Kepemimpinan dan Etika Akademik

IMG_0593_sRGB
Kepemimpinan Majlis Profesor Negara

1. Sejak muktahir ini, ramai yang menyuarakan pandangan pelbagai mengenai governans pengajian tinggi, terutamanya mengenai kepemimpinan akademik, peranan dan tanggungjawab ahli akademik, kualiti perkhidmatan, hubungan universiti dan masyarakat, dan etika akademik.

2. Ini satu perkembangan yang positif kerana masyarakat mulai memberikan perhatian tinggi terhadap dunia akademik tanah air. Universiti Awam di negara kita masih terperangkap antara sebuah institusi ilmuwan berautonomi dan agensi kerajaan yang berperanan memberi perkhidmatan untuk masyarakat dan pembangunan negara.

3. Universiti Awam di Malaysia ialah sebuah institusi awam yang diwujudkan di bawah Akta Badan-Badan Berkanun dan mempunyai Statut universiti masing-masing, ia banyak dipengaruhi oleh wawasan institusi universiti di United Kingdom.

4. Pada prinsipnya, sistem pengurusan dikawal oleh dua badan yang diwujudkan secara berasingan. Pertama, sebuah Majlis atau Lembaga Pengarah yang menentukan halatuju perancangan pembangunan, pembangunan sumber bakat, dan pengurusan kewangan.

5. Kedua, Senat Universiti iaitu badan tertinggi akademik yang dianggotai oleh Naib Canselor, Dekan, Ketua Jabatan Akademik dan para Profesor yang menentukan halatuju program dan aktiviti akademik (pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan akademik).

6. Institusi universiti memainkan peranan penting dalam pembentukan citra negara sebagai suatu bangsa berilmu, berwawasan dan bertamadun.

7. Di universiti pelbagai bentuk penyelidkan dijalankan, ilmu baharu dijana dan disebarkan kepada masyarakat di peringkat kebangsaan dan global, graduan berilmu dan berkemahiran tinggi dihasilkan, dan pelbagai maklumat bermaklum dilontarkan untuk membimbing pemimpin politik, masyarakat dan industri supaya mereka terus berada dilandasan yang tepat demi kemakmuran negara.

8. Pada hakikatnya, universiti ialah tempat lahirnya pemikiran mendahului zaman yang bakal membina tradisi, budaya dan peradaban bangsa Malaysia.

9. Kerjaya hakiki seorang ahli akademik bermula daripada seorang graduan cemerlang dengan kelulusan tertinggi (berijazah PhD) dilantik sebagai pensyarah atau felo penyelidik. Melalui pengalaman, hasilan dan kewibawaan akademik, beliau akan dinaikkan pangkat menjadi Profesor Madya, Profesor dan Profesor Kanan.

10. Masing-masing perlu terus menjalankan menyelidikan dan menghasilkan penerbitan ilmiah bagi membolehkan mereka diperakui sebagai ilmuwan atau pakar bidang yang terserlah kesarjanaannya.

11. Tugas asas ialah menyampaikan ilmu kepada siswazah, memberikan idea, pandangan dan perkhidmatan ilmiah untuk kepentingan negara dan global. Mereka ialah insan di hadapan sampul ilmu yang membimbing dan menunjuk jalan ke arah kebenaran dan kelebihan bersaing.

12. Perlantikan pengurusan akademik universiti seperti Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan Dekan bersifat sementara, lazimnya antara 3 hingga 5 tahun. Tugas utama ialah menjadi pemimpin akademik, mentor dan menyelaras aktiviti ilmiah yang dipersetujui di peringkat Senat dan Mesyuarat Fakulti.

13. Dasar dan program akademik ditentukan secara kesepakatan bersama (collegiality), sementara perlaksanaan dibantu oleh pegawai pentadbiran berjawatan tetap. Pengurusan Akademik adalah tanggungjawab tambahan kepada ahli akademik berpengalaman, berwibawa dan beretika tinggi yang perlu dipikul secara sementara dalam kerjayanya.

14. Hari ini, akibat pengaruh sistem perkhidmatan awam, pengurusan akademik mulai dianggap sebagai suatu ‘jawatan tetap’, pemegang tampuk kuasa dan disalahtafsir sebagai suatu pencapaian tertinggi kerjaya akademik.

15. Ramai ahli akademik muda mula terpesong, mensasar jawatan pengurusan akademik seperti Naib Canselor, Dekan dan Ketua Jabatan sebagai satu pencapaian kerjaya akademik.

16. Ada yang telah beranggapan pengalaman sebagai pengurus akademik pula menjadi asas kenaikan pangkat ke jawatan profesor, dan bukannya pengalaman penyelidikan, pengajaran, penerbitan ilmiah dan pemindahan ilmu kepada masyarakat dan industri.

17. Urusan dan tanggungjawab ahli akademik jauh berbeza dengan penjawat awam yang memberi khidmat terus kepada masyarakat. Walaupun mereka dilantik dalam sesebuah universiti, peranannya menjangkau di peringkat negara dan global.

18. Oleh itu, tidak munasabah jika masyarakat mengharapkan  ahli akademik sentiasa berada di pejabatnya. Mereka perlu ke lapangan menjalankan penyelidikan, ke pelbagai seminar dan persidangan untuk menyebarkan dapatan baharu, dan berjumpa pelbagai kelompok pihak berkepentingan untuk berkongsi ilmu.

19. Kehadirannya di pejabat hanya untuk menyampaikan kuliah, membimbing siswazah, melaksanakan aktiviti akademik harian, dan menghadiri mesyuarat penting.

20. Seperti dalam pelbagai perjawatan lain, sama ada dalam sektor awam atau swasta, terdapat segelintir ahlinya yang terlibat dengan perlanggaran peraturan kerja. Apabila timbul kenyataan awam, terdapat ramai kalangan ahli akademik yang tidak jujur iaitu memplagiat dan mengabaikan tugas, ini satu situasi yang luar biasa dan tidak munasabah.

21. Tuduhan begini amat mengelirukan dan mungkin berpunca daripada beberapa kes terpencil yang dihebohkan kepada masyarakat awan atau persepsi kerana kurang memahami ekosistem perkhidmatan akademik.

22. Dunia akademik mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengawal salah laku akademik iaitu berpandukan konsep Etika Akademik. Plagiat dan penipuan ilmiah ialah ‘jenayah akademik’ yang berat dan tidak boleh dimaafkan.

23. Ahli akademik yang kurang cemerlang dan menunjukkan tanda-tanda mencerobohi etika akademik lazimnya dipinggirkan oleh rakan kesepakaran. Mereka tidak disyorkan untuk dinaikkan pangkat, tidak dijemput untuk memberikan ucaptama, dan tidak diundang dalam pelbagai urusan akademik.

24. Ahli akademik yang terlibat akan merasa terhina atau terseksa dalam kedudukan ‘pengasingan akademik’. Dalam situasi dimana ahli akademik itu terbukti bersalah, gelar mereka akan ditarik balik atau dipecat.

25. Etika akademik adalah instrumen terpenting bagi mengawal kecemerlangan dan kewibawaan institusi universiti dan para profesornya. Ia bersifat kepercayaan dalaman (intrinsik) bukan luaran, menjadi pegangan berpandukan nilai teras akademik.

26. Bayangkan jika ahli akademik iaitu kelompok ilmuwan yang melahirkan para doktor, jurutera, guru, pentadbir dan usahawan yang berkemahiran tinggi untuk membangun negara didapati tidak beretika, keseluruhan institusi universiti dan bakat yang dilahirkan akan turut jatuh dan berkecai.

27. Kita tidak dapat menafikan terdapat segelintir Ahli akademik yang terpesong dan melakukan jenayah akademik, khususnya plagiat. Bak kata perpatah, nila setitik rosak susu sebelanga atau seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit.

28. Pengurusan universiti perlu mengambil tindakan serius untuk membendung gejala negatif begini. Begitupun, kami percaya etika dan kewibawaan akademik masih utuh di negara tercinta ini, dan sokongan padu semua pihak diperlukan untuk mengangkat martabat Universiti Awam Malaysia pada kedudukan yang sebenar.

 

IBK 8 Januari 2018.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s