Kelestarian dan Normal Baharu

IMG_1934

1. Pandangan Tun Musa Hitam, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia mengenai konsep tidak normal, normal dan normal baharu yang disiarkan dalam media massa mutakhir ini menarik perhatian saya.

2. Ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau sering melawat negara Filipina dan merasa amat ganjil melihat semua kawasan kediaman mewah dipagar rapi dan lengkap dengan pengawal keselamatan.

3. Beliau tidak dapat membayangkan senario keselamatan di Malaysia bakal sampai ke tahap begitu – ini suatu yang tidak normal katanya. Hari ini, kawasan perumahan berpagar dan berpengawal keselamatan amat lumrah dan telah menjadi normal di negara kita.

4. Ramalan Tun Musa mengenai keselamatan negara ketika itu meleset. Benar, ketika membesar di pekan Jementah, rumah ibu bapa saya terletak tepi jalan raya dengan pintu hadapannya tidak pernah berkunci. Pintu dan tingkap kebanyakan rumah di kampung Paya Jakas dan Permatang Panjang juga tidak berkunci.

5. Begitupun, jarang kita mendengar pencuri masuk ke rumah.  Hari ini, di kawasan perumahan baharu, walaupun rumah berpagar, bergril, ada alat amaran dan cctv, kenyataannya kebanyakan rumah dimasuki pencuri. Warga penghuni diugut, tangan dan kaki diikat dan hartanya disamun. Pecah masuk rumah kini sudah menjadi normal baharu.

6. Untuk mencapai kemajuan, negara dan warganya perlu melalui perubahan dan menggerak transformasi. Perubahan perlu bersifat melangkah ke hadapan dan terus menaiki anak tangga. Ia perlu menunjukkan pencapaian positif, membina tamadun bangsa dan berganjak ke arah kecemerlangan.

7. Dalam kata lain, ekonomi negara terus meningkat, masyarakat makmur dan sejahtera, dan warisan alam serta budaya semakin dihormati. Bagaimana mengukur kemajuan? Lihat sahaja, jika dahulu tidak normal kini menjadi normal, dan normal baharu menggantikan yang normal!

8. Saya masih ingat, sebaik negara mencapai kemerdekaan, kita masih mengekalkan ‘pekerja asing’ dan mengambil yang baharu. Sejumlah kecil warga penjajah masih memegang jawatan tinggi di institusi kerajaan, sementara kita menjemput beberapa pakar lain untuk mengisi kekurangan tenaga mahir dan pakar dalam bidang pendidikan, industri dan pertanian.

9. Hari ini, kita masih membawa masuk ramai pekerja asing, di setiap pelosok kampung dan bandar mereka melimpah ruah. Hampir semuanya ialah buruh dalam sektor perkhidmatan, pertanian dan industri.

10. Normal ketika itu ialah pekerja asing yang menduduki jawatan tinggi, normal baharu pula, pekerja asing yang mengambil alih jawatan buruh, kononnya sudah tidak digemari oleh warga tempatan.

11. Satu ketika dahulu, negara kekurangan pemimpin dan tidak ramai yang berminat untuk mengambil tanggungjawab berat ini. Pemimpin negara ketika itu, terpaksa memujuk rakan dan taulan yang lazimnya berpendidikan tinggi, tampil ke hadapan menjadi pemimpin masyarakat.

12. Di peringkat bawahan juga, masyarakat perlu memujuk individu yang dilihat sebagai jujur dan berpendidikan, bagi diangkat menjadi pemimpin.

13. Hari ini, ramai pemimpin yang menonjolkan diri, bekerja keras supaya dapat dilihat oleh masyarakat, dan ramai juga yang kurang beretika atau memberi suapan bagi membolehkan mereka dipilih menjadi pemimpin. Normal baharu ialah fenomena individu berusaha menonjolkan diri tanpa menghormati etika dan integriti untuk menjadi pemimpin.

14. Demokrasi berperlembangaan bermaksud, kuasa majoriti menentukan susur galur pembangunan negara. Secara praktisnya, rakyat memilih pemimpin dan parti yang memerintah. Pemimpin negara dan negeri dipilih untuk mentadbir berlandaskan perundangan, persetujuan bersama dan aspirasi rakyat.

15. Hari ini kita dapat perhatikan pelbagai kelompok minoriti, tidak sahaja menuntut haknya dalam sistem demokrasi, tetapi turut mempengaruhi kepemimpinan untuk mendapatkan lebih daripada hak mereka.

16. Telah menjadi lumrah kini, minoriti berpengaruh boleh menjadi peneraju menggerakkan pembangunan negara berasaskan kepentingan diri atau kelompok kecil. Jelasnya, mulai terjelma suatu normal baharu iaitu kelompok minoriti berpengaruh menjadi suara majoriti.

17. Satu masa dahulu, tugas dan tanggungjawab menjadi amanah yang berat dan gaji menjadi ganjaran kepada sumbangan tersebut. Perkadaran gaji bersifat kemampuan majikan dan penghargaan terhadap kepentingan sumbangan.

18. Hari ini, kerja untuk pendapatan dan nilainya bergantung kepada keupayaan bersaing. Kuasa wang semakin menyerlah, menjadi sangat penting sehingga mencapai tahap faktor utama dalam segala urusan.

19. Ada yang sudah berani menyatakan, situasi normal baharu ialah nilai wang mengatasi nilai tanggungjawab, kepercayaan, akal budi dan jati diri.

20. Dunia akademik juga turut berubah. Tiada siapa lagi yang menegaskan ‘nilai teras akademik’ iaitu mencari kebenaran, mengejar kecemerlangan, meraikan kepelbagaian dan ilmu perlu dikongsi menjadi asas pembangunannya.

21. KPI iaitu istilah diperkenalkan dalam dunia korporat kini menjadi ‘pegangan utama’ dunia akademik. Setiap ahli akademik ada KPInya dan ia harus dicapai setiap tahun. KPI bagus tetapi harus munasabah.  Jika tidak, akibatnya keindahan kulit buku dan format penyampaian mengatasi nilai kandungan, sementara kuantiti penerbitan ilmiah mengatasi kualiti pemikiran.

22. Kesarjanaan dan kewibawaan bukan lagi ukuran ilmuwan, sebaliknya ia disandarkan kepada jumlah penerbitan, indeks terbitan atau rujukan, dan jumlah dana diperolehi menjadi pengukur kecemerlangan.

23. Satu ketika dahulu, pusat pengajian tinggi dan mesyuarat Senat iaitu badan akademik tertinggi universiti adalah tempat perdebatan ilmiah, pandangan sarjana dihormati dan kebenaran disanjung serta diraikan.

24. Keadaan telah berubah, ahli akademik yang memperjuangkan kebenaran (ilmu) sudah dianggap membawa masalah kepada organisasi dan sering dipinggirkan. Ahli akademik yang berpegang kepada amalan kesetiaan membuta tuli dan ‘saya yang menurut perentah’, adalah akademik yang dianggap produktif, dilantik sebagai pemimpin pengurusan dan disanjung.

25. Normal baharu di institusi universiti kini ialah amalan menerima sahaja dan usah menyanggah pandangan kepemimpinan yang berbeza.

26. Pembangunan untuk kemajuan dan membina ketamadunan perlu menerima transformasi serta perubahan. Perubahan yang positif dan menyokong wawasan pembangunan lestari – pertumbuhan ekonomi, keharmonian dan kesejahteraan sosial dan kesihatan alam sekitar adalah yang sentiasa diharapkan.

27. Kita seharusnya boleh menerima perubahan daripada tidak normal menjadi normal, dan normal menjadi normal baharu. Begitupun, normal baharu yang tidak menghormati kelestarian, pada hakikatnya ialah fenomena melangkah ke belakang.

 

IBK: 28 September 2017

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s