Tamadun Melayu Johor

IMG_0593_sRGB
Tan Sri Zakri Abd Hamid bersama rakan MPN

1. Apabila YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Khaled Nordin menyarankan supaya disediakan sebuah Pelan Induk Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Global ramai yang bertanya benarkah Johor menjadi pusat Tamadun Melayu terawal, berkembang dan disuburkan di dunia Melayu.

2. Jika dilihat daripada perspektif Kesultanan Melayu, kita dimaklumkan institusi Kesultanan Melayu Kedah mula menganut agama Islam sejak abad ke-12, semantara Kesultanan Melayu Johor hanya berkembang selepas kejatuhan Institusi Sultan di Melaka pada abad ke-15.

3. Saya bertanya kepada YAB Menteri Besar, apakah beliau berwawasan mewujudkan
Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa atau Pusat Tamadun Melayu Johor bercitra global. Jawapan beliau ringkas, ‘kalau orang nak mengkaji Tamadun Melayu, bolehlah datang ke Johor’.

4. Kenyataan beliau amat jelas maksudnya, Johor bukan tempat bermulanya Tamadun Melayu, tetapi sejak abad ke-15, Johor telah menerajui perkembangan tamadun dan peradapan Melayu, dan sehingga kini ilmu serta amalan masih terserlah dan boleh dijadikan sumber rujukan masyarakat global.

5. Sebagai salah seorang daripada ahli pasukan penggubal yang diberikan tanggungjawab untuk menjayakan pelan induk ini, saya amat tertarik dengan wawasan dan pandangan jauh beliau. Kami perlu menterjemahkan wawasan unggul ini sehingga menjadi kenyataan.

6. Berasaskan perbincangan awal, kami bersepakat untuk menonjolkan Tamadun Melayu Johor daripada beberapa tujahan strategik berasaskan kandungan, dan perspektif perlaksanaan.

7. Tujahan strategik meliputi kepimpinan, persuratan, tradisi seni budaya serta ekonomi dan perdagangan. Sementara tujahan perlaksanaan melibatkan data raya, pendidikan awam, governans dan iltizam politik.

8. Kepimpinan Melayu, khususnya komponen institusi dan kesinambungannya sangat menyerlah di Johor. Institusi Kesultanan Melayu Johor dan adat istiadatnya masih berkembang segar sehingga hari ini di bawah naungan Undang-undang Tubuh Negeri Johor.

9. Kepimpinan politik Melayu pula, umpumanya sejak Dato Onn Jaafar pencetus UMNO dan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah, hinggalah ke beberapa generasi pemimpin politik, termasuk Menteri Besar Johor semasa yang sentiasa memegang tradisi pemimpin masyarakat terhormat.

10. Saya melihat kepimpinan Melayu di Johor tidak sahaja menyerlah daripada perspektif institusi kesultanan dan politik, tetapi ia turut berkembang segar dalam kepimpinan akademik atau intelek awam.

11. Johor juga melahirkan ramai pemimpin intelek Melayu terunggul, antaranya Tun Seri Lanang, Prof DiRaja Ungku Aziz, Prof Ungku Omar yang telah menunjuk jalan pembinaan budaya intelek Malayu sejagat.

12. Walaupun hanya selepas merdeka, negara berjaya mengembangkan asas kepimpinan akademik melalui pewujudan beberapa universiti awam pada awal tahun 1970an seperti UKM, USM, UPM dan UTM. Pada saat ini kita boleh berbangga dengan pencapaian menghasilkan ramai kepimpinan akademik Melayu bertaraf global.

13. Saya yakin ramai daripadanya adalah anak jati Johor. Begitupun, masyarakat awam tidak mengenali mereka kerana budaya meraikan kepimpinan intelek masih belum berkembang berbanding kepimpinan politik dan seniman popular.

14. Paling memberangsangkan ialah wujudnya ramai pemimpin akademik Melayu dalam bidang Sains dan Teknologi, khususnya dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan sains tulen yang telah dan sedang meneroka di barisan hadapan pengetahuan, serta dihormati di peringkat antarabangsa.

15. Sebagai contoh, Profesor Emeritus Tan Sri Zakri Abdul Hamid, Penasihat Sains Perdana Menteri adalah ahli sains terkemuka dunia dan tersenarai 100 individu paling berpengaruh dalam bidang Bioekonomi Termaju. Ramai lagi ilmuan kita yang dikenali oleh rakan kesepakaran global, tetapi masih kurang dikenali umum di negara sendiri.

16. Bulan Ramadan tahun ini saya dijemput oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah untuk majlis iftar. Saya terpegun dan kagum dengan perjalanan majlis, bukan sahaja ia mempamerkan ketertiban yang tinggi, tetapi turut mempamerkan bagaimana seorang pemimpin negara menghormati ilmu dan ilmuwan.

17. Sebelum berbuka puasa kami dijemput mengadap dan ketika itu Baginda bertanya khabar dan penglibatan akademik kepada setiap tetamu yang diundang.

18. Selepas majlis solat tarawikh berjumaah pula, kami sekali lagi diundang untuk berbincang isu semasa. Selama hampir dua jam, Baginda mendengar hujah para ilmuwan mengenai keberkesanan pendidikan bahasa dan isu cadangan pindaan perlembagaan.

19. Terpancar kepuasan pada setiap wajah tetamu apabila Baginda menunjukkan minat dan rasa hormat kepada setiap pandangan yang dikemukakan. Inilah contoh pemimpin terbilang yang perlu menjadi ikutan semua pemimpin negara, daripada pemimpin komuniti, ilmiah, korporat mahupun ahli politik.

20. Citra tamadun Melayu masih terserlah di Johor dan boleh ditonjolkan sebagai contoh rujukan global. Ia bukan sahaja rekod sejarah zaman kegembilangan institusi kepimpinan, perkembangan budaya dan tradisi sejak beberapa abad silam, tetapi amalannya diteruskan hingga sekarang.

21. Paling menarik ialah pembangunan intelek Melayu sejak negara mencapai kemerdekaan, iaitu komponen yang masih belum diketengahkan sebagai tamadun Melayu moden. Inilah agaknya wawasan Johor Pusat Tamadun Melayu Global.

 

IBK: 20 Julai 2017

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s