayaan adalah untuk diri dan keluarganya. Bukan urusan saya jika sebahagian besar jiran masih kurang berada, asal keluarga saya kaya.

 

10. Ini adalah sikap mementingkan diri melampaui kepentingan masyarakat dan negara. Ia juga mengambarkan kurang perasaan berbangga dan kecintaan terhadap tanah air dan bangsanya.

 

11. Selain daripada membayar cukai pendapatan, tidak banyak bantuan diberikan kepada aktiviti kemasyarakatan dan keilmuan. Konsep tanggungjawab sosial kurang berkembang, semuanya mengharapkan dana kerajaan.

 

12. Kurang menghormati hak awam adalah kelemahan etika jelas menunjukkan kita masih terperangkap dalam minda kelas tiga. Megapa rasuah masih tidak dapat dibendung?

 

13. Yang memberi juga adalah mereka yang tidak menghormati prinsip kehidupan bermasyarakat. Ramai pagawai yang diberikan kuasa berpendapat, ‘saya sekadar berkongsi keuntungan dengan mereka yang mendapat peluang’.

 

14. Mereka tidak sedar, keuntungan besar individu menggugat keupayaan membangun rakyat terbanyak. Lebih teruk lagi, rasuah adalah perbuatan keji yang menjatuhkan harga diri individu dan merosakkan maruah bangsa yang ditegah oleh Islam.

 

15. Usaha menjayakan wawasan pembangunan lestari ialah apabila komuniti mempunyai kepercayaan ‘berfikiran global, bertindak lokal’. Kita harus mempunyai fikiran Bumi adalah satu-satunya tempat untuk kehidupan sejagat, dan seluruh warga dunia perlu bersatu dan bertanggungjawab untuk menyelamatkannya daripada kemusnahan.

 

16. Begitupun, tindakan yang perlu kita lakukan ialah secara tempatan. Dalam konteks pencemaran sungai umpamanya, jagalah sungai di belakang rumah kita, di dalam negeri kita dan negara kita.

 

17. Jika semua warga dunia bertindakan sedemikian, pencemaran sungai dapat dihindarkan dan keperluan asas air bersih bakal cukup untuk seluruh warga dunia. Inilah apa yang dimaksudkan dengan masyarakat berpandangan dunia.

 

18. Semakin hari, masyarakat begitu mengenali ahli politik dan seniman popular berbanding sasterawan dan ilmuan negara. Bukan kita tidak boleh menghormati ahli politik berwibawa dan seniman berbakat, tetapi ketaksuban melampau sehingga seluruh kehidupan dicurahkan untuk kegilaan ini mengambarkan minda kelas ketiga.

 

19. Masyarakat bertamadun akan memenuhi potensi setiap warga, menghormati kecemerlangan dan menjalankan kehidupan yang seimbang. Mereka lakukan yang terbaik untuk keperluan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Berpegang kepada ilmu yang bermanfaat dan inovasi untuk meningkatkan keupayaan dan keistimewaan bangsanya.

 

20. Banyak indeks bagi menjelaskan kedudukan masyarakat bertamadun atau berminda kelas pertama boleh dihasilkan jika ingin mengukur pencapaian dan kemajuan negara ke arah negara maju.

 

21. Antaranya ialah peratusan sungai tercemar, peratusan penderma kepada institusi pengajian atau kebajikan, nisbah individu yang kaya dan miskin, kadar rasuah, kadar jenayah, kemalangan jalanraya, projek kebajikan yang dilaksanakan secara sukarela, inovasi teknologi watan, peratusan pengguna bahasa kebangsaan dalam komunikasi tempatan, majlis ilmu, pencapaian dalam sukan, dan jumlah sarjana yang bertaraf global.

 

22. Apakah kita sudah boleh berbangga dengan semua ini?

 

23. Seperti kata rakan saya Prof Kyung Sik Woo, Malaysia kelihatan lebih maju berbanding Korea daripada perspektif pembangunan sosial. Pemerhatian saya pula menunjukkan kita telah ditinggalkan oleh mereka dalam perlumbaan ke arah negara maju.

 

24. Apapun, negara maju bukan sekadar pendapatan negara tinggi, tetapi masyarakatnya yang mengamalkan tamadun tinggi.

 

IBK: 30 Jun 2017

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s