Wawasan Johor Lestari

IMG_9797

1. Bagi mencapai negeri maju menjelang 2020, Johor telah melaksanakan pelbagai program pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Dasar Kelestarian Negeri Johor (2016-2020) yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Dato Seri Najib Abdul Razak sempena Expo Johor Berkemajuan bakal menjadi tonggak menangani komponen pelengkap penting bagi merealisasikan wawasan pembangunan terimbang iaitu kesihatan alam sekitar.

2. Tiba masanya bangsa Johor menghargai dan menghayati sumber kekayaan warisan tabii, meliputi kepelbagaian biologi marin dan daratan, landskap berpandangan indah dan kepentingan perkhidmatan alam sekitar.

3. Johor Lestari memberikan penekanan kepada pembangunan terimbang dan terintegerasi melalui gagasan Maufakat Johor. Bagi memenuhi pengisian maufakat ini, dasar pembangunan lestari Johor perlu memberikan penekanan kepada rantaian nilai berikut: Pemuliharaan Warisan Tabii; Memupuk Gaya Hidup Bertanggungjawab; Penghujauan Ekonomi; menambahbaik Urus Tadbir; dan Memperkasa Komuniti Setempat.

4. Semua pihak berkepentingan – kerajaan, komuniti peniaga dan masyarakat awam perlu memberikan perhatian kepada pemuliharaan alam sekitar – usaha ini bukan pilihan, tetapi tuntutan bagi memastikan ia terus memberi khidmat sebagai sumber kehidupan.

5. Memulihara Warisan Tabii ialah proses mengukuhkan sistem pengurusan sumber asli Johor bagi menjaga integriti ekosistem dan perkhidmatan alam sekitar sebagai komponen penting pembangunan sumber asli bagi faedah ekonomi, sosial dan budaya masyarakat.

6. Untuk menjayakan inisiatif ini beberapa tindakan strategi perlu dilaksanakan. Antaranya ialah Pengurusan Hutan Secara Lestari; Memulihara Tanah Bencah; Mengukuhkan Pemuliharaan Kepelbagaian Biologi Marin; Mengukuhkan Pengurusan Kawasan Terpelihara; Mengurus Kawasan Tadahan Air; dan Memuliharaan Warisan Geologi dan Landskap.

7. Memupuk Gaya Hidup Bartanggungjawab ialah usaha mengerakkan komuniti Johor mengamalkan gaya hidup sihat, mengawal kelakuan kepenggunaan membazir dan prihatin dalam menjaga kesihatan alam sekitar.

8. Wawasan Johor Lestari memberikan tumpuan kepada meningkatkan kecekapan pengangkutan awam, menyediakan prasarana pejalan kaki dan berbasikal, memperluaskan rangkaian kawasan lapang (riadah), memupuk perlakuan kepenggunaan bertanggung jawab, dan meningkatkan kualiti kebersihan dan pengurusan sisi pepejal.

9. Banyak usaha murni terbengkalai kerana sistem tadbir urus tidak sejajar dengan inisiatif baharu. Memperkemas Tadbir Urus, khususnya menambahbaik mekanisme pengurusan berkesan serta mengukuhkan peranan institusi supaya lebih responsif terhadap kehendak masyarakat bagi memastikan perkhidmatan inklusif.

10. Dalam konteks ini, wawasan Johor Lestari mencadangkan beberapa tujahan strategik berikut: memperkukuh keupayaan institusi negeri; menambahbaik kerangka perundangan negeri; memperkukuhkan jaringan kebangsaan dan global; memperkemas hubungkait pengetahuan (sains) dan perlaksanaan dasar; serta menyediakan kewangan untuk memperkasa aktiviti pembangunan lestari.

11. Usaha ke arah Johor Lestari tidak mungkin berjaya sekiranya kita tidak memperkasa penglibatan masyarakat atau pihak berkepentingan. Bangsa Johor, termasuk masyarakat madani, sektor swasta, akademia dan komuniti tempatan perlu digerakkan untuk bersama menjayakan wawasan kelestarian.

12. Bagi memastikan usaha ini memperoleh kejayaan, program kesedaran dan pendidikan awam perlu dipertingkatkan, komuniti tempatan diperkasa, hargai sokongan masyarakat madani, perkukuhkan rakan kongsi swasta, dan tingkatkan penglibatan pihak berkepentingan dalam proses membuat keputusan.

13. Bagi memastikan wawasan Johor Lestari tercapai, program lima tahun berikut diperkenalkan:

a) Warisan Alam Johor – memeta kehadiran dan nilai warisan tabii Johor bagi menambahbaik proses membuat keputusan mengenai pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan lestari;

b) Inisiatif Biosfera Pulau – mengurus keseluruhan landskap Pulau secara terintegrasi, khususnya menghubungkan kepentingan pemuliharaan dengan pertumbuhan landskap bandar;

c) Kawasan Pemuliharaan Marin Royal Iskandar – mewujudkan kawasan pemuliharan kepelbagaian marin bagi memastikan sumber warisan diurus secara holistik dan memastikan kesihatan ekosistem istimewa kita;

d) Landskap Harimau Selatan – mengurus landskap Endau-Panti-Sedili sebagai sebuah unit ekologi bagi mengimbangi pemuliharan hutan dan hidupan liar dengan tuntutan pembangunan;

e) Pengurusan Terintegrasi Lembangan Sungai Johor – memperkukuhkan pengurusan lembangan Sungai Johor bagi memastikan perkhidmatan bekalan air bersih Johor terpelihara;

f) Pengurusan Terintegrasi Lembangan Sungai Muar – pengurusan lembangan Sungai Muar bagi meminimumkan bencana banjir, memelihara bekalan air bersih dan memajukan sosio-ekonomi wilayah;

g) Mobiliti Hijau – mempromosi gaya hidup sihat, mengurangkan perlepasan Karbon Dioksida dengan memperbanyakkan laluan pejalan kaki dan berbasikal;

h) Prasarana Hijau dan Bangunan Rendah Karbon – menjaga kesihatan alam sekitar, mengurangkan perlepasan gas rumah hijau dengan menggalakkan pembinaan prasarana dan bangunan mesra alam;

i) Dapur Hijau dan Pelita – menggalakkan dapor komersial mengurus sisa makanan secara bijaksana dan mengurangkan pembuangan sisa minyak ke dalam sistem perparitan dan sungai; dan

j) Program Memperkasa Komuniti – meningkatkan penglibatan komuniti setempat, masyarakat madani dan sektor swasta dalam dalam pengurusan sumber warisan tabii.

14. Wawasan Johor Lestari ini adalah terjemahan pandangan jauh YAB Menteri Besar Johor, Dato Seri Khaled Nordin yang sedang berusaha memastikan Johor membangun dengan pesat dan terimbang.

15. Johor Berkemajuan adalah wawasan kelestarian bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi negeri, sambil membina bangsa Johor sejahtera dan menyanjung warisan alam yang tidak ternilai harganya.

 

IBK 11 November 2017

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s