Kelestarian Bawah Atas

IMG_0555

1. Pada 16 hingga 22 September 2017, warga Geopark Global berkampung di Zhijindong UNESCO Global Geopark, China untuk menghadiri Simposium Jaringan Geopark Asia Pasifik Kelima. Simposium sulong dianjurkan di Langkawi pada tahun 2007.

2. Simposium yang dianjurkan sekali setiap dua tahun ini bermula dengan Mesyuarat Majlis UNESCO Global Geopark (UGG) pada 16-17 September, diikuti dengan Mesyuarat Jaringan Geopark Asia Pasifik (APGN) pada 18 September, dan disusuli Simposium untuk bertukar pandangan dan praktis terbaik pada 19 hingga 22 September. Lebih 800 peserta mewakili 50 geopark global di Asia Pasifik menghadiri simposium ini.

3. Wawasan geopark global bermula pada awal tahun 2000 dan menjadi kenyataan pada 2004 apabila UNESCO membantu menubuhkan Jaringan Geopark Global (GGN) dengan ahlinya terdiri daripada 25 geopark global mewakili Eropah dan Asia.

4. Hari ini kita mempunyai 127 global geopark mewakili hampir semua benua di dunia. Langkawi UNESCO Global Geopark adalah warga kumpulan ini, dilahirkan pada 2007 menjadi geopark pertama di Asia Tenggara.

5. Masih ramai yang bertanya apa itu geopark? Ada yang membayangkan ia sebuah taman geologi untuk memulihara geowarisan. Ada juga yang mempunyai persepsi, geopark sebagai taman tabii, kawasan rekreasi dan produk pelancongan berasaskan warisan alam.

6. Apabila geopark diwar-warkan kepada komuniti tempatan, kami menjelaskan ia adalah wilayah di mana masyarakat perlu mengenali dan menghayati warisan setempat, serta mengambil manfaat bagi meningkatnya sumber pendapatan sambil memulihara keistimewaan tanah tumpah darahnya. Geopark adalah semua yang dinyatakan di atas.

7. Wawasan geopark pada prinsipnya ialah agenda wawasan pembangunan lestari wilayah bersifat gerakan bawah atas. Ia memberikan perhatian kepada permintaan komuniti dan pemimpin setempat untuk membuat perubahan terhadap pembangunan di wilayahnya supaya bersifat lebih lestari.

8. Tumpuan diberikan kepada tiga komponen pembangunan utama iaitu: a) pemuliharaan sumber warisan geologi, warisan biologi dan budaya secara terintegrasi; b) meningkatkan pengetahuan komuniti dan pelancong mengenai nilai warisan, alam sekitar, budaya dan bencana alam melalui pendidikan awam; dan c) memperkasa penglibatan sosio-ekonomi komuniti tempatan melalui peluang baharu pelancongan lestari (geopelancongan).

9. Geopark berbeza dengan kebanyakan inisiatif pembangunan lestari wilayah yang dicadangkan di peringkat global dan kebangsaan, iaitu umumnya bersifat pendekatan atas bawah. Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu umpamanya, hanya bersifat menetapkan 17 sasaran yang perlu dicapai bagi setiap negara ahli.

10. Malaysia telah memberikan komitmen positif kepada inisiatif ini dan memberikan mandat kepada agensi pusat untuk melaksanakannya. Begitupun, proses perlaksanaan atas bawah ini mempunyai banyak halangan untuk dilaksanakan.

11. Antaranya ialah sikap kepimpinan tempatan, keupayaan teknikal, kewangan, isu ketirisan dan penerimaan komuniti setempat. Akibatnya inisiatif murni tidak sahaja sukar mencapai matlamat, tetapi akhirnya tidak mencapai sasaran kelestarian yang diharapkan.

12. Ketika membangun geopark Langkawi  pada tahun 2006, para penyelidik dari universiti turun padang bagi mengadakan siri ceramah dan penjelasan kepada penduduk kampung dan pekan mengenai wawasan dan matlamat geopark.

13. Kami teruja dan gembira apabila dimaklumi, mereka amat bersedia menerima geopark dan menaruh harapan yang tinggi supaya ia dapat dilaksanakan. Berikutnya, kami berbincang dengan Pegawai Daerah dan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta agensi berkepentingan utama lain.

14. Akhirnya kami – penyelidik, pelaksana dasar dan komuniti bekerjasama sebagai sebuah pasukan mantap yang berjaya membawa agenda Langkawi geopark ke peringkat kerajaan negeri dan global.

15. Pendekatan bawah atas umumnya masih belum diterima di negara sedang membangun, termasuk Malaysia. Kuasa dan keupayaan teknikal di peringkat atas (Kerajaan Pusat) masih terlalu tinggi, dan andaian bahawa pentadbiran bawahan belum berupaya mengurus pembangunan masih meluas.

16. Wawasan bawah atas memerlukan kepercayaan tinggi terhadap kepimpinan daerah dan negeri, serta sokongan perlu diberikan kepada penglibatan komuniti setempat. Geopark berupaya memecah benteng struktur pengurusan lazim melalui kerjasama empat pihak – agensi kerajaan, pemimpin komuniti setempat, pihak swasta dan akademia.

17. Geopark memperkenalkan konsep ‘pengurusan bersama’ (co-management) bagi membawa semua pihak berkepentingan duduk satu meja, berbincang dan membuat keputusan bersama.

18. Beberapa negara di rantau Asia Pasifik seperti Jepun dan Indonesia lebih berjaya menggerakkan agenda geopark iaitu proses bawah atas kerana pemimpin daerah dipilih oleh komuniti setempat. Mereka bertanggungjawab menterjemahkan agenda komuniti tempatan untuk dilaksanakan.

19. Di Jepun umpamanya Dato Bandar (Mayor) bersungguh-sungguh untuk menjayakan agenda ini sehingga hanya dalam tempuh 10 tahun, mereka berjaya menghasilkan 35 geopark kebangsaan dan 8 geopark global.

20. Di Malaysia semua Pegawai Daerah dilantik oleh kerajaan negeri, melaksanakan agenda atas bawah lebih diutamakan berbanding permintaan komuniti setempat. Indonesia juga sedang bergerak pantas berbanding dengan kita yang semakin tercicir ke belakang.

21. Kelestarian bawah atas jika digerakkan secara terintegrasi dan mendapat sokongan daripada kerajaan negeri dan pusat, mampu dijayakan dengan lebih berkesan. Mengambil contoh usaha menjadikan sungai tercemar bersih, tidak mungkin berjaya dengan ribuan kempen ‘cintai sungai kita’ serta peruntukan berjuta ringgit dari kerajaan bagi membersih sungai.

22. Ia perlu bermula daripada gerakan bersama semua penghuni dan tuan punya tanah yang berada sepanjang sebuah sungai tersebut. Mereka adalah pihak berkepentingan utama. Gerakan mereka secara berstratagi dan disokong oleh dasar serta bantuan kewangan kerajaan secara jangka panjang mungkin dapat memberikan hasil lebih positif.

23. Wawasan kelestarian bawah atas memerlukan perubahan set minda semua pihak berkepentingan. Pertama, kerajaan perlu menggalakkan proses memperkasa kepimpinan tempatan atau daerah yang berjiwa besar dan sedia berkhidmat untuk masyarakat.

24. Berikutnya, kerajaan pusat dan negeri perlu berusaha berkongsi kuasa, tanggungjawab dan sumber dengan pemimpin akar umbi ini bagi menjayakan pelbagai projek. Geopark ialah satu daripada model kelestarian bawah atas yang berjaya dilaksanakan di seluruh pelosok dunia dan menunjukkan hasil yang cemerlang.

 

IBK: 9 November 2017

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s