Warga Berfikiran Syumul

Generasi Akan Datang, Komuniti Kepulauan Raja Ampat, Indonesia

 

1. Dunia dan perlakuan manusia serta hidupan di Bumi ini sangat kompleks dan saling berhubung antara satu sama lain. Lain pula cara kita mengenali alam dan mendekati penyelesaian masalah kehidupan.

2. Manusia cuba pisahkan fahaman mengenai bahan bumi dan proses untuk setiap fenomena, dan mencadang tindakan berasaskan sektor atau komponen kecil yang mudah ditangani.

3. Bidang ilmu, khususnya sains tulen kini, telah begitu menjurus dan mendalam sehingga kita menjadi taksub kepada fenomena yang sangat terfokus, dan semakin jauh kepada keperluan kehidupan harian.

4. Perkembangan sains dan teknologi sememangnya begitu hebat, sehingga kita boleh membina kenderaan canggih untuk ke angkasa lepas atau ke lautan dalam.

5. Sebaliknya, isu yang paling asas dan dekat dihati seperti kemiskinan, kesejahteraan, perpaduan dan kelestarian masih belum mampu diselesaikan secara bersepadu (syumul).

6. Sejak di bangku sekolah lagi kita telah didedahkan kepada pendekatan pendidikan bersifat bidang ilmu (sektoral). Bidang Sains Tulen pula dipecahkan kepada fizik, kimia, matematik, biologi dan geologi.

7. Apabila belajar di pusat pengajian tinggi pula, bidang ilmu dipecahkan menjadi sub-bidang lebih kecil. Dalam bidang geologi umpamanya, kita boleh menjurus kepada geologi fizikal, geologi struktur, petrologi, sedimentologi, geomorfologi, geofizik, geokimia, paleontologi dan puluhan sub-bidang geologi gunaan lain.

8. Ramai pakar dalam sub-bidang ilmu sangat menjurus pengetahuannya sehingga tidak berupaya mengikuti bidang dan sub-bidang lain di luar kepakarannya.

9. Perkembangan begini membawa banyak kebaikan, khususnya dalam hal berkaitan pembangunan infrastruktur fizikal, penciptaan teknologi tinggi (menghasilkan produk termaju) dan penyelesaian masalah bersifat sektoral.

10. Penjanaan kekayaan individu, negara dan kemudahan canggih seperti kenderaan, telefon pintar dan komputer mampu kita nikmati kerana perkembangan bersifat kepakaran dan pengkhususan ini. Ramai pakar di menara gading berupaya meneroka ilmu baharu, memahami fenomena alam yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

11. Begitupun, mereka sebenarnya semakin berjauhan dengan realiti kehidupan sebenar iaitu keperluan asas manusia dan kepentingan melestarikan kehidupan bermasyarakat.

12. Dalam struktur pentadbiran kerajaan juga pendekatan kita bersifat sektoral. Organisasi pentadbiran di struktur berasaskan kepada pelbagai kementerian, bahagian, jabatan dan unit. Masing-masing hanya memberikan perhatian kepada mencapai objektif khusus tersendiri, sementara urusan yang berkaitan objektif bersama kurang diberikan perhatian.

13. Beginilah juga keadaan pemikiran kita, sejak di bangku sekolah, di universiti dan dunia pekerjaan, kita hanya dapat melihat isu dan pendekatan penyelesaian berasaskan kefahaman sektoral.

14. Apabila krisis alam sekitar mulai mengancam kesejahteraan awam, khususnya isu pencemaran tanah, air dan udara, gangguan bekalan air bersih, bencana alam dan pemanasan global, komuniti dunia mulai sedar bahawa usaha mengatasi krisis alam sekitar memerlukan pendekatan multibidang.

15. Idea pengurusan berasaskan kesihatan ekosistem dan pendekatan terintegrasi mulai diperkenalkan. Perkembangan selanjutnya mengerakkan gagasan pembangunan lestari, serta munculnya bidang ilmu multibidang yang dikenali Sains Kelestarian.

16. Selepas lebih 30 tahun idea pembangunan lestari diperkenalkan, organisasi dan masyarakat masih belum berupaya mengubah set minda ke arah penyelesaian secara terintegrasi (syumul).

17. Dalam perbincangan peringkat global terakhir ini pula, konteks pembangunan lestari tidak sahaja berkaitan dengan kesihatan alam sekitar, tetapi melibatkan pelbagai isu kemanusiaan, khususnya kemiskinan, keadilan ekonomi, keselamatan makanan dan kesejahteraan sosial.

18. Komuniti yang berada pada tahap kemiskinan, tiada pilihan melainkan menggunakan sumber alam sekitar secara tidak lestari untuk hidup. Ternyata, pendekatan bersifat sektoral bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan isu alam sekitar, tetapi melibatkan juga isu sosial dan agihan ekonomi.

19. Wawasan kelestarian di peringkat global sudah semakin menyerlah, pelbagai perancangan dan tindakan bersifat syumul sudah mula diperkenalkan.

20. Namun, negara kita masih terperangkap dalam kesektoran dan belum mampu mengatur halatuju jelas ke arah kelestarian. Salah satu sebab utama ialah kerajaan, kepimpinan dan warga masih belum dapat memecahkan tembuk amalan berfikiran dalam kotak.

21. Untuk menghasilkan warga berfikiran syumul, kita perlu menilai semula cara mendidik, mentadbir dan membuat keputusan. Berikut adalah perubahan berterusan boleh dipertimbangkan:

22. Kaedah pendidikan, selain memberikan penekanan kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira, semua pengetahuan dan pengalaman perlu didedahkan kepada pelajar secara syumul melampaui batasan bidang ilmu;

23. Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu mempertimbangkan beberapa akta atau enakmen payung yang menyatukan perundangan sedia ada berasaskan komponen kelestarian iaitu kesihatan alam sekitar (sumber asli), kesejahteran masyarakat (manusia), dan pertumbuhan ekonomi (kekayaan); dan

24. Memperkenalkan pendekatan ‘mengurusan bersama’ (co-management) di mana semua pihak berkepentingan utama duduk semeja dan membuat keputusan bagi melaksanakan pelbagai program dan projek secara bersepakat.

25. Warga berfikiran syumul mampu melihat isu dan peluang berasaskan pandangan hidup yang luas dan meramal impak hubung kait antara fenomena melampaui batasan bidang ilmu.

26. Wawasan pembangunan Geopark Kebangsaan yang diperkenalkan sejak 2006 adalah projek ke arah membina komuniti yang diidamkan ini.

 

 

IBK: 18 Ogos 2017

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s