Agenda Geopark Kebangsaan

FullSizeRender

1. Malaysia mencipta sejarah apabila pada 5 – 7 Julai 2017 kawasan Jerai dinilai sebagai geopark kebangsaan, dan pada 6 – 8 Julai pula Lembah Kinta melalui proses yang sama.

2. Ketika Langkawi diisytihar sebagai Global Geopark 10 tahun lampau, kita tidak membuat penilaian tempatan kerana tidak mempunyai organisasi formal untuk membangun geopark.

3. Para penyelidikan UKM bersama kepimpinan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersepakat mengerakkan idea geopark sehingga di terima oleh UNESCO sebagai ahli Jaringan Geopark Global.

4. Selepas Langkawi, usaha untuk membangan beberapa geopark baharu seperti Delta Serawak dan Gunung Kinabalu bermula tetapi kurang mendapat sambutan. Antara sebab utama ialah idea geopark masih belum difahami umum dan masih belum menjadi program formal  di peringkat negara.

5. Pada tahun 2013, sekumpulan pakar dan pencinta geowarisan dan geopark, telah membentuk Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan secara ad hoc, dan kemudiannya direstui oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE). Inilah permulaan satu usaha bersistem untuk membangun agenda geopark kebangsaan.

6. Pada tahun 2015, kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Geopark Kebangsaan  iaitu sebuah badan pembuat dasar, merangka strategi dan pengalak pembangunan geopark.

7. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha, NRE dan dianggotai oleh ketua jabatan agensi di peringkat negeri dan persekutuan yang berkepentingan.

8. Dalam mesyuarat pertama beberapa ketetapan telah diputuskan, termasuk menggalakkan pembangunan lima buah geopark menjelang 2020 iaitu Lembah Kinta, Gunung Jerai,  Gunung Kinabalu, Delta Serawak dan Tasik Kenyir.

9. Di peringkat global, wawasan geopark iaitu pembangunan lestari wilayah berasaskan pemuliharaan dan utilisasi warisan alam, khususnya warisan geologi dan landskap telah mendapat sambutan hangat.

10. Di China lebih 300 geopark kebangsaan telah dibangunkan sejak 2002, sementara Jepun pula telah membangunkan 35 geopark dan Indonesia telah membangunkan 10 geopark.

12. Negara kita masih lagi berjuang untuk meyakinkan pemimpin bagi mewujudkan geopark kebangsaan kedua. Banyak lagi isu berkait governans dan kefahaman yang perlu diselesaikan sebelum usaha murni ini menjadi kenyataan.

13. Beberapa isu hubungan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan masih menghantui pembangunan geopark. Kerajaan negeri merasakan geopark ialah agenda Persekutuan dan faedahnya kurang dirasai oleh kerajaan negeri.

14. Persepsi in tercetus kerana agenda geopark di bawa oleh golongan akademik dan agensi Persekutuan untuk membantu wawasan kelestarian dan pembangunan ekonomi daerah.

15. Ini adalah agenda masa depan (abad ke-21) untuk memperkasa komuniti setempat mengunakan sumber warisan alam di daerahnya bagi mengukuhkan kecintaan terhadap keunikan tempatan sambil meningkatkan sosio-ekonomi melalui aktiviti pelancongan berinovatif.

16. Geopark juga memerlukan iltizam untuk menjayakan wawasan ‘pengurusan bersama’ iaitu beberapa agensi pelaksana duduk semeja berbincang dan membuat keputusan bersama bagi kepentingan ramai.

17. Berikutnya, masing-masing boleh melaksanakan bahagian di bawah bidang kuasa sedia ada bagi menjayakan keputusan bersama tersebut.

18. Oleh kerana ini adalah wawasan baharu anjuran geopark, masih ramai ‘little nepoleon’ (pegawai biasa) yang curiga dan takut kuasa mereka tergugat lantas tidak memberikan sokongan untuk menjayakan hasrat murni ini.

19. Geopark bukan agenda ‘atas – bawah’  tetapi wawasan ‘bawah – atas’ (hasrat dan permintaan komuniti setempat). Mereka ingin berdikari, mengurus dan memulihara sumber asli di tempat sendiri, dan memanfaatkan untuk kepentingan ramai. Mereka ingin diperkasa dan dihargai.

20. Di Malaysia, proses ‘bawah – atas’ sukar dilaksanakan kerana tradisi governans bersifat ‘atas – bawah’. Selain pemilihan wakil rakyat melalui pilihan raya, lantikan pemimpin masyarakat yang lain, i.e. penghulu, pegawai daerah dan ketua Majlis Perbandaran, semuanya bersifat ‘atas – bawah’. Semua ini tidak menggalakan agenda pemerkasaan masyarakat melalui agenda geopark.

21. Sebagai seorang ahli Jawatankuasa Promosi dan Pembangunan Jerai Geopark, saya berpeluang mengikuti proses penilaian kawasan Jerai untuk dijadikan geopark kebangsaan. Semasa mengikuti rombongan melawat komuniti setempat di Kampung Aceh, Pasar Bisik, Titi Hayun dan Sungai Batu Pahat, kami dapat merasakan betapa mereka berbangga dengan warisan alamnya.

22. Mereka mengharapkan agenda geopark menjadi kenyataan dan dapat mengubah masa depan mereka. Mereka telah bersedia memikul tanggungjawab mengangkat martabat daerahnya dan menjadi penyambut tetamu yang cemerlang.

23. Puncak Jerai terbentuk daripada batuan berusia lebih 500 juta tahun lampau menyimpan sejarah bumi Malaysia serta membentuk landskap tabii terindah lagi mempersonakan.

24. Sungai Merbuk menghasilkan ekosistem bakau yang meluas dengan kepelbagaian biologi tanah bencah luar biasa.

25. Sementara sekitaran Gunung Jerai menjadi tapak arkeologi, termasuk rekod pemerentahan Kedah Tua Sungai Batu menceritakan tamadun Asia Tenggara bermula lebih 500 tahun Sebelum Masihi.

26. Inilah warisan unggul Jerai Geopark yang perlu dihayati, dipulihara dan diraikan oleh masyarakat tempatan.

27. Proses penilaian Jerai dan Lembah Kinta untuk diangkat menjadi geopark kebangsaan adalah peristiwa penting dalam sejarah wawasan kelestarian negara. Saya doakan apabila Jawatankuasa Geopark Kebangsaan bersidang pada 18 Julai 2017, kedua-duanya berjaya diisytihar menjadi pemula wawasan geopark kebangsaan.

28. Geopark meraikan warisan alam, memperkasa komuniti setempat dan menjana ekonomi wilayah secara lestari – ialah contoh satu tindakan pembangunan lestari.

 

IBK: 19 Julai 2017

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s