Dekad Baharu Johor

IMG_1093
Majlis Pembentangan Bajet Johor 2018

1. Syabas dan tahniah YAB Dato Seri Khaled Nordin, Menteri Besar Johor yang baharu sahaja membentangkan Bajet Johor 2018 yang amat komprehensif, inklusif dan penuh dengan wawasan serta berstrategi. Belum pernah saya mendengar pembentangan bajet yang begitu kemas, berhemah dan berpandangan jauh.

2. Paling menarik, Bajet Johor 2018 tidak sahaja menegaskan kepentingan pembangunan ekonomi negeri, tetapi turut memberikan perhatian kepada kesejahteraan masyarakat dan prihatin alam sekitar.

3. Johor memperuntukkan RM1,503 juta daripada anggaran pendapatan RM1,504 juta bagi tahun 2018. Inilah bajet wawasan berteraskan Pembangunan Lestari Johor.

4. Bajet Johor 2018 memperlihatkan buat pertama kali kerajaan negeri memperkenalkan falsafah Dekad Baharu Johor iaitu apa yang ingin dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang. Inilah contoh pemikiran pragmatik, berpandangan jauh dan berpijak di bumi nyata.

5. Berasaskan pencapaian terdahulu, beliau percaya Johor mempunyai potensi ekonomi luar biasa, dan potensi ini tidak boleh lagi dibangunkan secara biasa-biasa. Beliau menegaskan ‘pertumbuhan secara malar ternyata terlalu perlahan dan tidak sepadan dengan kepesatan pembangunan Johor’.

6. Amat menarik apabila beliau menghuraikan maksud Dekad Baharu Johor daripada perspektif intipati, hala tuju dan misi baharu yang perlu diperkenalkan.

7. Enam perkara yang dihuraikan secara mendalam ialah pembangunan pada skala besar-besaran; mensasar perubahan drastik struktur ekonomi negeri; transformasi sistem, budaya dan norma kehidupan ke arah sekitaran digital; membangun putera-puteri bangsa Johor berkemahiran tinggi; wawasan hijau dan lestari; dan meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat.

8. Wawasan 10 tahun dengan hala tuju yang jelas membolehkan semua jentera kerajaan, sektor swasta dan masyarakat digembleng bersama secara bersepadu.

9. Bajet Johor 2018 memperkenalkan 153 titik sentuhan melalui lima strategi terfokus. Strategi pertama ialah mengukuhkan asas ekonomi sejahtera dengan mempelbagaikan pertumbuhan ekonmi.

10. Penekanan diberikan kepada pembangunan di semua daerah dengan mencorakkan semula struktur ekonomi sepaya lebih pelbagai, menyapah, lestari dan berorientasi tuntutan masa hadapan. Strategi ini akan dipandu oleh sebuah Jawatankuasa Ekonomi Baharu Johor dengan mandat yang jelas dan berpaksikan aspirasi ekonomi masa hadapan.

11. Strategi kedua ialah memantapkan kemudahan awam dan pelebaran ruang kesejahteraan rakyat. Strategi ini memberikan perhatian kepada inisiatif menterjemah kesejahteraan kepada semua, khususnya kepada golongan kebanyakan dan bukan eksklusif kepada kelompok tertentu.

12. Beliau beriltizam rakyat harus dipastikan benar-benar menerima keistimewaan dan manfaat daripada semua dasar, kemudahan dan prasarana yang disediakan di Johor. Beliau mengungkapkan, ‘yang miskin disantuni dan diupayakan, yang memerlukan dibantu, dan yang tiada tempat berteduh ditawarkan rumah’. Inilah erti sebenar, pemimpin berjiwa rakyat.

13. Strategi ketiga pula memberikan fokus kepada keperluan masa hadapan iaitu membangunkan kemahiran semua rakyat Johor. Melalui strategi ini, semua potensi dan bakat anak-anak Johor akan diberikan perhatian serius dan dibangunkan sebagai aset masa hadapan.

14. Strategi ini memberikan tumpuan kepada program Pembangunan Sahsiah Murid Johor, sambil memperuntukkan pelbagai bentuk bantuan kewangan dan kemudahan institusi bagi pendidikan dan latihan. Beliau beriltizam, ‘tidak ada anak-anak Johor yang akan dibiarkan tertinggal tanpa kemahiran dan kepakaran’.

15. Strategi keempat ialah menjelmakan pengurusan kerajaan berprestasi, telus dan beramanah. Beliau menyebut, ‘sistem penyampaian kerajaan mesti inklusif, cekap dan beramanah. Operasi mesti telus dan bebas ketirisan, sementara perbelanjaan mesti berhemah, berimpak dan menepati sasaran’.

16. Jelasnya, penjawat awam masih perlu diingatkan mengenai tanggungjawab asasi mereka iaitu ikhlas menyumbang, berkemahiran dan profesional. Nampaknya di peringkat negeri, beberapa program pendedahan dan latihan asas masih sangat penting bagi menjelmakan tadbir urus berprestasi tinggi.

17. Saya paling berminat dengan strategi kelima iaitu mewujudkan persekitaran pembangunan yang lestari, islami, selamat, berbudaya, seimbang dan bersandarkan kearifan tempatan. Di sinilah letaknya kehebatan kepemimpinan Dato Menteri Besar Johor ini berbanding kepemimpinan negeri lain di Malaysia.

18. Wawasan, pandangan jauh, keikhlasan, keimanan dan kebijaksanaan yang dimiliki diserlahkan dalam bajet berstrategi ini, khususnya konsep Johor Lestari, Johor Islami dan Johor Berbudaya. Semua ini ialah matra baharu dalam pemikiran pemimpin kerajaan dan amat sesuai diwar-warkan sebagai dekad baharu negeri.

19. Mengambil contoh Johor Lestari, ia berpaksikan iltizam melaksana Dasar Kelesterian Negeri Johor 2017 – 2021 yang baharu sahaja diluluskan. Dasar ini mengariskan lima tunggak strategi untuk mencapai hasrat ‘Maufakat Johor’ iaitu pemuliharaan warisan alam; memupuk gaya hidup bertanggungjawab; menghijau ekonomi; menambahbaik tadbir urus; dan memperkasa komuniti setempat.

20. Tumpuan yang seimbang antara ekonomi, masyarakat dan alam sekitar ialah kunci kejayaan pembangunan negeri. Tumpuan bajet kali ini terletak kepada mengenalpasti dan menghormati warisan alam sebagai sumber asas kehidupan masyarakat.

21. Dalam bajet 2018, beberapa inisiatif baharu telah diperkenalkan, antaranya; menaik taraf lapan hutan lipur sebagai kawasan rekreasi komuniti setempat, mewujudkan pusat kecemerlangan pemuliharaan bakau, dan memperkenalkan penggunaan bahan pembungkusan biorosot dan biokompos.

22. Dalam mukadimahnya, beliau turut menegaskan, ‘kita tidak akan menjadi bangsa yang berperadaban tinggi dan berbudaya, jika kita tidak pandai menjaga dan menghormati alam sekitar yang menjadi rumah kediaman kita semua’.

23. Sukar mendapatkan seorang pemimpin negeri yang berpandangan jauh, berhemah dan pragmatik, serta mementingkan pembangunan negeri dan masyarakatnya. Jika mahu merantau carilah perahu, mahu berlabuh carilah muara, mahu makmur dan bersatu carilah pemimpin yang berwawasan dan berjiwa rakyat.

 

IBK 27 Disember 2017

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s