Keaslian Landskap Langkawi Geopark

_DSC0856
Landskap Machinchang Kambria Geoforest Park

 

1. Negeri Kedah dan negara beruntung dianugerahkan dengan Kepulauan Langkawi yang luar biasa keindahan landskapnya, unik warisan geologi dan biologinya, serta kaya dengan budaya dan tradisi penduduknya. Atas rahmat kurnian Ilahi ini, pada tahun 2007 Langkawi mendapat gelar UNESCO Global Geopark, pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara.

2. Pengikhtirafan global ini ialah lambang kualiti dan keistimewaan 99 gugusan Pulau Lagenda ini, pada masa yang sama menjadi tanggungjawab komuniti setempat dan pemimpin kerajaan untuk memulihara keasliannya.

3. Hari ini, Langkawi menjadi destinasi pelancong paling popular di Malaysia. Kedatangan lebih 3.5 juta pelancong setahun telah menjadi punca sumber kehidupan komuniti setempat dan para pemain industri pelancongan.

4. Tiga tapak pelancongan paling ramai dikunjungi pelancong ialah Kambria Machincang Geoforest Park (landskap batuan paling tua di Malaysia); Kilim Kars Geoforest Park (pemandangan batu kapur kars tropika terindah di dunia); dan Dayang Bunting Marmar Geoforest Park (tasik dolina paling unik di negara ini).

5. Daya tarikan sebenar pelancong ialah keunikan, keistimewaan dan keindahan landskap dan warisan alami, bukannya prasarana buatan binaan manusia.

6. Untuk membawa pelancong ke Langkawi, kita perlu menyediakan pelbagai kemudahan seperti sistem pengangkutan, produk tarikan pelancong, hotel dan resort, makanan dan pelbagai produk tempatan sebagai tanda hati.

7. Pada masa ini, Langkawi telah menyediakan semua kemudahan ini dengan cemerlang. Begitupun, secara falsafahnya, kemudahan ini ialah keperluan asas bagi menjayakan aktiviti pelancongan, tetapi jangan sekali memusnah atau mengganggu warisan tabii dan keaslian landskap, iaitu sumber asas daya tarikan pelancong ke Langkawi.

8. Kami perhatikan, pembangunan awal memberikan perhatian tinggi kepada aspek keaslian landskap tabii ini. Kebanyakan resort dibina di kawasan strategik, tidak melebihi empat tingkat, bersesuaian dengan topografi dan di celah-celah hutan rimba atau persisir pantai.

9. Pelancong yang datang merasa kagum dan bangga dengan usaha pengekalan keaslian topografi dan keindahan alam sehingga menjadi buah mulut untuk diceritakan kepada rakan potensi pelancong akan datang.

10. Inilah pendekatan terbaik dan paling berkesan untuk meningkatkan kedatangan tetamu dan kelestarian pelancongan.

11. Sejak terakhir ini, keadaan mulai berubah. Bangunan tinggi yang mengubah keaslian landskap berkembang bagaikan cendawan tumbuh. Pemotongan bukit dan rekabentuk bangunan yang tidak harmoni dengan landskap tabii dibangunkan seperti tiada berkesudahan.

12. Isu kekurangan bekalan air bersih, kebersihan kawasan dan kesihatan alam sekitar mulai muncul dan bakal menjadi semakin serius. Komuniti setempat dan para pelancong mulai menyuarakan perasaan kegelisahannya.

13. Kami dimaklumkan, sudah ada suara pelancong yang berkunjung setiap tahun menyatakan dengan tegas, ‘saya suka ke Langkawi, tapi ini kali terakhir saya ke sini, keadaan sudah tidak seperti dahulu’.

14. Satu-satunya aset paling penting dan berharga di Langkawi ialah Hutan Simpan Kekal yang meliputi hampir 50% guna tanah kepulauan ini. Apabila kita wujudkan global geopark, sebahagian daripada hutan simpan ini telah diangkat statusnya menjadi Geoforest Park.

15. Geoforest Park ialah kawasan pemuliharan yang menggabungkan keistimewaan warisan biologi, geologi dan landskap tabii. Inilah aset sebenar produk pelancongan apabila pelawat merasa kagum dan terpesona dengan keindahan alam tabii.

16. Untuk memperluaskan pendekatan pemuliharaan dan pelancongan, kami juga sedang berusaha memperkenalkan Gunung Raya sebagai geoforest park baharu.

17. Daya tarikan keindahan alam terawal ialah Pekan Kuah. Ia merupakan sebuah teluk yang dilindungi oleh Pulau Dayang Bunting, Pulau Tuba dan puluhan pulau kecil lain. Oleh kerana keadaan geografinya, ia menjadi tapak pertempatan dan kawasan pelabuhan terawal yang membina sejarah Kepulauan Langkawi.

18. Pembangunan beberapa kemudahan awam untuk pelancong seperti Dataran Helang dan Taman Lagenda amat tepat dan telah memberikan ruang kepada pelancong rakyat menikmati keindahan dan mengenali sejarah kepulauan ini.

19. Perancangan membuat tambakan secara meluas di tapak bersejarah ini adalah tindakan kurang bijak, satu kesilapan besar dan mungkin permulaan kepada kemusnahan ekosistem kepulauan Langkawi.

20. Ekosistem pulau berbeza dengan daratan. Ia dipengaruhi oleh interaksi laut dan daratan, khususnya proses ombak dan pasang surut. Apa yang dilihat pada masa ini ialah keadaan keseimbangan, di mana proses hakisan yang membentuk pulau dan pantai batuan dan pantai berpasir serta berlumpur.

21. Sumber makanan laut sebagai mata pencarian nelayan tempatan juga dipengaruhi oleh ekosistem persisiran ini. Sebarang perubahan terhadap kawasan persisir, khususnya tambakan laut secara besar-besaran akan mengubah keseluruhan hidrologi lautan, mengubah regim hakisan dan pemendakan, selanjutnya boleh memusnahkan pelbagai prasarana sedia ada dan ekologi di persisir pantai.

22. Ketika diistyharkan sebagai UNESCO Global Geopark, bersamanya disertakan Pelan Pengurusan Langkawi Geopark iaitu garis panduan pembangunan ke arah kelestarian.

23.Pelan ini memberikan perhatian kepada kepentingan pemuliharaan kawasan berpandangan indan dan tapak warisan alam, pembangunan eko- dan geopelancongan untuk pertumbuhan ekonomi, dan pembangunan masyarakat tempatan iaitu khalifah bumi Langkawi.

24. Pembangunan besar-besaran yang hanya untuk kepentingan individu atau kelompok kecil tidak termasuk dalam rancangan geopark.

25. Kita amat sedar pengusaha dan peniaga hanya berhasrat untuk meraih faedah dan keuntungan terbesar daripada peluang yang ada bagi mereka dan organisasinya, tetapi pemimpin perlu bertanggungjawab menjaga kesihatan alam sekitar dan melindungi kepentingan masyarakat setempat.

26. Berilah perhatian kepada agenda pembangunan lestari, khususnya daripada perspektif pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti watan, sebelum nasi menjadi bubur.

 

IBK 25 Januari 2018

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s